Memaparkan catatan dengan label Rebiu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rebiu. Papar semua catatan

Jumaat, 7 Ogos 2020

Rebiu | TERSELINDUNG – Selera Besi


TERSELINDUNG – Selera Besi
Zuath Generation Distro
Ini hardcore punk yang thrashy, kencang dan dipenuhi suntikan elemen-elemen kemarahan. “Selera Besi” karya perdana band berjenama Terselindung ini begitu cenderung ke arah nuansa metal yang lasak dan berat, mengundang head-banging berterusan tanpa henti! Pun demikian, di sebalik kerancakan muzik yang pantas dan keras, Terselindung tidak sama-sekali mengetepikan akar umbi punk-rock di dalam lagu-lagu ciptaan mereka. “Selera Besi” mempertaruhkan 10 buah lagu yang mantap, bersepadu dalam kepelbagaian, kaya dengan idea-idea menarik dan menangkap. Bakat serta keupayaan dua ahlinya Mr.Ghoul (vokal/gitar utama) dan Killer Pocket (dram/vokal latar) yang sebelum ini membina pengalaman melalui Tarantulah digilap lebih menyerlah menerusi Terselindung. Saya tidak melihat adanya cacat-cela dalam rakaman do-it-yourself yang diperbuat di home studio. Semuanya (merujuk kepada produksi bunyi) kedengaran baik, malahan jauh lebih baik dari beberapa penghasilan live recordings di studio-studio berbayar yang pernah saya dengar. Tahniah untuk kerja keras dan usaha bersungguh dari Terselindung (juga buat pihak Zuath Generation Distro) yang menjadikan pakej CD ini sesuatu yang sangat-sangat berbaloi untuk diperolehi dan dinikmati. Untuk makluman, kuantiti pengeluaran CD “Selera Besi” sebenarnya agak terhad, dan salinan yang saya miliki bernombor 8 daripada 50 cetakan yang dikeluarkan. Atas segalanya, rilisan ini eksklusif dan impresif – atau ertikata selainnya, menakjubkan!
terselindung.bandcamp.com
facebook.com/zuath-generation-distro-1695016894043773

Rebiu | PARALYZED – Inersia - Reverse Osmosis


PARALYZED – Inersia - Reverse Osmosis
Jenazath Production
Jarang ada band-band tempatan yang berani dan berkebolehan membawa irama berselirat Progressive Death Metal. Muzik sebegini memerlukan kreativiti yang besar, kemahiran yang tinggi, permainan yang handal serta seni teknikal yang mencabar. Mengisi kelompongan tersebut dalam konteks scene Malaysia, Paralyzed tampil memperlihatkan kewibawaan dan kemampuan mereka. Lebih dari itu, mereka menterjemahkannya dalam cara dan gaya tersendiri. EP “Inersia - Reverse Osmosis” mempertaruhkan 7 buah lagu, berdurasi hampir 38 minit; padat dengan garapan Progressive Death Metal acuan Paralyzed. Kesemuanya dalam format instrumental kecuali ‘18000 Sayap’ (lagu asal kumpulan Wings) satu-satunya track bervokal, yang mana mungkin sekadar bereksperimentasi. Mutu rakaman amatlah baik. Bunyi-bunyi yang keluar begitu jelas. Paralyzed memimpin saya berkhayal dalam karisma komposisi lagu-lagu mereka; riff-riff dahsyat dan berat, solo-solo mencengkam, kelajuan melodi yang menghambat. Jika mahu disimpulkan dengan hanya satu perkataan, saya akan kata ini “hebat”!

Rebiu | NO ACCOUNT – Now This Is Free For You


NO ACCOUNT – Now This Is Free For You
Independen
No Account hanyalah dibarisi dua pemuzik iaitu Eri (gitar/vokal) dan Ujang (dram). Walaupun sekadar berdua, mereka dilihat begitu berbakat, berpotensi dan mempunyai kebolehan dalam menyediakan muzik dan rakaman yang bermutu. “Now This Is Free For You” EP 2019 menyajikan sejumlah 6 buah lagu kesemuanya, berdurasi 12:52 minit secara keseluruhan. Pada dasarnya, haluan No Account adalah Punk Rock namun ia bukanlah Punk Rock yang tipikal. Komposisi lagu-lagu band ini digarap dengan bermacam-macam idea dan sulaman elemen; kocokan hardcore yang keras, sentuhan metal / rock progresif, dianyam juga dengan citarasa rock alternatif, unsur-unsur rock & roll, kerangupan grunge dan sebagainya. No Account seakan mahu membina satu identiti yang berbeza dalam berkarya, membentuk satu jatidiri yang tersendiri. Riff-riff serta sound dalam lagu-lagu gubahan band ini kedengaran agak intense dan heavy. Tak dinafikan, saya jatuh cinta pada No Account kerana warna-warni yang ada dalam rilisan EP yang diterbitkan pada 3 November 2019 ini. Duo ini membuktikan bahawa karya muzik tidak seharusnya dihadkan dan tertakluk hanya pada satu paksi. “Now This Is Free For You” ini sebuah permulaan yang baik dari No Account dalam membuahkan variasi, mempelbagaikan dimensi dan atas inisiatif-inisiatif itulah ianya lahir dan dizahirkan dalam nuansa segar dan menambat!

Rebiu | LORSA – Psycho Au Go-Go


LORSA – Psycho Au Go-Go
Diebetix Records
Rencah dan rempah-ratus surf rock Dick Dale, garage punk The Cramps, hardcore punk tegar Black Flag serta antem punk rock The Misfits digaul rata-rata, digoreng garing dan rangup maka itulah resepi sajian menyelerakan air-tangan Lorsa. Unit 4-piece ini cukup bijak menghidangkan sesuatu yang berlainan, membawa mereka keluar daripada kelaziman yang disediakan oleh kebanyakan band-band tempatan. Ini menjadikan band Lorsa itu ‘unik’ di cuping dan gegendang telinga saya sebagai pendengar. Menariknya, hampir setiap lagu dalam “Psycho Au Go-Go” masing-masing didahului dengan intro tersendiri dan sebahagian besar karya-karya Lorsa berformatkan instrumental. Suara dan nyanyian dimasukkan pada lagu-lagu tertentu sedikit-sebanyak mengelakkan band ini daripada terperangkap dalam irama surf tradisional, meletakkan Lorsa di landasan sebenar halatuju muzikal mereka, iaitu Surf Punk. Lima lagu yang dimuatkan termasuk saduran Rise Above lagu asal Black Flag serta intro (Lost Rocket-Secret Army) di awal permulaan rilisan demo cd-r ini benar-benar menyeronokkan, ceria dan cukup meriah! Keseluruhannya 13 minit 25 saat yang sangat menghiburkan. Bila menikmati demo ini, biarkan sahaja kaki anda selamba bergoyang, tangan anda berdendang, kita sama-sama joget agogo dalam alunan muzik Lorsa. 

Rebiu | HYMNÖIR – Funeral Games Fiasco


HYMNÖIR – Funeral Games Fiasco
Gedebe Rekords
Saya melihat potensi yang cukup besar ada pada Hymnöir dan mereka antara nama baru yang paling mencuri perhatian dalam scene crustcore / stenchcore tanahair. Bilamana muzik Hymnöir dilabelkan sebagai Blackened Death Crust, saya bersetuju dan ianya satu definasi yang amat tepat. Nuansa lagu-lagu Hymnoir dalam “Funeral Games Fiasco” begitu gelap, kelam dan merasuk. Istilah ‘death’ menggambarkan betapa berat dan padatnya jalur muzik crust mereka yang sarat dengan suntikan elemen-elemen metal. Saya percaya, Hymnöir tidak akan hanya mendapat tempat di kalangan pengikut scene hardcore punk tetapi juga penggemar irama depressive / doom / black metal. Atas sebab itulah juga pengeluaran CD ini mendapat ruang untuk diriliskan di bawah Gedebe Rekords, sebuah label tempatan yang berpaksikan metal ekstrim. “Funeral Games Fiasco” menghidangkan sebanyak 6 buah lagu, berdurasi sepanjang lebih 21 minit. Struktur-struktur riff dan beat digubah pelbagai idea, tajam dan membunuh! Susunan muziknya juga kemas dan menarik, membina flow-flow tertentu yang tidak muak didengari dalam setiap lagu yang dipersembahkan. Mutu rakaman yang baik turut membantu meningkatkan lagi kualiti menyeluruh EP 2019 dari band Hymnöir ini. Tanpa ragu ingin saya katakan bahawa ini karya yang kukuh, berdiri atas semangat waja dan ianya gah berkuasa!

Rebiu | CAFERGOT – Brutal Punishment


CAFERGOT – Brutal Punishment
Independen
Buas, tanpa sebarang belas! Cafergot menerusi rilisan CD mereka “Brutal Punishment” tidak sedikitpun mahu bertolak-ansur dalam menyediakan ruang selesa untuk menghela udara. Anda akan terasa begitu sesak nafas dalam belenggu muzik mereka yang cukup padat, berat, deras, ganas, menghentam kejam sekejam-kejamnya! Semangatnya bagaikan api yang membakar, rentung! Ini merupakan album sulung Cafergot setelah sekian lama berkecimpung dalam arena muzik ekstrim. Ianya satu hasilkerja yang tidak dapat disangkal lagi kualitinya. Ya, ianya dihasilkan dengan cermat, teliti dan tepat. Sudah tentu banyak kajian dan ujian telah dilakukan terlebih dahulu sebelum terhasilnya karya-karya hebat dan begitu memuaskan sepertimana yang Cafergot sediakan ini. Justeru itu, kredibiliti dan integriti mereka sebagai sebuah band Death/Grind dibuktikan dengan cemerlang menerusi “Brutal Punishment”. Album ini menyenaraikan 11 buah lagu, termasuk intro (Evil Grind Force!) yang disambung terus kepada trek pertama. Berdurasi keseluruhan 17:07 minit, “Brutal Punishment” mungkin sebuah album yang agak singkat akan tetapi percayalah, anda tak akan mahu berpaling tadah untuk terus-menerus memutar-main CD ini berulang-kali, tanpa jemu. Ini kacukan grindcore dan deathmetal yang jahat dan berkuasa, muktamad!

Rebiu | STAND POINT OF MIND – Isu #16


STAND POINT OF MIND – Isu #16
60ms / A5 / Bahasa Melayu
Zine xSTANDPOINTOFMINDx #16 ini diterbitkan pada Disember 2017, ditulis oleh Timmy Fahmi, bekas anggota band Young And Dangerous dan sekarang ini pengusaha pakaian berjenama TIMS. Sejujurnya saya tidak pernah mengambil tahu tentang SPOM, apatah lagi memiliki isu-isunya yang terdahulu. Daripada apa yang difahamkan, keluaran-keluaran lepas bertemakan straightedge dan muzik hardcore/punk. Saya dapati ramai juga editor-editor lama yang remajanya penuh dengan passion dan attitude, sedikit demi sedikit beralih ke arah penulisan tentang realiti kehidupan, kekeluargaan dan persekitaran nyata setelah berkahwin dan beranak-pinak. Saya tidaklah maksudkan mereka ini telah meninggalkan kesemua keghairahan zaman silamnya itu. Spirit dan rebel tetap ada, cuma penulis-penulis ini sebenarnya telah menjadi lebih dewasa dan lebih matang, mahu melihat dunia dalam skop yang lebih luas dan terbuka. Atas sebab itulah saya kira SPOM yang terbaharu ini lebih menjurus kepada konsep zine personal. Selain daripada himpunan cerita peribadi, hal-hal keluarga dan kisah-kisah hidup dalam ruang-lingkup Timmy Fahmi sendiri, beliau turut mengadakan slot-slot temubual bersama beberapa individu; antaranya melibatkan Addy Zaidy, Kerk Zulkurnain, Khasreena Afiqa, Mohd Adzale Ainudin (Ad Skull) dan yang paling panjang lebar bersama Azaruddin Paiman (Din Akar / Roots Zine). Sebahagian besar diskusi-diskusi ini berkisarkan tentang kehidupan, hidup setelah berumahtangga dan berkeluarga, kerjaya, pengalaman, impian dan sebagainya. Kalau tidakpun banyak, anda yang membaca boleh mendapat sedikit motivasi mahupun terinspirasi dari perkongsian-perkongsian yang terkandung dalam zine sebegini. Secara fizikal, SPOM #16 ini pro-printed. Kulit luar kertas keras dan tebal, berwarna penuh. Halaman dalamannya juga glossy paper. Cukup-cukup kemas susunatur serta rekaletaknya. Sebuah zine yang padat dan terhasil dari sikap ‘komited’ (untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik dan berbaloi).

Rebiu | SMALL MAN – Isu #7


SMALL MAN – Isu #7
20ms / A5 / Bahasa Inggeris
Saya menyimpulkan Azizi (editor) ini pakar dalam menyediakan zine yang ringkas, mudah dihadamkan. Zine nipis dan sederhana tetapi bukannya jenis yang ‘malas’, maksud saya diperbuat sambil lewa. Ringkas dan kesederhanaan itulah yang membentuk identiti Small Man. Tiga halaman terawal dalam isu ke-tujuh ini dimuatkan 7 catatan pendapat editor, atau dalam english boleh disebut thoughtful comments; merangkumi hal-hal kehidupan hinggalah ke aktiviti DIY yang dilakukannya. Fokus dalam isu ini semestinya kolum "Small Man Journey!", 7 mukasurat penceritaan perjalanan dan perkongsian pengalaman editor ke Jepun pada April 2017 di mana tujuan utamanya untuk menyaksikan band INFEST yang sedang mengadakan tour di negara matahari terbit tersebut. Banyak juga tempat yang dilawati termasuklah Ueno Park dan beberapa record store selain menghadiri gig/fest. Tiada band ditemubual dalam Small Man #7. Pembaca terus dibawa ke ruangan Audio/Zine Review yang mengandungi banyak ulasan-ulasan cepat (ringkas & pendek) dan tepat straight-in-your-face dalam menggambarkan produk-produk audio/zine yang dikupas. Small Man telah 7 tahun keberadaannya dalam scene. Ini salah-satu zine saya sarankan untuk anda beli dan baca, sebabnya ia murah dan cool tetapi hakikatnya powerful. 

Rebiu | MOSH – Isu #19


MOSH – Isu #19
72ms / A5 / Bahasa Melayu
Ini zine otai dalam scene underground tempatan. Zine yang sudah dua dekad berkhidmat; beroperasi dan berfungsi menyokong serta mendokong scene yang kita cintai ini. MOSH tidaklah sekadar mengenai muzik punk, hardcore dan indie tetapi juga tentang realiti kehidupan sebenar, hal-hal nyata yang berlaku di sekeliling kita. Pengisian MOSH tidak perlu dipersoalkan lagi. Ahmad Nizamuddin Abdullah a.k.a Nizang selaku editor telah begitu lama menulis dan menyunting zine ini, telah melalui pelbagai fasa dan perubahan era – maka ‘kematangan’ adalah taraf selayaknya MOSH pada hari ini. Saya sendiri tanpa ragu mengiktiraf MOSH itu satu jenama dalam scene DIY Malaysia, satu influencer yang dekat dan melekat di hati setiap daripada kita. Isu #19 ini diterbitkan pada November 2018, memuatkan banyak penulisan-penulisan personal termasuk sumbangan beberapa kontributor. Antara yang menarik perhatian berdasarkan penelitian saya adalah seperti Sepetang Bersama Pesakit nukilan Sang Harima, Ke Dalam Perut Mak oleh Sue Emoqwin, Pengalaman Dibedah Secara Batin ditulis Nizang sendiri, Pemikiran Pejabat karya Zax Shayna dan yang paling ‘syok’ artikel Kumpulan Wings dan Lagu Hisap Dadah oleh Matyie Abahaydar. Slot temuramah kali ini dibuat bersama Milo Dinosaur, Uncure, The Fatalis, Jaggfuzzbeats, Keledexx, Duckhead, dan Nostalgia. Seterusnya, ruangan “butthurt” menghimpunkan begitu banyak ulasan-ulasan terhadap buku, zine, kaset dan cakera padat. Meskipun tidak menampilkan kulit keras cetakan full-coloured sebagaimana isu #18 ataupun perfect-binding seperti isu #17, MOSH #19 terbitan Karya Raya Recources dan edaran KIDAL ini tetap lumayan, berbaloi serta menghadirkan kepuasan! 

Rebiu | HETEROGEN – Isu #1


HETEROGEN – Isu #1
56ms / A5 / Bahasa Melayu
Saya terlebih dahulu mengenali Jazli Safwan menerusi perzine Catatan Pinggiran (tahun 2016). Lama juga tempoh ‘rehat’ beliau untuk kembali menyunting dan menerbit zine. Pemastautin Langkawi, Kedah ini hadir dengan sebuah zine baru diberi nama Heterogen. Zine yang dilihat mempunyai konsep atau skop pengisian yang agak luas dan terbuka; muzik, travelog, wawancara, literatur (sajak & cerpen), artworks (ilustrasi & komik), artikel dan sebagainya. Sepertimana diterangkan dalam ‘Nota Editor’, Heterogen itu dimaknakan sebagai “terdiri daripada berbagai-bagai jenis”. Bermaksud, zine ini tiada tema khusus tetapi menghimpunkan tulisan dan rencana seputar seni, muzik, sastera, kesukarelawan, aktivisme dan apa-apa sahaja yang hendak dituliskan. Jazli Safwan tidak berseorangan dalam membikin Heterogen. Sahabat lamanya semenjak zaman sekolah rendah iaitu saudara Izzat Isa turut sama membantu dan berganding bahu. Heterogen #1 dilancarkan sewaktu berlangsung Perlis Zine Fest 2018. Kulit hadapan yang memaparkan foto grayscale anak kecil dipadankan dengan logo berwarna biru laut nampak begitu cantik dan menarik pandangan mata. Rencana ‘Cetakan Saring dan Semangat DIY’ sangat-sangat bermanfaat untuk anda yang mahu mengetahui serta mempelajari tentang silkscreen printing. Inisiatif Jazli menemubual Izzat satu idea yang rare dan unik manakala “Catatan Pendek Kembara ke Tokyo” oleh Izzat Isa yang sebenarnya melibatkan 13 mukasurat bolehlah saya anggap sebagai highlight dalam isu debut ini. Zine yang juga sarat dengan tulisan-tulisan monolog, anekdot, sajak-sajak, komik serta beberapa artikel lain ini diolah dengan cukup baik; bersih dan sangat kemas kerja-kerja rekaletak dan susunaturnya. Heterogen merupakan terbitan & edaran Hangtera Productions dengan kolaborasi Kenari Karel. 

Rebiu | BEHIND THE SCENE – Isu #2


BEHIND THE SCENE – Isu #2
44ms / A5 / Bahasa Melayu
Selepas beberapa ketika barulah saya ketahui bahawa Abdul Alif, editor zine Behind The Scene ini juga merupakan vokalis Something Shit (band berpaksikan muzik Powerviolence dari Keningau). Bukan calang-calang hebatnya anak muda ini. Isu kedua BTS telah diterbitkan secara rasmi sewaktu berlangsungnya gig Edge Day 2018 x Sabah Hardcore Fest Vol.1 bertarikh 20 Oktober 2018. Selain daripada jumlah ketebalan yang meningkat berbanding isu pertama, saya melihat kemajuan yang agak besar dalam aspek pengisian dan penyampaian di dalam penerbitan kali ini. Separuh daripada BTS #2 di-isi dengan opini-opini; penulisan, catatan dan coretan Abdul Alif itu sendiri. Bermula dari bahagian Editorial, membawa ke kolum Introduction, seterusnya merangkumi tiga rencana bersifat personal thoughts iaitu ‘My Life, My Choice’, ‘Bullshitness System’ dan ‘Why Do I Exist’. Jangan terpedaya dengan judul english penulisan-penulisan tersebut kerana teks-teks keseluruhannya adalah dalam Bahasa Melayu. Tulisan-tulisan ini sangat seronok untuk dibaca; santai, sedikit rojak dan pasar namun hakikatnya banyak ‘isi’, penuh dengan mesej-mesej mendalam, tajam dan serius! Slot-slot interbiu menampilkan band TikamxLari (Thrashcore dari Lahad Datu), Rant (D-Beat Crust kelahiran Keningau) serta Con-damn The Corruptor (Tribal Punk Rock asal Inanam/KK). Kalaulah isu terdahulu agak ringkas dan terlalu basic, metod temubual kali ini lebih baik dengan kuantiti (dan kualiti) soalan bertambah kepada sekitar 8 hingga 9 pertanyaan untuk setiap band. Menjadi satu tarikan juga apabila setiap artikel, setiap seksyen didahului dengan artwork lukisan Amin (Stupid Boys) malahan dalam BTS #2 ini diujudkan satu sudut khas ‘Art Side’ mengetengahkan lebih banyak koleksi senilukis si Amin (instagram: amindemierda) ini. Sekali lagi ingin saya ucapkan syabas kepada Abdul Alif di atas inisiatif, kredibiliti dan integriti beliau dalam penghasilan fanzine. Saya percaya inilah antara yang akan membawa tradisi fanzine bersambung di generasi-generasi ke hadapan. Ayuh berikan sokongan kepada usahanya. Semarakkan semangatnya, biar membara dan terus bergelora!
facebook.com/alip.arghhh
instagram.com/alipisdead

Rebiu | BEHIND THE SCENE – Isu #1


BEHIND THE SCENE – Isu #1
36ms / A5 / Bahasa Melayu
Bersyukurlah, di dalam underground scene yang kita sayangi ini masih ada generasi baru yang berani mengambil cabaran menulis dan menerbitkan fanzine. Behind The Scene (BTS) ini suntingan seorang remaja belasan tahun dari Keningau, Sabah. Editornya saudara Abdul Alif bin Abdul Razak masih lagi di bangku persekolahan semasa isu pertama BTS ini disediakan, siap dan rilis pada musim cuti hujung tahunnya (dilancarkan pada16 Disember 2017). Sekali imbas, usaha yang ditampilkan dalam BTS #1 ini agak sederhana; mudah, ringkas dan ringan-ringan sahaja. Di sebalik kesederhanaan itu, saya masih menemui beberapa idea menarik yang terkandung dalam pengisian zine ini. Selain daripada lontaran pendapat Abdul Alif mengenai budaya ikut-ikutan dalam artikel “Trendy Wankers” dan sikap saling hormat-menghormati menerusi rencana “Respect”, beliau turut mengupas dan mendapatkan pandangan sesuatu topik menerusi kaedah berdiskusi. Definasi dan amalan Straight-Edge (sXe) dibicarakan dalam temubual bersama Ady (vokalis band Boots Runner) manakala pengertian muzik dan scene Hardcore Punk disoal-jawab bersama Akhdan. Empat band Sabahan, tiga daripadanya asal Keningau telah ditemubual dalam edisi sulung ini dan kesemuanya berbeza genre. Headlock (80’s HC Punk), Boots Runner (Streetpunk/Oi!), Isolated By Society (metalpunk) dan XRDM (Fastcore dari Kota Kinabalu). Agak santai dengan beberapa pertanyaan asas sekitar 5 atau 6 soalan setiap band yang ditemubual. Beberapa artwork menarik karya Amin (Stupid Boys) turut menghiasi penampilan sulung zine Behind The Scene. Tahniah Abdul Alif, scene sememangnya sangat-sangat memerlukan orang seperti kamu. Biarlah dikatakan budak baru nak up (BBNU) tetapi sebenarnya kamu telah memulakan sesuatu yang cukup berharga untuk scene hari ini dan masa hadapan. Tahniah dan teruskanlah!

Rebiu | TERDERITHA – self-titled


TERDERITHA – self-titled
Durhake Records
Nuansanya laju, bingit, disulami bait-bait depresif serta diperagakan sepenuh perasaan! Itulah yang dapat saya simpulkan tatkala pertama kali mendengar dan mengamati rilisan Demo 2018 karya band asal Melaka ini. Terderitha menerusi demo cd-r berdurasi keseluruhan lebihkurang 13 minit setengah ini mempertaruhkan 4 buah lagu; serakah berantakan (3:27) / ter-de-ri-tha (5:21) / bisa 3 (2:18) / ruang 4 (3:28). Dibarisi oleh Sidh (vokal), Fay (guitar), Zulakmal (bass) dan Amirul (dram), Terderitha dari segi muziknya tergolong dalam aliran Emoviolence / Screamo / Noisepunk. Sound yang mereka hasilkan dan persembahkan boleh tahan padat; kedengaran berat dan hangat! Mereka berkeupayaan mengendalikan instrumen dengan baik serta menunjukkan gaya permainan yang kemas. Vokal juga memukau lontarannya; amukan jeritan pelbagai ekspresi kemarahan, geram, keluhan dan sebagainya seakan mahu diluahkan kesemua kesengsaraan yang terbuku di dalam dada. Produksi bunyi dalam demo ini boleh dikatakan menarik meskipun sekadar live recordings, ini adalah kerana sessi rakaman (termasuklah proses mixing dan mastering) dilangsungkan di sebuah studio yang berkualiti iaitu Iseekmusic Studio. 
facebook.com/terderitha
instagram.com/terderitha_band
terderitha.bandcamp.com

Rebiu | FINAL PEACE – self-titled


FINAL PEACE – self-titled
Hardcore Detonation
Akar-umbi Hardcore Punk digendong dengan baik dan penuh yakin oleh kuartet Final Peace dari Shah Alam dan menariknya band ini diterajui vokalis wanita. Meskipun masih muda remaja (rasanyalah!), mereka langsung tidak tergoda dan terjerumus dalam evolusi terkini muzik punk / hardcore. Final Peace tidak memberi ruang untuk sebarang elemen eksperimentasi mahupun pembaharuan dalam aspek bunyi. Mereka dalam Demo self-titled ini dilihat begitu meluap semangatnya memperjuangkan ritma-ritma Hardcore Punk 80-an, kocokan-kocokan basis (kembali-kepada-asas) yang ligat dan memikat, komposisi lagu yang mudah formatnya tanpa perlu tokok-tambah yang keterlaluan disertai pula nuansa bunyi yang membuatkan mereka kedengaran begitu old-school! Rilisan kaset berdurasi lebihkurang 7 minit setengah ini [mengandungi 5 lagu; 1. Intro / 2. My Life, My Choice / 3. Mortified / 4. Social Pain / 5. Rise Up] pasti berada lama dalam playlist kerana saya sukakan sifat-sifat kesederhanaannya. Kesederhanaan yang sebenarnya sudah cukup sempurna untuk santapan harian telinga saya. Lirik-liriknya juga bagus, telus dan lantang mengangkat suara minoriti. Seandainya kalian menggemari Minor Threat, Chain Rank dan Formaldehyde Junkies, sudah tentu Final Peace juga boleh menjadi pilihan anda. Mengagumkan!
finalpeace.bandcamp.com
hardcoredetonation.bandcamp.com

Rebiu | COUNTERBACK – All Things Will Die


COUNTERBACK – All Things Will Die
Independen
Menunding jari, tumbuk ke langit, lompat setinggi boleh serta terajang menyepak angin adalah antara aksi-aksi yang pasti berlaku reaksi spontan kepada alunan Hardcore kental, kencang dan garang mainan Counterback, band asal bandaraya Kuching ini. “All Things Will Die” mengandungi 5 tracks termasuk ‘(Re)-Intro’ yang diletakkan pada turutan kedua. Dapatkan CD ini dan korang akan dapat jawapan mengapa ‘Life Away’ berada yang pertama dalam susunan track. Idea yang bijak. Lagu-lagu susulan; ‘Compete’, Things Will Die’ dan ‘About Hope’ saling melengkapi himpunan ritma-ritma amarah Counterback, diwarnai riff-riff yang agresif, kekadang disuntik elemen melodik (yang membunuh!), petikan bass yang menonjol serta hentaman padu pada dram diadun sebaiknya dalam nuansa bunyi yang berat dan padat. Vokal juga begitu menjiwai mesej-mesej dalam lirik; meradang meluahkan ketidakpuasan hati, berapi membakar semangat juang dan meniup kata-kata positif untuk sentiasa bangkit dan teruskan kehidupan! Hope is always with you, like your flesh and bones. The earth is not a dream, but it’s your living flesh. Hope is the song we sing, and hope for a brighter year. This is the song of hope, of hope that sustain us all. CD ini 7:64 minit irama keras yang pasti membuatkan kalian terinspirasi dari motivasi yang diterapkan dalam mesej lagu-lagu mereka. Recommended!

Rebiu | BODYBAGS – Demo


BODYBAGS – Demo
Independen
Mind-blowing Hardcore Punk from KKNOFUTURE, yeah!!. Sabah sememangnya sejak dahulu lagi mempunyai scene muzik underground yang paling aktif dan produktif, baik metal mahupun punk. Bodybags ini satu nama baru yang terbentuk dari gabungan beberapa anggota band sekitar Kota Kinabalu antaranya termasuklah Matai dan XRDM. Pada sampul kaset cuma disebut H (vokal), E (gitar), R (gitar), M (bass) dan Q (dram). Mereka pada Februari / Mac 2018 telah merilis demotape “self-titled” berisi 4 lagu, berdurasi keseluruhan hanya 4:20 minit. Lagu-lagu mereka iaitu Bodybags, Purge, Hallucinogenic Trip, dan Self-Destructive dimainkan singkat dan begitu kencang, padat dan mampat dengan serangan-serangan riff berselirat tanpa belas! Sound yang kedengaran primitif dan menyerlahkan inisiatif Bodybags untuk membawa Hardcore Punk kembali kepada akar dan asasnya. Untuk makluman, rakaman demo ini telah dibuat di Oba Studio, diadun oleh Alex (Dirty Dog Dicks). Saya syorkan anda berikan perhatian terhadap potensi mereka. Band dan demo ini untuk kalian yang menggemari punk/hardcore di bawah inspirasi Ramones, Discharge, Night Birds dan Birth Deformities. 
humanluggage.bandcamp.com

Khamis, 16 Julai 2020

Rebiu | SUGUL / DELUSI – Meredhai Kehilangan


SUGUL / DELUSI – Meredhai Kehilangan
Independen
CD-R berdurasi keseluruhan 31:01 minit ini mengetengahkan masing-masing dua lagu dari Sugul dan Delusi; dua projek muzikal Dark Ambient tempatan yang agak aktif berkarya dan mengeluarkan produk rilisan mereka kebelakangan ini. Sugul dengan lagu berjudul Khilaf dan Redha kedengaran begitu kelam dan suram karya ambient ciptaannya, komposisi yang agak straight-forward, bunyian (hampir) sekata yang panjang dan cukup kuat dengan unsur-unsur drone. Untuk makluman, Sugul dikendalikan oleh individu yang bernama Sy dan projek ini berpengkalan di Kota Tinggi, Johor. Delusi yang diasaskan di Kuala Lumpur oleh Jiwa sekitar 2014 boleh dikatakan sedikit berpengalaman dalam scene muzik ambient tanahair. Lagu-lagu seperti Hilang dan Masyghul yang terkandung dalam split ini menampakkan kebolehan dan kematangan Delusi dalam gubahan dark ambient yang depresif, melankolik dan menyentuh perasaan. Split “Meredhai Kehilangan” dikeluarkan terhad 12 salinan sahaja dan ianya cukup menarik untuk kalian yang inginkan mendapatkan ketenangan menerusi alunan muzik yang berpaksikan bunyi-bunyian.
facebook.com/suguldarkmusic
sugul.bandcamp.com
facebook.com/delusiproject
delusiproject.bandcamp.com

Rabu, 15 Julai 2020

Rebiu | NOSTALGIA – Selagi Daya


NOSTALGIA – Selagi Daya
Independen
Memandu kereta pergi dan balik kerja tidak akan sama lagi kerana adrenalin saya tidak henti-henti mengepam laju mendengar demo yang satu ini. Ya, inilah demo straight edge milik band Nostalgia - Selagi Daya demo 2018. Cover demo yang cantik di samping mempunyai lirik di dalamnya jelas menunjukkan band ini teliti dan meletakkan sepenuh jiwa dalam penghasilan demo ini. Terdapat 5 buah lagu iaitu 1) Substance-Free, 2) Selagi Daya, 3) Hindar Diskriminasi, 4) The Sound of Revolution, dan 5) My Story. Berdurasi selama 12:44 minit, band ini berjaya menterjemahkan makna rebel, penindasan dan erti kapitalis sebenar dalam realiti dunia hari ini. Usah pertikaikan lagi kemampuan setiap ahli band ini - Huzairi, Foo Qaw, Adon dan Mune. Permainannya tight, penuh berisi dan mantap, vokal yang sangat ‘jantan’ bagi saya (haha!), alunan bass yang padu, riff yang agresif dan drummer works yang tanpa belas membelasah jiwa saya yang sukakan lagu-lagu yang fast sebegini. Dengar sahaja dah tahu setiap pemain mempunyai karakter yang kuat dan berpengalaman. Band ini berjaya membawa maksud rebel sebenar lihat saja pada liriknya yang padat dan bermakna. “Cuba berpaling tak bersemuka, Kau salah satu pencetus sial, Diskriminasi kau pegang tinggi, Demi warnamu musnah segala” (Hindar Diskriminasi). Lagu Selagi Daya pula membawa definisi jangan pernah berputus asa kerana selagi nyawa dikandung badan, cubalah sedaya yang termampu. Lima lagu bermakna kepada saya cukup laju, senang difahami dan padu betul membuatkan tidak puas hanya 5 lagu sahaja and I need more songs! Miliki sekarang dan anda tidak rugi sesen pun! Favourite track: Selagi Daya, Hindar Diskriminasi. 
facebook.com/nostalgia98
instagram.com/xnostalgiax_oldschoolhc
nostalgia98.bandcamp.com

(Ulasan oleh XjujuX diehardfan312@gmail.com)

Rebiu | KAO-TIK – Destructive


KAO-TIK – Destructive 
Blazt Promotion 
Awas!!! Ini mesin kebisingan dari K-Hell. Projek bernama Kao-Tik ini dikendalikan oleh Harshziqr Huru-Hara yang juga pernah menganggotai band noisegrind Haramjadah dan beliau juga editor untuk zine Fast As Fuck. Telah banyak rilisan dikeluarkan oleh Kao-Tik setakat ini, dan yang bertajuk “Destructive” ini merupakan EP tahun 2019 darinya. EP ini agak eksklusif di mana hanya 15 salinan cd-r dikeluarkan oleh pihak Blazt Promotion, label yang dimiliki oleh ketua editor Bangkit! Fanzine. “Destructive” memuatkan 7 tracks bunyian Harsh Noise yang keras menggerudi dan gempita menggila! 20:14 minit kebingitan yang maha-dahsyat, kebisingan yang kasar membikin jiwa pendengar kacau-bilau dalam gusar. Terbaharu, Harshziqr turut menghidupkan semula projek lamanya bergelar Soundriot yang lebih cenderung ke arah Experimental/Ambiental NoiseWall. Amaran: Jika anda pencinta soft music, hindari diri anda jauh dari keributan Kao-Tik.
kao-tik.bandcamp.com
facebook.com/huruhara696

[Rebiu oleh Trashnoiser - trashnoiser@gmail.com]

Rebiu | SLAVE – Punk Police


SLAVE – Punk Police
Exit Music
Sindrom band mantak yang menular di kawasan Kuantan semenjak-dua menjak ni telah tersebar ke daerah Jerantut pulak, atau untuk menampakkan ciri-ciri virus yang menular, daerah itu digelar J-Town. Stail tulis huruf besar untuk permulaan nama tempat ni takde dalam scene indie lo-fi. Virus yang terbentuk di akhir tahun 2019 ini melanda scene Hardcore Punk dengan kaset ep yang memuatkan 7 lagu dalam durasi selama bawah 13 minit sahaja kesuluruhannya. Kalau mengikut sifir bodoh, 1 lagu tak sampai pun 2 minit. Tapi ini bukan fastcore, ini adalah old stomping hardcore punk. Hardcore tulus yang belum berselingkuh dengan kemetalan dan keslayeran.

‘Punk Police’ nama ep diberi, ‘Slave’ tercacah sebagai nama band, hardcore punk zaman jahilliah genre digalas. Untuk mengkaji mazhab Slave ni, cuba buka kitab dari band terdahulu antaranya Lubricant, Muro, The Flex, No Time dan The Partisans. 5 band, kerana Rob Gordon ada kedai music yang digelar ‘Top 5 records shop’. Slave adalah band baru, ditubuhkan pada Oktober 2019, dan merakamkan ep Punk Police ni pada 30 december 2019, bertempat di ISeek Music kelolaan Mr Mokhtar. Kalau dah recording pun buat kat ISeek Music, korang tahu sajalah camner hasilnya, kePADUan!!

Walaupun Slave adalah band baru, tapi barisan jemaahnya adalah orang-orang yang dah lama dalam scene. Slave di anggotai oleh Syahir, drummer yang pernah bermain untuk band Esrarr dan Cholera sebelum ini. Syahman pula menghentam dan menghancur-haluskan tali gitar. Didi, nama vox yang melakukan tugasnya sambil membakar kalori yang banyak. Dan Man, yang sebelum ni main bass untuk Toxic Toy dan Cholera. Dalam Slave, Man main bass dengan bunyi yang melantun-lantun dan seketul-seketul. Biasanya aku kurang suka sangat stail bass yang melantun-lantun ni, tapi untuk rakaman Punk Police ni soundnya terbaek pulak. Aku tertarik dengan permainan bass di sini, padu! Sekali kuping kau dapat tangkap lenggok bass tu, maka sepanjang gelung kaset tu berputar kau akan mengekori irama bass tersebut. Walaupun Man cakap dia terinspirasi dengan permainan bass band Paintbox, tapi aku rasa aura permainan bass band Lubricant lebih ketara dalam ep Punk Police ni.

Ep yang hampir sold-out untuk cetakan pertama ni diriliskan oleh Exit Records milik drummer band ni. Adakah Exit Records akan membuat cetakan kedua untuk ep ni? Pada aku, tak perlu cetakan kedua pun, yang tak sempat beli cetakan pertama tu padan muka korang. Lagi pun ada label dari US yang berura-ura untuk meriliskan balik ep ni dalam format kaset jugak. Tapi kalau kau jenis punk tahik hidung masin, yang terlalu kedekut melabur RM13 untuk artifak punk yang akan mentattoo sejarah ni, korang boleh cari ep ni kat YouTube aje, full ep ada kat sana. Alang-alang dah jadi punk-youtube tu, check juga persembahan mereka kat NoiseCave tempoh hari, Mantak!!

PUNK POLICE:- “Condemn everything, really? Shut it up, you’re doing your best spreading stories, judging everything, really? What the fuck? Punk police coming at your door! Police! Police punk!”

Aku sempat bertanya dan bercanda dengan Slave isi perut lyric ‘punk police’ ni, secara ringkasnya menurut Slave, “Punk police ni bukan untuk yang bekerja sebagai polis, tapi (ditujukan) untuk punk yang menjadi polis sepanjang masa di real life, social media dan sebagainya. Sepanjang masa menilai tentang orang lain dan tidak cermin diri sendiri. Apa yang orang lain buat itu salah dan orang yang itu harus berkiblatkan “beliau” yang sentiasa betul. Tidak ditujukan ke- pada sesiapa, tapi lagu ini untuk sesiapa (saja)”.

Tolong ingatkan aku supaya hujung tahun nanti aku buatkan senarai “Top 5 best releases of 2020”, dan nampak gayanya Punk Police ni akan bermastautin dalam senarai tersebut.

Stomping sampai pagi dan J-Town rules!!!!!


(Bambear abamamran@gmail.com, Feb 2020)