Jumaat, 7 Ogos 2020

Interbiu | CRONOSSES : 19.12.2018

Nota: Kontribusi untuk Eternal Zine #4 (Sarawak)


Saya percaya masih belum ramai yang mengetahui tentang Cronosses, sebuah band 4-piece yang berpengkalan di ibukota Kuala Lumpur. Eksistensi mereka bermula sekitar tahun 2012, tergabung dari para pemuzik yang pernah dan sedang menganggotai beberapa band lain sebelum ini. Ternyata mereka ini bukanlah muka-muka baru dalam scene. Jika terdahulu mereka tidak asing dalam kelompok Hardcore Punk tempatan, menerusi Cronosses mereka seakan mahu berkarya pada landasan di luar kebiasaan mereka, bahkan mahu menghasilkan karya-karya yang boleh dianggap berkelainan. Siapa Cronosses? Di mana kedudukan mereka? Ke mana haluannya? Biarlah bual-bicara di bawah ini menemukan jawaban kepada semua persoalan itu. – Temubual oleh Pyan Nathias [19 Disember 2018]

Salam. Perkenalkan sedikit-sebanyak tentang Cronosses; sejarah pembentukan, latarbelakang ahli kumpulan serta motif ia ditubuhkan?
Sejahtera kembali. Terima kasih Pyan atas sudi interview kami untuk Eternal Zine. Cronosses asalnya ditubuhkan seawal tahun 2012. Bandmate semuanya adalah alihan dari band Abnormal Psychology yang berkonsepkan Fastcore. Apabila lamanya kami terpisah kerana sibuk atas komitmen masing-masing dan agak lama juga kami tidak berkarya.

Jadi suatu masa kami berkumpul dan bercadang untuk kembali berkarya dan bersetuju bersama line up asal Abnormal Psychology iaitu Jep, Adal, Pais, Keri dan Paan iaitu sahabat dari band  LanggarxLari (Thrashcore) dan  Kesumat (Power Violence) yang ingin bersama untuk menubuhkan Cronosses dengan genre yang agak berbeza dari sebelum ini dan ingin mencuba sesuatu kelainan dari segi konsep dan susunan. Jadi kami mengadakan last show untuk Abnormal Psychology dan memperkenalkan Cronosses dalam masa yang sama di Mentakab, Pahang.

Setelah itu kami terus berkarya dan mula untuk proses rekod tetapi dalam proses pembikinan EP, ada beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan dan terpaksa kami berhenti untuk meneruskan pembikinan EP pada tahun 2014.

Tiba pada tahun 2017, kami kembali semula untuk berkumpul akan tetapi Pais selaku vokalis dan Paan selaku gitaris terpaksa mengundurkan diri atas hal tertentu dan tinggal hanya kami bertiga iaitu Adal, Jep dan Keri untuk teruskan perjalanan dan sekarang Ashie selaku vokal Cronosses sekarang dijemput untuk menggantikan tempat Pais. Alhamdulillah kami sekarang berempat telah melahirkan EP yang bertajuk “Arakian” pada awal Ogos 2018 yang diriliskan oleh Fvkof Distro dan Tempang Records.

Ahli kumpulan Cronosses terdiri dari:
Ashie – Vokal (Punah Ranah)
Adal – Drum (Gymnastic Skull Whistling, Rotgut, 44 Weeks of Epilepsy)
Keri – Bass (Ex-Abnormal Psyhology)
Jep – Gitar (Ex-Abnormal Psychology)

Tahniah di atas rilisan Cassette EP sekitar Ogos 2018 yang lalu. Apa sebabnya ia diberi judul “Arakian”?
Terima kasih berterusan pada kalian yang membeli dan menyokong kami. “Arakian” adalah ayat dari bahasa melayu lama yang bermaksud ‘Sesudah itu atau Selepas itu’. Jadi nama ini diberi atas perjalanan kami untuk merealisasikan rilisan kami yang pertama dan ia tidak terhenti hanya di situ sahaja, akan ada kesinambungannya lagi. Seperti contoh ayatnya “Arakian, maka tersebutlah kisah Cronosses”.

Bagaimana kalian boleh mendapat kerjasama dari Fvkof Distro dan Tempang Records untuk merilis EP tersebut? Kalian puashati dengan hasilkerja label-label ini dan bagaimana pula dengan jualan serta sambutan/sokongan dari pendengar muzik kalian setakat ini?
Sejujurnya kami sangat berpuas hati dengan kerjasama yang diberi dari dua rekod label yang banyak membantu kami untuk rilisan EP “Arakian”. Terima kasih tidak terhingga pada Kenit dan Hadi dari Tempang Records dan Sheik dari Fvkof Distro atas sokongan kalian. Asalnya telah lama kami bincangkan untuk riliskan EP ini dengan Fvkof Distro di sekitar tahun 2016 dan apabila bertemu dengan Kenit dan Hadi Tempang Records awal 2018 kami bercadang untuk menggabungkan 2 label ini atas tujuan boleh bekerjasama untuk melebarkan rilisan kami lebih jauh dan meluas.

Jualan sangat memberansangkan. Kaset pada kami telah pun habis dan kurang pasti dari kaset-kaset yang berada di tangan Fvkof Distro dan Tempang Records akan tetapi kami dimaklumkan juga banyak juga yang telah terjual. Syukur, setakat ini kami masih menerima komen-komen yang positif dari para pendengar rilisan kami dan kami juga tidak teragak untuk menerima komen-komen yang negatif atas tujuan untuk membina karya kami dengan lebih baik. Terima Kasih Semua!

Cronosses dilihat membawa satu bentuk muzik yang agak unik dan seakan mencuba satu kelainan. Boleh jelaskan lebih lanjut mengenai konsep serta haluan muzik band kalian? Beritahu kami beberapa nama band yang kuat mempengaruhi penciptaan muzik & sound Cronosses?
Benar, niat kami asalnya memang untuk mencuba satu kelainan dan berharap para pendengar akan bertanya kami apa yang kami cuba sampaikan dari segi konsep. Dan syukur sekali lagi banyak soalan-soalan yang sebegitu yang didengarkan kepada kami sebegitu rupa, dan sejujurnya agak sukar juga bagi kami bagaimana untuk menjelaskan soalan sebegitu atas kerana lagu-lagu yang dicipta agak bercampur gaul konsepnya namun kami tetap berpuas hati dan merasakan tujuan kami berjaya dengan jayanya. Secara ringkasnya elemen-elemen yang kami campurkan lebih kepada Death Metal, Post Metal, Sludge dan juga Black Metal. Antara band-band yang menjadi reference kami adalah Bloodbath, Mastodon, Kvelertak, Darkest Hour, Batushka dan banyak lagi.

Kongsikan ringkas proses penulisan lagu, susunan muzik serta sessi rakaman untuk EP “Arakian” ini? 
Dari segi penulisan lirik dan susunan lagu untuk rilisan “Arakian” kebanyakannya dinukil oleh Jep sebagai gitaris Cronosses dan kami juga kerap kali melakukan perolahan dari segi drum beat dan alunan gitar untuk memberi penyesuaian kepada vokal. Dari segi masa juga kami lebih selesa menyampaikan tidak lebih dari 4 minit kerana asas muzik yang kami ceburi kebanyakannya datang dari Hardcore Punk dan kami menggunakan ia sebagai platform kami walaupun kami lebih cenderung ke arah muzik metal.

Kami melakukan rakaman gitar, bass dan drum di studio Iseekmusic Studio yang dimiliki oleh Mokhtar dan rakaman vokal di Grindbros Studio yang dimiliki oleh Azan dan Ashie selaku vokal Cronosses. Jadi perjalanan rekoding “Arakian” ini pada tika itu agak lancar dan mudah berurusan dari segi komitmen, kerjasama dan juga masa. Terima kasih pada Azan dan Mokhtar atas kepakaran telinga anda.

Senikata lagu-lagu Cronosses juga begitu menarik olahannya. Terangkan lebih terperinci tentang skop/tema serta mesej-mesej dalam lirik-lirik lagu kalian?
Implimentasi berkenaan lirik dan mesej yang cuba disampaikan oleh Cronosses banyak cenderung ke arah konsep alam diri dan luahan rasa manusia yang dilontar melalui imaginasi penceritaan. Seperti kata lain cuba mencerita sesuatu yang kita tidak nampak dan sukar dijelaskan dengan nyatanya dalam konsep kiasan. Contoh lagu yang terdapat di dalam EP “Arakian” iaitu ‘Seloka Suri Mati’, ia menceritakan perasaan seorang insan wanita yang terperangkap dalam dirinya bergelut dengan nafsu beliau dan dalam masa yang sama bercampur gaur dengan perasaan ingin mengenal akan kewujudan dirinya di alam nyata ini. Konsep-konsep lirik Cronosses ini dianggap seakan buku cerita yang mengisahkan perihal insan melalui seni kiasan bertemakan kegelapan dan kami lebih selesa menyampaikan ia dalam Bahasa Melayu kerana tujuan bagi para pembaca lebih menilik lirik dengan lebih tajam apa yang cuba disampaikan walaupun kami tahu ia juga agak abstrak bagi pihak pembaca untuk memahami.

Ceritakan juga mengenai artwork-artwork yang ada pada kulit sampul kaset dan maksud-maksudnya yang mungkin ada tersirat di sebalik artwork tersebut?
Artwork yang terdapat di dalam EP “Arakian” dilakar oleh Vrugarthdoom iaitu pelukisnya Yudha Saputra (Wicked Suffer) teman kami yang berada di negara seberang Indonesia. Melalui proses pembikinan kulit sampul kami menerangkan serba sedikit konsep yang ingin disampaikan dan melakukan sedikit lakaran untuk beliau lebih mudah faham apa yang mahu dinyatakan.

Ya pasti ada maksud yang tersirat di sebalik artwork tersebut contohnya ada 3 insan wanita itu melambangkan nafsu yang sentiasa berkeliaran bagi mengelirukan kefahaman manusia, dan ada gambaran jantung pada mereka ternyata mereka memegang hati manusia yang bergelumang bersama mereka. Latar seperti angkasa itu adalah suasana yang kerap kali bergelut dengan perasaan manusia tika kala mereka sedar atau tidak. Sebenarnya agak lebih terperinci lagi penjelasan terhadap artwork tersebut akan tetapi terlalu panjang jika mahu diterangkan di sini, jadi itulah serba sedikit penghuraian yang tersebut.

Bagaimana dengan aktiviti gig dan tour yang pernah Cronosses lakukan? 
Sebelum kami melancarkan rilisan pertama, kami sudah beberapa kali berkongsi pentas di dalam Semenanjung Malaysia ini seperti di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, dan Pahang. Kami sebenarnya ingin melancarkan release party untuk rilisan “Arakian” ini tetapi pada masa itu Jep selaku gitar terpaksa ke Osaka, Japan atas panggilan kerjanya di sana. Jadi kami terpaksa tangguhkan segala aktiviti seketika dan akan menyambungnya kembali pada awal tahun 2019 setelah beliau pulang ke tanah air.

Apa agaknya rilisan susulan serta perancangan seterusnya dari kalian di masa hadapan?
Akan ada rilisan untuk “Arakian” dalam bentuk Digital CD dan telah disetujui bersama Glord Records dan Goatlordth dan sekarang dalam proses pembikinan, kemungkinan sekitar awal tahun 2019 akan mula dilancarkan. Kami juga sudah pun merancang untuk Indonesia Tour sekitar Julai 2019 dan plan perjalananya sudah diatur hanya menunggu pengesahan dari pihak penganjur di Indonesia untuk aturan masa dan venue selama 9 hari. Perancangan untuk rilisan kedua juga sudah kami jalani sekarang dalam proses penyusunan musik dan aturan lirik. Kemungkinan sasaran kami untuk rilisan kedua pada November atau Disember 2019. Doakan kami terus sukses :D

Terima kasih kerana sudi ditemubual. Sebagai penutup, beritahu rakan kita di luar sana mengapa mereka perlu segera dapatkan “Arakian” dan mendengar muzik Cronosses?
Yah! bagi teman-teman di luar sana yang masih belum dapatkan “Arakian” boleh hubungi facebook atau instagram Tempang Records dan Fvkof Distro. Minta maaf stok kaset pada kami sudah habis. Kami harapkan apa yang kami nukilkan dapat diterima pada semua para pendengar dan menyokong kami dengan jayanya. Tidak lupa juga pada teman-teman dan ahli keluarga yang memahami dan memberi sokongan kepada kami dari mula hingga sekarang. Terima kasih sekali lagi kepada Pyan kerana sudi interview kami yang kecil ini, harap bahasa yang diberi dapat difahami dan jika ada bahasa yang tidak menyenangkan mohon maaf dari hujung langit hingga ke dasar bumi... Sekian! Sejahtera pada kalian semua!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan