Sabtu, 25 Ogos 2018

BPSD-02 | ERTI ANARKISME


Judul: Erti Anarkisme
Penulis: Mark David
Kod: BPSD-02

Terjemahan ke dalam Bahasa Melayu teks asal oleh Mark David. Terdapat lapan (8) bahagian penulisan esei merujuk kepada pengetahuan asas mengenai golongan Anarki dan budaya Anarkisme. Naskah 16-mukasurat termasuk kulit luar bersaiz A5 ini tidak tersedia untuk dijual, ianya diberikan percuma kepada pembeli Bangkit! Fanzine (melebihi RM50). Kuantiti cetakan adalah terhad!


Terbitan & Edaran:
BANGKIT! PUBLISHING SUPPORT DIVISION
facebook.com/bangkitzine

BANGKIT! FANZINE – Isu #9


Diterbitkan secara rasmi pada 25 Ogos 2018 | BANGKIT! FANZINE isu #9 | Edisi ke-sembilan di bawah kategori “Siri Tetap” (Regular Series) ini mengetengahkan band-band seperti XRDM (yang aku tampilkan sebagai coverstory), OLD UNIT, CANTILEVER, NATIONAL NEXT, STREET YOUNGSTERS, ABLERTRIBE dan DUCKHEAD. Mereka-mereka ini adalah antara band hardcore / punk generasi muda yang berpotensi besar, hadir dengan rilisan-rilisan yang cukup meyakinkan! Kenali mereka dan ayuh berikan sokongan sepenuhnya kepada band-band serta rilisan tempatan. Kita sama hebatnya dengan band-band di luarnegara sana. BANGKIT! #9 adalah isu yang agak istimewa. Sepertimana diperhebahkan sebelum ini, ia diterbitkan dalam format split-zine bersama MY OWN MIND #1 yang menampilkan ACID DISTORTION, BAD IDEA, CENDOL’S DEAD, DISTASTE, KLABU ASAP, MAVIS DIRTY PROJECT, PXTX, THE PAPAS dan THE SUSE (Indonesia) dalam slot temubualnya. Sebagaimana biasa, kami menyedia ruangan ulasan, artikel dan informasi sebagai pelengkap; dimampatkan sepadatnya dalam naskah 60-halaman mukasurat bersaiz A5.

Harga: RM8 senaskah (tidak termasuk kos pengeposan)
+ RM2 pos biasa
+ RM4 pos daftar
+ RM8 poslaju Semenanjung / RM12 poslaju Borneo

Pembayaran:
MAYBANK – 153010198114
SUFIAN MOHAMED SALLEH

hubungi:
facebook.com/piankvlt – Pyan Nathias (editor)
facebook.com/bangkitzine – Bangkit! Facebook
whatsapp 019-2597570


Nota: HARGA PUKAL ISTIMEWA untuk yang minat membantu pengedaran Bangkit! Fanzine – sila berhubung!

Isnin, 13 Ogos 2018

Rebiu | FAST AS FUCK – Isu #0


FAST AS FUCK – Isu #0
12ms / A5 / Bahasa Inggeris
Keluaran ini diklasifikasikan sebagai Unofficial Promo Issue, diedarkan secara muat-turun percuma. Ia bersifat percubaan, sampel kepada penerbitan rasmi isu pertama yang katanya masih dalam pembikinan. Fast As Fuck zine dikelola oleh Harshziqr yang juga individu di sebalik projek harsh-noise Kao-Tik dan pernah aktif bersama Haramjadah. Zine ini fokus kepada muzik Grindcore dan segala subgenre aliran tersebut. Isu #0 menampilkan interbiu bersama Mentor Grind (Ecuador), Badak Militia (Indonesia) dan Bangkok Anarchy (Thailand), serta beberapa ulasan CD dan juga artikel “What is Grindcore?”. Pada keseluruhannya zine ini agak simple samada layout mahupun pengisian namun masih tetap satu usaha yang menarik.

Rebiu | PEDAL TO THE METAL – Isu #7


PEDAL TO THE METAL – Isu #7
60ms / A5 / Bahasa Melayu
Pedal To The Metal #7 diterbitkan pada Mac 2018. Ini zine yang sememangnya sentiasa saya nantikan keluarannya. Terkejut juga dicatatkan tuan editornya Rammy Azmi a.k.a Ahmad Ra1m1 menderita robekan meniscal yang mengakibatkan beliau sukar berjalan beberapa minggu sebelum menyiapkan isu ketujuh ini. PTTM terus setia dengan prinsip dan konsepnya, menariknya kali ini sedikit lebih tebal hingga mencapai 60 halaman termasuk kulit luar (ah! suka benar saya menikmati frontcover-nya, ia cantik). Sebagaimana biasa seperti isu-isu sebelumnya, editor menulis dan melapor aktiviti-aktiviti berbasikal, kembara dan riadah beliau dalam isu ini; kayuhan 3 hari 2 malam bersama Marco Yolo (di sekitar negeri Perlis), travelog Merantau ke Palembang dan juga catatan panjang Menjejaki Air Terjun Kampung Tauhid, Bukit Permata. Tulisan-tulisan editor ini tidak sekadar penyaluran informasi dan perkongsian pengalaman, tetapi turut menyelitkan / dikaitkan elemen keagamaan menjadikan keseluruhan teks-teks ini memiliki nilai ilmiah yang tinggi dan nemberi banyak manfaat. PTTM #7 turut memaparkan 3 interbiu; bersama Devourer Of Light, Kvlts, dan Overhaul. Tiga genera muzik yang berbeza dan konversasi yang matang untuk anda telaah, sangat menarik! Cerpen “Ixaxaxar” sumbangan Nayyir al-Fakka bolehlah saya anggap novel mini kerana ia melibatkan 15 mukasurat, haha! Banyak lagi yang boleh dibaca dan dihayati pengisian serta mesejnya dalam zine yang cukup padat dan sarat ini termasuklah ulasan manuskrip dan ulasan muzik ghuluw. Semuanya sentiasa terbaik dari Pedal To The Metal yang baru-baru ini dikhabarkan menukar nama kepada Rakap Besi.

Rebiu | NOSTALGIA SYOK SENDIRI – Isu #2


NOSTALGIA SYOK SENDIRI – Isu #2
44ms / A5 / Bahasa Melayu
Isu kedua Nostalgia Syok Sendiri tampil dengan wadah dan wajah yang lebih sempurna, kemas dan tersusun. Dikhabarkan terdapat dua versi kulit luar untuk NSS #2 ini. Yang saya miliki berkulit merah dengan foto lama Jaie Sil Khannaz menghiasi kulit hadapan. Versi lain berkulit biru menampilkan sepasang kanak-kanak bermain buaian, difahamkan anak-anak tuan editornya sendiri iaitu saudara Sharumnizam Sariff. Paparan utama isu kali ini saya kira adalah dua bual-bicara. Pertama bersama Lan Bear yang berkisar tentang Infectious Maggots. Agak menarik mereka bersembang (chatting) di alam maya, menerusi facebook. Mungkin akan lebih baik kalaulah bro Sharumnizam mencatatkan tarikh berlangsungnya perbualan tersebut. Yang kedua juga manuskrip wawancara di alam maya, bersama Skoba Bazzah dan mereka bercakap tentang Parasite, band grindcore dari Bandar Pusat Jengka yang dah ujud sekitar akhir tahun 80an. Sangat “rare” perbincangan ini dan saya pasti ia dapat dibaca hanya menerusi zine NSS isu kedua ini. Pengisian lain cenderung kepada konsep mengimbau memori (KLMJ) antaranya himpunan flyer-flyer lama, keratan akhbar dan juga koleksi artwork. Catatan-catatan peribadi editor sepertimana di bawah tajuk “Aku dan Dunia Muzik UG”, “Nasik Lemak Sambal Ikan Bilis”, dan “Senyum Tanda Gembira Atau Berduka???” adalah penulisan-penulisan yang wajib dibaca. Terbaik hasilkerja anda bro Sharumnizam. Saya menanti NSS #3 pula. Hubungi: facebook.com/sharumnizam.sariff.

Rebiu | NOSTALGIA SYOK SENDIRI – Isu #1


NOSTALGIA SYOK SENDIRI – Isu #1
40ms / A5 / Bahasa Melayu
Isu pertama Nostalgia Syok Sendiri (NSS) tampil dengan kulit luar yang hanya bersandarkan flyer lama gig Escape From Society (1999). NSS disunting dan diterbitkan oleh saudara Sharumnizam Sariff, sahabat lama saya di Seremban yang mana satu ketika dahulu pernah mengeluarkan zine Basuhotax!. NSS cukup jelas membawa elemen nostalgia manakala “syok sendiri” lebih menjurus kepada tafsiran editor yang menggambarkan sifat personal penghasilan zine ini. Terkandung lebih 10 buah sajak/puisi di dalam isu ini, sebahagian besar nukilan bro Sharumnizam sendiri, beberapa kontribusi dan tampalan keratan akhbar/majalah. Turut dimuatkan dua temubual lama yang rasanya tidak pernah disiarkan sebelum ini. Yang pertama bersama Fairulazha / Grind Your Ass zine di mana menariknya turut disiarkan salinan surat bertulis tangan dari editor zine berorientasikan muzik grindcore tersebut. Temubual kedua adalah bersama Iza, editor zine Propaganda. Menarik sebenarnya kedua-dua temubual ini meskipun sekadar jawaban yang disiarkan. Mungkin Sharumnizam dah kehilangan set soalan yang dikemukakan akibat terlalu lama tersimpan / terpendam. Selainnya turut diselitkan koleksi flyers lama, artwork, komik dan beberapa catatan peribadi. Sharumnizam berjaya membawa maksud “nostalgik” dari kompilasi himpunan kerja dan karya-karya lama beliau, kesinambungan kepada usaha-usahanya yang tergendala dari zine terdahulu, Basuhotax!. NSS #1 ini jika tidak silap saya dilancarkan pengeluarannya semasa Seremban Zine Fest 2016.

Ahad, 12 Ogos 2018

Rebiu | BAMM! ZINE – Isu #2


BAMM! ZINE – Isu #2
60ms / A5 / Bahasa Melayu
Setelah tampil dengan debut issue pada Disember 2017, Bamm! Zine tidak membuang banyak masa untuk datang lagi dengan isu kedua sekitar Februari 2018. Ini satu jenis zine yang saya suka nak rekomen atas dasar banyak perkara. Pertama, prinsipnya “dari lokal kepada lokal untuk lokal” yang bermaksud ia fokus pada scene Sabahan, Sandakan terutamanya. Tiga editor iaitu Lai (Norlaila Baizura Simeran), Leăh Taupik a.k.a Bibie dan Rien Sd konsisten dengan fokus mereka sedari edisi pertama dan ini menjelmakan satu identiti “trademark” yang menarik dalam penerbitan Bamm! Zine. Keduanya, tema kandungan zine Bamm! ini juga agak luas dan terbuka. Jika dilihat pada kulit hadapan isu #2 ini, mereka meletakkan tagline “seni | muzik | aktivisme | kolektif | bikin filem” yang cukup jelas menggambarkan ruang-lingkup pengisiannya yang pelbagai dan tidaklah terikat pada satu-satu skop tertentu sahaja. Bamm! #2 membawakan temubual bersama Mika Rotten (editor zine Discarnage), Bentarakata (kolektif kerja seni), Mukmin Natang (aktivis mahasiswa/sosial & pemuisi), Made In Kilang (punk rock KK), Orang Planet (post-punk KK), Nadira Ilana (film-maker), Farahani Mahadi / Frequency Mode (art performance). Terdapat juga rebiu band Markaz69 (band ska dari Kota Kinabalu) dan laporan gig Seharian Dalam Ruang Tanpa Kroni. Turut dimasukkan artikel Politik Tanpa Parti!, beberapa cerpen dan perkongsian puisi serta yang paling nice sudah ada slot forum/survei terbahagi kepada tiga bahagian; “Kenapa Tulis Zine?”, “Apa Itu Zine, Zinakah?” dan “Zine Lokal Apa Cerita??”. Keseluruhannya layout yang kemas dan disusun cantik, dengan gaya penulisan para editor pun best, santai-santai sahaja tapi tetap menitikberatkan informatif. Ini zine yang saya syorkan untuk anda semua!

Rebiu | THE AKSARA COMMUNE – Isu #2


THE AKSARA COMMUNE – Isu #2
44ms / A5 / Dwi Bahasa
The Aksara Commune akhirnya kembali bersamanya isu kedua pada Februari 2018, kira-kira 16 bulan selepas isu pertama diterbitkan sekitar Oktober 2016. Pada satu ketika, saya agak gusar yang editornya saudara Karim Abdullah berhenti menulis / menerbitkan zine memandangkan kepada laman wordpress beliau yang lama tidak dikemaskini. Ianya penantian yang berbaloi kerana kepulangan zine TAC turut disertai kualiti penerbitan dan pengisian yang lebih memberansangkan! Cetakan berwarna pada kulit luar, penggunaan brown paper secara menyeluruh, hasilkerja rekabentuk & susunatur yang sangat rapi dan kemas (diselenggara Sarajevo Amira Maisara) serta kehadiran co-editor Nadiah Aminuddin yang cukup membantu telah meletakkan TAC pada tahap kualitinya yang tersendiri. Isu ini mengetengahkan temubual band bersama A Lot Like Turd dan The Pinholes, empat ulasan gig, beberapa artikel dan tidak ketinggalan ruangan ulasan album. Penulisannya sangat menyeronokkan untuk dibaca dan editor juga begitu fluensi dalam berbahasa Inggeris. The Aksara Commune ini pastinya zine yang wajib anda miliki, khabarnya mereka melancarkan isu ketiga pula di Cyberjaya Zine & DIY Fest, 11 – 12 Ogos 2018. Cepat dapatkan!

Rebiu | TAFAKURISK – Experimental Issue


TAFAKURISK – Experimental Issue
32ms / A5 / Dwi Bahasa
Tafakurisk lahir dan kehadirannya seperti “anak didik” kepada zine Trypophobia (bahkan ini ada diceritakan di ruang “Heeelllo”, editorial ringkas isu eksperimental ini. Pun demikian, saya dapati pengisian Tafakurisk tidaklah seberat Trypophobia, di mana lebih santai dan mudah dihadam. Menarik juga dikhabarkan isu ini disiapkan dalam masa hanya dua-hari, dijayakan oleh seorang anak muda yang baru selesai peperiksaan STPM beberapa hari sebelum ia dikeluarkan. Saya menerima naskah ini pada hari berlangsungnya KLZF2017. Tafakurisk terbentuk namanya dari perkataan Tafakur (fikir) dan Risk (bahaya), yang mahu dimaksudkan sebagai kritis dalam berfikir atau sinonim dengan istilah-istilah seperti kritikal, keanehan, kejanggalan dan antithesis. Dua interbiu band dimuatkan iaitu bersama Lost Control dan Damaged, kedua-duanya kugiran berpaksikan muzik hardcore dari sekitar Kuala Lumpur. Hanya 4 atau 5 soalan yang dikemukakan tetapi band-band memberi respon yang cukup baik menjadikan sesi temubual tersebut detail dan informatif. Editor turut menulis dan menyiarkan show review melibatkan “a night to be cherished with Fazerdaze” dan “Turnover live in KL”. Editor juga memaparkan beberapa artikel ringkas, personal notes dan diadakan juga ruangan puisi dengan kandungan beberapa sajak tulisan beliau sendiri. Kerja-kerja design & layout agak straight-forward (seperti Bangkit! zine juga), bersih, sedap mata memandang serta mempermudahkan pembacaan. Saya kira ini zine yang berpotensi dan saya mahu melihat Tafakurisk terus berkembang di isu-isu keluaran seterusnya! Tahniah, percubaan ini lulus! Hubungi emel darwisarajevo@gmail.com atau twitter.com/_ darwisarajevo.

Rebiu | TRYPOPHOBIA – Isu #3


TRYPOPHOBIA – Isu #3
72ms / A5 / Dwi Bahasa
Seandainya anda mencari sebuah zine yang padat, sarat malahan cukup pekat dengan pengisian ideologi, filosofi, sikap dan sifat-sifat sub-kultur punk, maka Trypophobia sentiasa berada dalam senarai media yang saya syorkan! Zine kelolaan dua editor, Ribut Cicak dan Fakkiu ini kembali menerusi isu ketiga yang terbit pada 9 Disember 2017 sewaktu berlangsungnya acara Kuala Lumpur Zine Fest tahun tersebut. Ini penghasilan yang lebih tebal berbanding isu-isu sebelumnya, terkandung begitu banyak artikel-artikel serta penulisan pelbagai wadah dan wajah (serius, berat, santai, panjang-lebar, ringkas, informatif, konstruktif, dan sebagainya) menyentuh bermacam-macam isu dan perihal; dari kritikan politik dan sosial hinggalah kepada persoalan pemikiran dan tindak-tanduk seorang yang mahu dirinya digelar pengamal budaya punk! Sangat menakjubkan isu kali ini bukan sahaja dalam aspek kuantiti dan kualiti kandungan, tetapi juga integriti penulis (kedua-dua editor dan beberapa kontributor) dalam menghasilkan penulisan masing-masing. Tryphopobia #3 turut menyelitkan temubual bersama Hacktick! (band pop-punk dari Klang), Unknown Soldier (street punk/oi Singapura), Ein SecondxCombat, dan Noise A Go Go’s (Jepun). Biar saya simpulkan keseluruhannya, untuk pembelian zine dan pembacaan yang akan membuatkan anda bersemangat, meningkatkan rebellious dalam diri anda, serta terseyum puas dengan nilai hanya RM6 untuk senaskah zine, maka Trypophobia perlu anda cari dan miliki, ianya mutlak!

Sabtu, 11 Ogos 2018

Notasi | SEBUAH CATATAN MEROYAN

Tanggal 31 Julai 2018 pada jam 12:07 tengahari aku ada menulis sebuah catatan yang aku pos di dinding laman mukabuku peribadi aku sendiri – facebook.com/piankvlt. Aku arkibkannya di sini:

Masa dan keadaan seringkali tak memihak pada diri ini. Kewangan sebenarnya taklah begitu baik. Kesihatan juga selalu sahaja tak mengizinkan, semakin dimamah usia. Dalam banyak situasi berhadapan semua kesulitan ini, aku kerap berdegil. Melawan kepayahan dengan sisa-sisa semangat yang ada. Bimbang sentiasa ada kalau-kalau tiba saatnya semua ini berakhir, maafkan aku kalau semua ini nanti akan hanya tinggal kenangan cuma aku khuatir akan meninggalkan “hutang” yang besar.

–“hutang” maksud aku disini seperti “free copies” yang dijanjikan masih belum dihantar, janji menemubual / mengulas band yang dah hantar promo-copy, janji nak beli stuff mereka (tapi aku sebenarnya tak cukup duit), dan bermacam lagi!

Alhamdulillah, aku dah kian pulih dari “terlantar” demam dan lelah (asthma) selama hampir dua minggu. Ahad baru ni pula kereta aku “sakit teruk”, breakdown di hadapan SMK Agama Kuala Selangor sewaktu menghantar pulang anak ke tempat pengajiannya di Sabak Bernam. Allahu, indahnya ujian Tuhan. Menyedarkan aku kepada banyaknya “hutang” aku kat kawan-kawan, dan yang paling penting tentang HUTANG aku pada Dia Yang Maha Esa.

InshaaAllah, kalau dapat aku nak selesaikan kerja-kerja pengeposan salinan percuma “Sajak-Sajak Rebel Anak-Anak Punk” dan “Bangkit! #8.5 (keluaran khas Rock Bebas)” dalam masa terdekat ini. Mohon maaf banyak-banyak kalaulah ia membuatkan kalian yang terlibat (band/contributor/etc) tertunggu-tunggu. Aku tak pernah nak berniat untuk “menipu” atau lari dari tanggungjawab menghantar salinan-salinan percuma (complimentary copies) sebagaimana yang dijanjikan, cuma kadang-kala ia mengambil masa, pengeposan secara berperingkat – lebih-lebih lagi yang melibat-kan jumlah penerima yang besar dan terpaksa menunggu pusingan modal untuk menampung kos cetakan & pengeposan. Menulis dan menerbitkan zine itu menyeronokkan, tapi ia bukannya mudah dan memerlukan banyak pengorbanan!

Dalam masa yang sama (atau mungkin lebih baik selepas aku lunaskan semua “hutang” yang masih berbaki), aku nak kembali menyambung bahagian-bahagian yang belum disiapkan dalam issue baru “Bangkit! #9 (split-zine bersama My Own Mind #1)”. Dah semakin tertunda penerbitan issue ni, meskipun hanya sekitar 25% sahaja lagi penulisan yang perlu disiapkan. Harap-harap band yang ditampilkan dalam issue ni tak marahkan aku sebab aku lambat buat kerja. 

Dalam diam, aku ada usaha nak terbitkan juga “Bangkit! #9.5 (keluaran khas Cyberjaya Zine & DIY Fest 2018)” tapi dalam keadaaan sekarang aku terpaksa mengalah, aku gagal! Tak mungkin issue ini dapat disiapkan dalam masa terdekat ini walaupun sebahagian besar bahan-bahan dahpun ada. Aku pun sebenarnya tak dapat nak menyertai event tersebut, sebab pada tarikh 10 hingga 13 Ogos wife aku akan ke luarnegara jadi aku perlu berada di rumah menguruskan anak-anak. Maafkan aku, Bangkit! #9.5 terpaksa DIBATALKAN [interviews dan bahan-bahan yang masih relevan akan dipinda / dimuatkan dalam isu-isu akan datang].


Ni baru cerita pasal pembikinan zine, huhu! Pengeluaran rilisan-rilisan baru di bawah label kecil aku Blazt Promotion pun dah tertangguh lama. InshaaAllah, aku cuba sedaya-upaya mengeluarkan dua rilisan (yang sepatutnya dah rilis kalau mengikut jadual asal) sekitar Ogos nanti; “FILSUFATIA - The Great Age of Depression” dan “DOSA - Talking about Punk Scene and Cronyism”. 

Maafkan aku yang bergelut dengan kesulitan kewangan, kesihatan yang tak menentu, serta “hutang-hutang” aku pada kalian.

– Yang ikhlas, Pyan Nathias.

Pautan asal:

Rebiu | MAVIS DIRTY PROJECT / FINGERED – Split 2018


MAVIS DIRTY PROJECT / FINGERED – Split 2018
Punkcaroba Entertaintment
Rilisan split tape yang mempertemukan Mavis Dirty Project (Malaysia) dan Fingered (Australia) ini telah dikeluarkan secara rasmi pada 22 April 2018, masing-masing mengetengahkan 4 lagu. Side A diisi oleh Fingered dengan lagu-lagu seperti No Caption Needed dan New Evil yang dipetik dari EP “Cue The Music” (2016) serta Thunderbird dan White Knuckles dari rakaman / rilisan EP “White Knuckles” (2017). Muzik band yang beralamat di Currumbin, Queensland ini adalah Punk Rock yang agak memikat, kedengaran keras nuansanya dan cukup rocking!. Saya tertarik dengan riff-riff gitar dan struktur lagu mereka cukup kreatif serta lontaran vokalnya yang bertenaga. Mavis Dirty Project (MDP) dari Kuching, Sarawak menyusul di Side B dengan tiga lagu baru; Access Denied (feat. Gav Nicholl), Ajaklah Pemimpinmu Turun Kejalanan dan Nazi Troopers Fuck You! (feat. Gav Nicholl) serta sebuah lagu lama berjudul Punk Sensasi, antara lagu yang mengangkat nama MDP dalam scene hardcore punk tempatan selain Stop This Discrimination dan Pancaroba. Irama Punk Rock yang lazat dari band yang telah ujud semenjak tahun 2004 ini; komposisi kord dan riff serta melodi yang senang diterima dan mudah dihadam, kedengaran simple tetapi dimainkan agresif, rancak dan penuh energetik yang pastinya menghasilkan karya-karya yang menghiburkan dengan lirik-lirik serta mesej yang serius! Alirannya mengingatkan saya kepada band-band seperti Rancid dan Sex Pistol selain Marjinal dan Dum Dum Tak. Pada keseluruhannya, ini sebuah kaset split yang amat baik untuk kalian miliki, apatah lagi jika anda ingin mendengar beberapa hasilkerja terbaharu dari Mavis Dirty Project. Berbaloi!

Rebiu | SPLIT TONGUE – Smash The Wall


SPLIT TONGUE – Smash The Wall
Secret Records
Ini rilisan yang tersangatlah memberikan kepuasan! Hampir 13 minit setengah kerangupan old-school Hardcore/Punk yang dikacuk bersama irama Oi! dan UK82. Demo CD-R (2015) mereka telah saya rebiu dalam Bangkit! isu #1 tempohari. Mereka terus mengorak langkah dan semenjak itu, potensi band bergelar Split Tongue ini dilihat begitu berkembang pesat menerusi rilisan kaset EP berjudul “Small The Wall” ini. Terkandung di dalamnya 8 buah lagu yang cukup rancak, lasak dan ‘menendang punggung’. Kalian pendengar pasti terpesona dengan riff-riff pantas dan kencang, permainan beat yang laju tanpa mengetepikan elemen catchy serta ekspresi vokal yang mantap menyuarakan kritikan mereka terhadap isu-isu politikal dan sosial. Kualiti EP ini jauh lebih baik berbanding demo terdahulu di mana produksi bunyinya mantap dan mengesankan, hasil rakaman dan kerja adunan di studio berwibawa Iseek Music. Band-band luar seperti 86 Mentality, Negative Approach, Violent Reaction dan semestinya The Combat Zone adalah gambaran paling hampir kepada aliran muzik mainan Split Tongue, band berpengkalan di Shah Alam yang beranggotakan Pdoih (vokal), Gaga (gitar), At (bass) dan Lem (dram). Puas hati dan memang padu!

Sabtu, 4 Ogos 2018

Rebiu | KELEDEXX – Demo 2017


KELEDEXX – Demo 2017
Nervhous Records
Keledexx berpengkalan di Jerantut, Pahang dengan ahlinya terdiri daripada Usop (gitar), Asbu (bass), Payed (vokal), Epu (gitar) dan Kilat (dram). Mereka berlima menyiapkan rakaman di Zmin Studio pada Mac 2017 yang mana kemudiannya dikeluarkan dalam format kaset demo rilis secara rasmi pada 27 Disember 2017. Agak mengelirukan juga di frontcover tertulis “Politikus Mampus” sebaliknya pihak label sekadar menyatakan “Demo 2017”. Tak mengapa, ia bukan masalah besar. Demo ini mengandungi lima lagu sendiri dan sebuah saduran; 1. Mantak / 2. Suara / 3. My Friends / 4. Politikus Mampus! / 5. Class War! / 6. Di Tengah Kota (lagu asal Alleycats). Konsep bawaan Keledexx amat menjurus kepada Political Hardcore Punk, satu konsep yang begitu mengingatkan saya kepada Dum Dum Tak. Keledexx tidak dapat tidak, tak dapat lari dari disamakan dengan DDT dalam aspek muzik dan juga lirik. Cuma Keledexx perlukan sedikit lagi ruang dalam menggilap kualiti bunyi rakaman mereka, dan jika ini dapat diatasi saya jamin Keledexx akan lebih kebaboom di masa hadapan. Punk Rock mainan Keledexx pada keseluruhannya kedengaran lazat, lagu-lagu yang rancak bertenaga, disulami kocokan-kocokan melodic / poppish yang pastinya mengundang pendengar menyanyi dan menari bersama mereka. Garapan Keledexx untuk Di Tengah Kota (Alleycats) tu memang terbaik-lah!. Tanpa sangsi, Keledexx mampu bergerak lebih ke depan dan membesar dalam potensi yang mereka ada. Teruskan berkarya!

Jumaat, 3 Ogos 2018

Rebiu | CHUUSHABARI KONNYUU BUTA – Early Porks (Bonus: Live in Bryansk, Russia)


CHUUSHABARI KONNYUU BUTA – Early Porks (Bonus: Live in Bryansk, Russia)
Public Perversion / Bloodbath Records
First of all, huge thanks to my old friend Yutaka Kimura for this promo-copy of Chuushabari Konnyuu Buta “Early Porks” CD (2017). This album released under his legendary Bloodbath Records [now relocated in Hanoi, Vietnam] in collaboration with a Vietnamese label, Public Perversion. Chuushabari Konnyuu Buta (which means Needle-Contaminated Pork) is a one-man Brutal Death Metal band from Niigata, Japan. The CD “Early Porks” includes 11 tracks [total duration 37:55 minutes]; 8 studio recordings and 3 bonus tracks recorded during live in Bryansk, Russia (Death Grind Fest #6 in 6th March 2016). Musically, the band plays brutal grinding/slamming Death Metal – totally heavy sound production, slow- to mid-paced groovy riffs, fiercy and gory at all course. The vocals are varies from grunts to squeals and croaks seep in and out of the music. Get this CD and let your ears bleed. Instantly contact: bloodbathrec@hotmail.com or public.perversion@gmail.com.

Rebiu | TERSSALAHH – Born To Party


TERSSALAHH – Born To Party
Independen
Rilisan lama yang masih lagi saya dengar sehingga kini. Bukanlah lama sangat, EP “Born To Party” dari Terssalahh ini dikeluarkan sekitar tahun 2015, dirakam di Rumah Api yang pada waktu itu masih berlokasi di Ampang. Terssalahh yang dibarisi DD (vokal), EG (gitar), Kurt (bass) dan Arm (dram) memperagakan muzik Crossover / Thrashpunk dalam EP mengandungi lapan lagu ini, termasuk dua lagu cover di mana salah-satunya Park Scabs and Ramp Tramps (lagu asal Common Enemy). Sound quality agak baik meskipun sekadar rakaman dan rilisan DIY. Lagu-lagunya mengalir agresif, riff-riff yang deras, dram yang membelasah, bass ada kalanya menonjol serta kelantangan vokal menjadikan EP berdurasi lebih 14 minit ini sentiasa menarik untuk dinikmati. Tiga lagu terakhir adalah kegemaran saya; Punks and Disorder, Sial, dan juga Born To Party. Selain Common Enemy, band-band seperti Municipal Waste [band ini juga ada lagu bertajuk Born To Party, dalam album “The Art of Partying”], thrashcore tempatan Sarjan Hassan dan sudah pastinya S.O.D. (Stormtroopers Of Death) antara inspirasi utama binaan muzik Terssalahh. Thrash-it-loud, aargghhh!!

Rebiu | DISM – Warmageddon


DISM – Warmageddon
Dismania Production
DISM adalah akronim kepada frasa Dark Insurgent Subarbs Mangel, nama untuk sebuah band yang ditunjangi Chex Khaos (bass), Atoi (gitar), Sidd Hellstrom (vokal) dan Zam (dram). Mereka sebenarnya tergabung dari ahli-ahli kumpulan The Dirty Dogs, Psychö Sickness, Discrusher, The Bongox dan The Dicksons. Tanpa banyak membuang masa, DISM terus menjalani rakaman di Laguna Music Green House Studio pada 22 Januari 2017 dan 16 April 2017, dan hasilnya adalah rilisan album penuh pertama mereka berjudul “Warmageddon” pada bulan Jun tahun tersebut. Full-length dalam format pita kaset ini bermuatan 10 buah lagu serta tambahan intro (Impact Of War) dan outro (Destruk-Vision). Lagu-lagu mereka; Warmageddon, System From Hell, No More Reality, State Curfew, Burden Our Life, Dark Paradise, Janji Kosong, Brutalocaust, Restricted, dan A Nightmare For Today yang disusun samarata pada Side (A) dan Side (E) adalah contoh terbaik untuk olahan irama Crust / D-beat yang kaya idea! Pengalaman serta pengetahuan seakan menjadi faktor kepada keupayaan DISM dalam menggarap rupabentuk dan nuansa yang tepat untuk muzik sedemikian. Mereka tahu secara mendalam tentang apa yang mahu dilakukan – komposisi yang simple (mudah), permainan yang pantas, keras, rancak bertenaga serta impak muziknya yang terus-menerus menghentam dan mendera! Vokal dilontar dengan lantang, garang dan penuh amarah! DISM dilihat begitu berjaya merealisasikan muzik UK-inspired Noisy Raw Punk dengan pengaruh-pengaruh utamanya kemungkinan datang dari band-band seperti Discharge, Broken Bones, Disgust, Anti Cimex, Driller Killer, Raw Noise, Extreme Noise Terror, Doom dan juga Disclose. Sekiranya anda mencari produk crusty / punk yang ada kualiti unggul serta memenuhi perisa rempah-ratus genre sedemikian, saya syorkan anda miliki album berdurasi sekitar 29 minit ini. “Warmageddon” sememangnya menggetarkan!

Rebiu | DISLODOS – Anti War Grindcore


DISLODOS – Anti War Grindcore
Independen
23 buah lagu. 14:51 minit durasi. Ini karya Grindcore rabak yang akan bikin anda menggelupur! Dislodos sendiri mahu definasikannya sebagai Grind Cap Ayam. Ah!, kalian jangan tertanya-tanya kerana ini semua “marketing strategy” memperhebatkan lagi jenama Dislodos dan penghebahan namanya dalam scene Grindcore baik tempatan mahupun dunia, hehe!. Dislodos menyusul dengan full-length (ya, saya kategorikanya album penuh) berjudul “Anti War Grindcore” diriliskan secara rasmi pada 24 Mac 2018, kira-kira setahun selepas “Recycling The Dead” Demo 2017. Samada anda menyukainya atau berpaling benci, itulah hakikatnya Dislodos, sebuah band yang berada di antara keseriusan, jenaka satira dan sindiran tajam, kegarangan muzik dan kebingitan! Rilisan ini sebenarnya cukup mampat dan mantap pengisiannya; dari sudut komposisi muzik, lirik (kandungan mesej), sampel-sampel intro yang diselitkan pada lagu-lagu tertentu, seni grafik dan artwork, keprihatinan mereka, segalanya! Produksi bunyi dalam “Anti War Grindcore” juga jauh lebih baik berbanding demo terdahulu kerana ia dirakam, mixed dan mastered di bilik rakaman berprestij Studio 46, Johor Bahru. Dislodos diperkasa oleh dua orang kuat di scene selatan tanahair iaitu Cileng (gitar/vokal) dan Jimbo (dram/vokal), maka seharusnya band ini tidak dipandang sebelah mata. Sepertimana rilisan demo terdahulu, “Anti War Grindcore” juga datang dalam pakej 3" mini cd-r, juga terhad 33 salinan sahaja! Kali ini turut disertakan coversleeve pendua bersaiz jaket 12" LP, giler rare punya idea!. Salinan saya bernombor 11/33.

Rebiu | GENERATION FUCK YOU – RAW Demo


GENERATION FUCK YOU – RAW Demo (2018)
Independen
Generation Fuck You (GFY) yang dibarisi oleh Man Dugong (vokal), Kerol (bass) dan Nik (dram) ini kalaulah tidak silap saya asalnya bergerak di bawah nama SIDIxORAZA, atau mungkin juga GFY sebuah projek baru yang berbeza dan halatuju muzik yang berlainan cuma ahlinya dari kalangan anggota band yang saya sebutkan tadi. GFY mengeluarkan demo debut mereka sekitar Februari / Mac 2018 dengan pengisian 8 buah lagu berdurasi keseluruhan 12:27 minit. Material demo ini dirakam secara ‘live’ di Marina Studio, dengan bantuan jururakam Hafifi Mokhtar (Anak Bukit) dan Rasyid (Mampos). Kerja-kerja mixing & mastering juga dikendalikan oleh saudara Hafifi. Kualiti rakaman dan bunyi bukanlah pada tahap yang baik tetapi tidaklah terlalu teruk, maka saya kira sesuailah ia dinamakan “raw” demo. GFY memainkan muzik hardcore, tanpa gitar, dengan elemen d-beat pada dram. Mungkin lebih garang muzik GFY dalam demo ini kalau sound bass dilebihkan lagi sifat noise dan distorted-nya. Dua perkara menarik yang saya temui tentang GFY dan demo ini adalah, pertamanya mereka menulis lirik dan menyanyikannya dalam bahasa Latin, seperti dalam lagu Alerta Antifacista, Ahorre Rohingya, dan Control Gubernamental. Yang kedua, GFY menunjukkan kemampuan mereka membawakan dua lagu cover iaitu Out Of Step (Minor Threat) dan Sprackt Snutskallar (Shitlickers) dalam gaya olahan mereka sendiri. Keseluruhannya, demo ini satu usaha sulung yang “not bad” dari sebuah band yang baru hendak bermula dan perlu lebih banyak ruang memperbaiki kekurangan dalam potensi mereka untuk menjadi lebih baik. GFY untuk anda yang meminati muzik hardcore / punk di bawah pengaruh Shitlickers, Mob 47 dan Protes Bengt.

Rebiu | V/A – MEMBARAI LEBARAN


V/A – MEMBARAI LEBARAN
Nervhous Records
Sempoi baq hang! Meskipun musim perayaan Aidilfitri kian jauh berlalu, kompilasi “Membarai Lebaran” ini tetap hangat dan penuh dengan keseronokan. CD ini saya terima agak lewat sebenarnya, tetapi tiap kali saya mainkannya terasa seperti esok dah nak hari raya pula, hehe! Ini CD yang menghimpunkan beberapa lagu raya yang di-barai-kan oleh band-band punk tempatan yang saya kira akan kekal relevan untuk didengari setiap kali datangnya Syawal dan sambutan Hari Raya di tahun-tahun mendatang. “Membarai Lebaran” menampilkan 13 band (masing-masing dengan sebuah lagu) iaitu Daisy Dream, Kamil Hasbi, T.I.M, 199X, Duckhead, 2nd Guess, D’fender, John N’ Betty, No Distance, Dislodos, Con-damn The Corruptor, Chugs On Deck, dan The Nationhead. Selain irama melodic/pop-punk yang mendominasi nuansa menyeluruh CD ini, ia turut dipelbagaikan dengan kehadiran band skinhead/oi! iaitu 2nd Guess dan The Nationhead, malahan elemen kejutan dari D’fender (metal progresif / industrial) dan Dislodos (grindcore rabak). Saya menikmati dan meraikan hampir keseluruhan lagu-lagu yang dimuatkan dalam CD ini kerana semuanya memang baik-baik belaka. Band-band ini cukup hebat membawakan semula lagu-lagu raya yang popular dan klasik di dalam cara dan gaya mereka sendiri. Saya secara peribadi cukup-cukup tertarik dengan garapan yang diketengahkan oleh 199X (Seminggu Berhari Raya, lagu asal Senario), Duckhead (Selamat Berhari Raya, Rahimah Rahim), D’fender (Balik Kampung, Sudirman) dan No Distance (Raya, nyanyian asal Jalil Hamid). Selain daripada lagu-lagu berbentuk saduran / tribute ini, saya perlu angkat topi tanda hormat saya pada band-band yang tampil dengan ciptaan-ciptaan original (lagu sendiri bertemakan raya) antaranya Con-damn The Corruptor, Chugs On Deck dan The Nationhead. Nah, rasakan raya!! Ini adalah kompilasi CD di mana band-band punk rock-kan raya. Hubungi 017-9639316 (Nizang) untuk memesan dan dapatkan poster cantik yang turut disertakan pada setiap pembelian. Recommended!

Khamis, 2 Ogos 2018

Rebiu | HARAMJADAH / HIGH ON HATE – Lost Of Humanity (Promo Edition)


HARAMJADAH / HIGH ON HATE – Lost Of Humanity
Independen
Menurut pandangan saya, Haramjadah adalah sebuah band yang memiliki kualiti komposisi dan produksi bunyi antara yang terbaik di kalangan pemuzik Grindcore tempatan kebelakangan ini. Bahkan mereka dilihat begitu cekap dan berkemahiran dalam mengendalikan instrumen, di sebalik permainan yang ribut, pantas dan menggila. Cuma nama Haramjadah yang berpengkalan di ibukota Kuala Lumpur agak tidak menonjol dalam scene, mungkin juga mereka sendiri yang mahu bergerak secara diam / senyap dan bersikap low-profile. CD-r split “Lost Of Humanity” ini adalah versi ‘Promo Edition’ yang dihantar kepada saya sebagai ‘proposal’ untuk diterbitkan keluaran sebenarnya di bawah Blazt Promotion. Ini susulan kepada pengeluaran split Psychotic Sufferance / Haramjadah “Facing The Global Crisis” pada penghujung Februari 2018 yang lalu. “Lost Of Humanity” juga difahamkan projek split yang tidak dapat direalisasikan pada tahun 2015. Dalam split berdurasi hampir 4:45 minit ini, Haramjadah menampilkan 3 lagu; Irritation, Biased, dan Say NO to Nazism – lagu-lagu Grindcore yang buas diadun bersama Noisegrind yang bingit serta sedikit kemasukan elemen Harshnoise. Anda pasti akan terpegun mendengarkan gabungan riff dan beat berkelajuan tinggi serta nuansa bunyi yang cukup berat dan padat persembahan Haramjadah. Seterusnya, High On Hate melengkapkan split promo ini juga dengan 3 lagu; Retaliate, Filth, dan Lost of Humanity. Sejujurnya, High On Hate ini satu nama yang baru sahaja saya kenali, mengetahui keujudannya menerusi rilisan ini. Mereka berasal dari Johor Bahru dengan muzik yang menjurus kepada percampuran Crustgrind dan Metalpunk. Lagu-lagu ciptaan High On Hate boleh tahan juga tarikannya, cuma kualiti rakaman dan bunyi pada setiap lagu kedengaran sedikit sebu, terasa seperti mendengar demo-demo yang dirakam sekitar era 90’an. Tanpa ragu, saya merasakan split “Lost Of Humanity” satu material yang baik dan ada kehebatannya! Jika tiada halangan saya akan meriliskan versi penuh di bawah Blazt Promotion, dengan artwork berbeza dan pastinya penambahan beberapa lagu lagi dari kedua-dua pihak band. Nantikan!!!