MOSH – Isu #18
104ms / A5 / Bahasa Melayu
Mosh Zine – satu nama yang sudah begitu kukuh dalam scene penulisan dan penerbitan DIY tempatan. Ini zine yang tidak boleh tidak, wajib berada di tangan dan dibaca oleh setiap penyokong muzik punk/hardcore malah pengumpul koleksi zine/fanzine di negara ini. Mosh tidak perlu kepada pengenalan lanjut mengenai keberadaannya dalam scene. Ianya telah bertahan begitu lama, dihasilkan demi keperluan dan kepuasan kalian semua tanpa mengenal erti penat. Bagi yang pernah memiliki edisi dok dang dang Mosh #17.5 (diterbitkan sempena KL Zine Fest pada 8 Oktober 2016 lalu), anda mungkin telahpun mendapat serba sedikit gambaran awal kandungan dan pengisian Mosh #18. Rilis secara rasmi pada 24 Februari 2017, Mosh #18 adalah edisi yang lengkap. Ya, serba lengkap dan sempurna! Isu ini mengetengahkan temubual bersama Johny Comes Lately, Cinta Si Penggali Kubur, Kah Kah Celaka, Rejected Kids, The Pilgrims, The Needles dan juga OOMK zine (satu-satunya bahan bertulis dalam Bahasa Inggeris). Bangga saya kali ini ini kerana turut menyumbangkan 3 buah soalan dalam interbiu bersama Johny Comes Lately. Banyak juga artikel-artikel menarik yang dimuatkan antaranya Lumpuh Di Temerloh (oleh Riduan Mohamad), DDT di Sabah, Bah! (travelog mini tour Dum Dum Tak tulisan editor zine ini, Nizang), Rumah Api Takkan Mati (oleh Adi Salvatrucha), Meat is Murder (cerpen ditulis dalam Bahasa Melayu oleh Matyie Abahaydar, penulis novel Paramalang), Hingga Hujung Hayat (catatan-catatan transplant – oleh Nizang yang melalui sendiri proses transplant tersebut), Madu & Racun (himpunan nota-nota pendek), Aku, Pen Marker dan The Dillinger Escape Plan (personal writing oleh Amirull Jaafar) dan ulasan eksklusif buku Aku Anak Punk. Tidak ketinggalan Mosh #18 turut menyelitkan beberapa karya senilukis dalam bentuk komik dan illustrasi, antaranya sumbangan Farriese (komik 2-mukasurat berjudul Persepsi), artwork-artwork oleh Raimi Barbarossa, Aku Napie, Irwan JCL dan Adi Shutterscream. Ruangan “butthurt” pula melibatkan sejumlah 5 mukasurat ulasan-ulasan editor ke atas beberapa produk zine dan muzik. Semua ini; merangkumi keseluruhan texts, arts & rock n roll sepertimana slogan junjungan Mosh Zine adalah satu himpunan bahan-bahan yang penuh pengertian, begitu banyak menyalurkan inspirasi dan perkongsian berguna kepada para pembacanya. Inilah kelebihan dan kekuatan Mosh, bukan sekadar bacaan kosong tanpa manfaat. Cepat dapatkan Mosh #18, ianya berbaloi dengan nilai RM yang kalian bayar untuk senaskah zine berkualiti seperti ini. Diterbitkan oleh Karya Raya Resources dan edaran menerusi Kidal. Hubungi nizangmosh@gmail.com. RM15 tak termasuk pos.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan