Jumaat, 3 Ogos 2018

Rebiu | V/A – MEMBARAI LEBARAN


V/A – MEMBARAI LEBARAN
Nervhous Records
Sempoi baq hang! Meskipun musim perayaan Aidilfitri kian jauh berlalu, kompilasi “Membarai Lebaran” ini tetap hangat dan penuh dengan keseronokan. CD ini saya terima agak lewat sebenarnya, tetapi tiap kali saya mainkannya terasa seperti esok dah nak hari raya pula, hehe! Ini CD yang menghimpunkan beberapa lagu raya yang di-barai-kan oleh band-band punk tempatan yang saya kira akan kekal relevan untuk didengari setiap kali datangnya Syawal dan sambutan Hari Raya di tahun-tahun mendatang. “Membarai Lebaran” menampilkan 13 band (masing-masing dengan sebuah lagu) iaitu Daisy Dream, Kamil Hasbi, T.I.M, 199X, Duckhead, 2nd Guess, D’fender, John N’ Betty, No Distance, Dislodos, Con-damn The Corruptor, Chugs On Deck, dan The Nationhead. Selain irama melodic/pop-punk yang mendominasi nuansa menyeluruh CD ini, ia turut dipelbagaikan dengan kehadiran band skinhead/oi! iaitu 2nd Guess dan The Nationhead, malahan elemen kejutan dari D’fender (metal progresif / industrial) dan Dislodos (grindcore rabak). Saya menikmati dan meraikan hampir keseluruhan lagu-lagu yang dimuatkan dalam CD ini kerana semuanya memang baik-baik belaka. Band-band ini cukup hebat membawakan semula lagu-lagu raya yang popular dan klasik di dalam cara dan gaya mereka sendiri. Saya secara peribadi cukup-cukup tertarik dengan garapan yang diketengahkan oleh 199X (Seminggu Berhari Raya, lagu asal Senario), Duckhead (Selamat Berhari Raya, Rahimah Rahim), D’fender (Balik Kampung, Sudirman) dan No Distance (Raya, nyanyian asal Jalil Hamid). Selain daripada lagu-lagu berbentuk saduran / tribute ini, saya perlu angkat topi tanda hormat saya pada band-band yang tampil dengan ciptaan-ciptaan original (lagu sendiri bertemakan raya) antaranya Con-damn The Corruptor, Chugs On Deck dan The Nationhead. Nah, rasakan raya!! Ini adalah kompilasi CD di mana band-band punk rock-kan raya. Hubungi 017-9639316 (Nizang) untuk memesan dan dapatkan poster cantik yang turut disertakan pada setiap pembelian. Recommended!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan