Jumaat, 7 Ogos 2020

Rebiu | NO ACCOUNT – Now This Is Free For You


NO ACCOUNT – Now This Is Free For You
Independen
No Account hanyalah dibarisi dua pemuzik iaitu Eri (gitar/vokal) dan Ujang (dram). Walaupun sekadar berdua, mereka dilihat begitu berbakat, berpotensi dan mempunyai kebolehan dalam menyediakan muzik dan rakaman yang bermutu. “Now This Is Free For You” EP 2019 menyajikan sejumlah 6 buah lagu kesemuanya, berdurasi 12:52 minit secara keseluruhan. Pada dasarnya, haluan No Account adalah Punk Rock namun ia bukanlah Punk Rock yang tipikal. Komposisi lagu-lagu band ini digarap dengan bermacam-macam idea dan sulaman elemen; kocokan hardcore yang keras, sentuhan metal / rock progresif, dianyam juga dengan citarasa rock alternatif, unsur-unsur rock & roll, kerangupan grunge dan sebagainya. No Account seakan mahu membina satu identiti yang berbeza dalam berkarya, membentuk satu jatidiri yang tersendiri. Riff-riff serta sound dalam lagu-lagu gubahan band ini kedengaran agak intense dan heavy. Tak dinafikan, saya jatuh cinta pada No Account kerana warna-warni yang ada dalam rilisan EP yang diterbitkan pada 3 November 2019 ini. Duo ini membuktikan bahawa karya muzik tidak seharusnya dihadkan dan tertakluk hanya pada satu paksi. “Now This Is Free For You” ini sebuah permulaan yang baik dari No Account dalam membuahkan variasi, mempelbagaikan dimensi dan atas inisiatif-inisiatif itulah ianya lahir dan dizahirkan dalam nuansa segar dan menambat!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan