Memaparkan catatan dengan label The Bollocks. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label The Bollocks. Papar semua catatan

Sabtu, 28 April 2018

Rebiu | THE BOLLOCKS – Viva La Punk


THE BOLLOCKS – Viva La Punk
GLord Records
Vinyl 7" ini satu rilisan yang eksklusif dari The Bollocks. “Viva La Punk” mengandungi 4 rakaman studio yang tidak pernah dikeluarkan serta 2 petikan live sekitar 1995/1996. EP ini dilancarkan pengeluarannya buat kali pertama pada 18 September 2017. Ianya habis dijual dalam masa hanya beberapa hari sahaja. Saya bertuah memiliki edisi terhad Gold Vinyl 100 unit sahaja yang mula diedarkan oleh Glord Records pada 3 Oktober 2017. Sepertimana kita ketahui, The Bollocks yang ditubuhkan dalam tahun 1994 adalah antara band yang begitu besar pengaruhnya dalam scene muzik punk tempatan maka itu rilisan istimewa berdurasi keseluruhan 13:47 minit ini sudah tentu cukup penting untuk berada dalam rak koleksi kita. Side A dimulai oleh Viva La Punk, salah satu lagu paling menonjol dalam EP “Revolution” (1997) dirakam semula selepas 10 tahun, iaitu pada 29 April 2007. Diberikan nafas baru terutamanya penambahbaikan pada drum beat berbanding lagu asal. Track kedua, Keeper Of The Reins merupakan lagu yang tidak pernah diperdengarkan. Ia rakaman sekitar tahun 2007 untuk sebuah kompilasi yang gagal diterbitkan sehingga kini. Sebuah lagu yang jelas menampakkan bermulanya pendewasaan karya The Bollocks berbanding “My Friend” (Demo 1994 / EP 7" 1996) dan Cass.EP “Revolution”. Ini lagu yang keras, pantas dan membelasah, di mana mereka mula menggunakan drop tune dan ke arah Crust Punk dari segi sound. Seterusnya, Politicians (Live) dipetik dari persembahan pentas The Bollocks dalam gig “A Charity Show” di Piccadilly Discotheque pada 21 Julai 1996. Terima kasih kerana mengabadikan kenangan berusia lebih 20 tahun ini. Side B didahului oleh System Of Hate, sebuah lagu yang ada kisah tersendiri di sebalik rakamannya. Dirakam pada tahun 2014, tempoh perantaraan “Revival” (2007) dan “Society Collapse” (2016). Fasa di mana The Bollocks kehilangan vokalis Farid yang menarik diri dan tugasan diambilalih oleh Adik yang selama ini hanya bermain bass. Lagu ini unreleased, mood yang hampir serupa Keeper Of The Reins, ianya thrashing dan metal-charged gitu! Menyusul kemudiannya lagu berjudul Bitch II yang mengembalikan pendengar kepada asal-usul The Bollocks yang awalnya berpegang pada irama Street Punk. Bitch II yang dirakam pada 1995/96 di Dreamwalk Studio, KL mempunyai kaitan dengan The Bitch yang pernah dimuatkan dalam Demo 1994 (kemudiannya dirilis dalam format vinyl “My Friend” 1996). Chaos KP (Live) menutup “Viva La Punk” 7" EP. Lagu yang sudah tentu paling nostalgik dari band yang sememangnya bermula di Kuala Pilah. Memori itu dipahat pula dalam format live version, direkod semasa gig pertama The Bollocks di acara “Submerge Your Mind” di Piccadilly Discotheque, sebuah venue gig yang sangat sinonim dengan pergerakan awal scene muzik underground tempatan sekitar 90-an. Untuk makluman, kesemua enam lagu yang dimuatkan dalam rilisan ini telah remastered oleh Tom (gitaris The Bollocks sendiri) di Green House Studio, Kuala Lumpur. Kalian tidak perlu ragu tentang kualiti bunyi meskipun sumber audio datang dari pelbagai sesi rakaman (tempat dan masa) yang berbeza-beza. Selain poster bersaiz A3, pelekat percuma dan sebagainya, booklet 12-mukasurat mengandungi penceritaan yang lebih terperinci untuk setiap lagu, lirik untuk lagu-lagu yang previously unreleased, dilengkapi pula dengan banyaknya foto-foto rare dari The Bollocks. Oh ya, koleksi “Viva La Punk” saya bertambah sempurna dengan adanya versi Cassette Tape [Euro Pressing] rilisan ini yang turut berada dalam milikan saya, hehe! Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada GLord Records untuk penyediaan pakej yang sangat-sangat menarik ini, sesuai dengan reputasi The Bollocks itu sendiri.

Selasa, 9 Ogos 2016

Rebiu | HELLEXIST / THE BOLLOCKS – Split EP


HELLEXIST / THE BOLLOCKS – Split EP
Broken Noise Records
Hasrat menemukan dan menyatukan dua band punk berpengaruh dari dua era berbeza menjadi intipati kepada pengeluaran split EP ini. Hellexist dan The Bollocks masing-masing menghadirkan dua buah lagu karya terbaharu mereka secara langsung mempertingkatkan lagi kadar kemestian split berformatkan pro-tape ini perlu dimiliki. Hellexist tampil dengan lagu Genocide (3:55) dan Breed 2 (3:56) sedikit-sebanyak mengubat kerinduan untuk mendengar kembali dentuman-dentuman berat dan kelam blackened crust hardcore sepertimana mereka hidangkan dalam album “Age Of Death” kira-kira 3 tahun yang lalu (dikeluarkan pada 2013). The Bollocks menyediakan lagu All Its Said (2:52) dan We Are The Victims (3:07) seakan keseinambungan kepada kehebatan motorcharged hardcore punk yang mereka tonjolkan dalam album “Society Collapse”. Ini himpunan lagu-lagu punk yang lebih terkini, lebih segar, lebih digilap dan lebih mantap penghasilannya dari kedua-dua band yang tidak perlu lagi dijadikan tandatanya tentang kredibiliti mereka sebagai penjana muzik punk terbaik di negara ini. Highly recommended.
facebook.com/hellexist666
facebook.com/The-Bollocks-110977015614434
facebook.com/brokennoiserec

Rebiu | THE BOLLOCKS – Demo 1994 (reissue)


THE BOLLOCKS – Demo 1994 (reissue)
Green Peace Distro
Saya melihat kepentingan rilisan semula Demo 1994 karya The Bollocks ini dari sudut nilai sejarahnya. Saya percaya ramai antara kita hanya mengetahui permulaan karier band punk asal Kuala Pilah ini menerusi keluaran piringhitam 7 inci “My Friend” (Tian An Men 89 Records, 1996) tanpa menyedari ujudnya demotape mereka yang terlebih dahulu diriliskan sekitar tahun 1994. Hakikatnya, Demo 1994 itulah yang mendorong kepada tawaran dan pengeluaran 7" EP tersebut. Kesemua lagu dari demo dimuatkan dalam 7" dengan tambahan lagu Obat. Terima kasih kepada The Bollocks dan label pengeluar Green Peace Distro yang membawa kembali rilisan bersejarah ini ke pasaran hari ini dan seterusnya memberi peluang kepada generasi masakini terutamanya mengenali detik-detik terawal kehuru-haraan punk rock ciptaan The Bollocks dan bagaimana puncanya fenomena Chaos KP. Antara perkara-perkara yang paling menarik tentang reissue demo ini ialah mengekalkan konsep cover asal demo tersebut (dengan penambahan gambar-gambar lama band pada inlay), material audio diberikan proses remastered oleh pihak The Bollocks sendiri (oleh Tom) bagi menyerlahkan kembali kualiti bunyinya agar kedengaran segar sepertimana asal ia dikeluarkan dan paling tidak diduga ianya diedarkan pada harga hanya RM5, satu kadar harga yang seakan tidak masuk akal berbanding peningkatan berlipat ganda kos hidup hari ini. Rilisan ini sesuatu yang tidak patut dilepaskan oleh semua penyokong muzik underground tempatan kerana saya percaya ia tidak akan lagi berulang dan ini (mungkin) satu-satunya peluang terakhir anda untuk memperolehi rilisan yang menoleh kembali keujudan The Bollocks kira-kira 22 tahun yang lalu.
facebook.com/The-Bollocks-110977015614434
facebook.com/Green-Peace-Distro-828902057131372

Khamis, 30 Jun 2016

Rebiu | THE BOLLOCKS – Society Collapse


THE BOLLOCKS – Society Collapse
Tandang Records / Basement Records
Gila! Memang gila! Aku tidak maksudkan mereka ini orang gila, haha, tetapi The Bollocks itu bersama muziknya memang betul-betul menggila!!. Apa tidaknya, aku fikir kembalinya The Bollocks menerusi album baru “Society Collapse” pasti akan sedikit mengendur dan mendatar berbanding “Revival” (2008) yang aku anggap cukup keras dan pedas ketika itu [dalam rebiu aku terdahulu]. Mungkinlah kan.. dengan peningkatan usia setelah lebihkurang 8 tahun. Rupanya sangkaan aku meleset. Terjahan dan tujahan The Bollocks dalam “Society Collapse” semakin-makin jahat!; padu, laju, berat, padat, metal-influenced bersatu dalam estetika Hardcore Punk yang cukup jitu dan tinggi nilainya. Inilah penangan orang lama yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bermuzik dan membudayakan diri dengan filosofi punk. Tidak setakat senilagu dan muziknya, lirik-lirik dan suara The Bollocks turut kian lantang membidas mengelibas segala isu dan permasalahan domestik dan global. Ini himpunan 10 buah lagu (lebih 30 minit keseluruhannya) yang perlu ada dalam senarai harta milik anda, khususnya penyokong scene underground tempatan; tanpa mengira anda metal, grind, apatah lagi penggemar muzik punk. “Society Collapse” adalah manifestasi penyatuan karisma Punk Rock old-school dalam persekitaran modenisasi muzik independen hari ini. Aku dengan ini mengisytiharkan The Bollocks kini telah meletakkan satu tanda aras baru muzik Hardcore Punk di Malaysia.
facebook.com/The-Bollocks-110977015614434
basementrecordz.bandcamp.com
tandangrecords.bandcamp.com

Khamis, 31 Disember 2015

Rebiu | The Bollocks – Revival


The Bollocks – Revival
Sebolehnya saya tidak mahu komen panjang tentang The Bollocks. Ia sebuah nama yang tidak perlu lagi diperkenalkan. Mereka antara yang terawal merintis laluan punk dalam scene muzik underground tempatan. Dan mereka antara yang terbaik untuk dijadikan rujukan oleh generasi punk hari ini. “Revival” asalnya dalam format cakera padat keluaran Life On The Edge Records (2008) dan yang direbiu ini adalah rilisan semula oleh Basement Records (2014) dalam bentuk pita audio. Album ini, menurut pendapat saya, lebih keras dan berat muziknya, bahkan lirik-liriknya juga berbanding “Revolution” (Cass.EP 1997). Istimewanya, “Revival” memuatkan rakaman semula lagu lama The Bollocks; Police Federation (1994) dan No More War (1995) serta saduran Tak Mau Lagi (lagu asal Mass Separation). Dapatkan segera tape ini sementara stok masih ada. 
facebook.com/The-Bollocks-110977015614434