Jumaat, 7 Ogos 2020

Rebiu | BEHIND THE SCENE – Isu #2


BEHIND THE SCENE – Isu #2
44ms / A5 / Bahasa Melayu
Selepas beberapa ketika barulah saya ketahui bahawa Abdul Alif, editor zine Behind The Scene ini juga merupakan vokalis Something Shit (band berpaksikan muzik Powerviolence dari Keningau). Bukan calang-calang hebatnya anak muda ini. Isu kedua BTS telah diterbitkan secara rasmi sewaktu berlangsungnya gig Edge Day 2018 x Sabah Hardcore Fest Vol.1 bertarikh 20 Oktober 2018. Selain daripada jumlah ketebalan yang meningkat berbanding isu pertama, saya melihat kemajuan yang agak besar dalam aspek pengisian dan penyampaian di dalam penerbitan kali ini. Separuh daripada BTS #2 di-isi dengan opini-opini; penulisan, catatan dan coretan Abdul Alif itu sendiri. Bermula dari bahagian Editorial, membawa ke kolum Introduction, seterusnya merangkumi tiga rencana bersifat personal thoughts iaitu ‘My Life, My Choice’, ‘Bullshitness System’ dan ‘Why Do I Exist’. Jangan terpedaya dengan judul english penulisan-penulisan tersebut kerana teks-teks keseluruhannya adalah dalam Bahasa Melayu. Tulisan-tulisan ini sangat seronok untuk dibaca; santai, sedikit rojak dan pasar namun hakikatnya banyak ‘isi’, penuh dengan mesej-mesej mendalam, tajam dan serius! Slot-slot interbiu menampilkan band TikamxLari (Thrashcore dari Lahad Datu), Rant (D-Beat Crust kelahiran Keningau) serta Con-damn The Corruptor (Tribal Punk Rock asal Inanam/KK). Kalaulah isu terdahulu agak ringkas dan terlalu basic, metod temubual kali ini lebih baik dengan kuantiti (dan kualiti) soalan bertambah kepada sekitar 8 hingga 9 pertanyaan untuk setiap band. Menjadi satu tarikan juga apabila setiap artikel, setiap seksyen didahului dengan artwork lukisan Amin (Stupid Boys) malahan dalam BTS #2 ini diujudkan satu sudut khas ‘Art Side’ mengetengahkan lebih banyak koleksi senilukis si Amin (instagram: amindemierda) ini. Sekali lagi ingin saya ucapkan syabas kepada Abdul Alif di atas inisiatif, kredibiliti dan integriti beliau dalam penghasilan fanzine. Saya percaya inilah antara yang akan membawa tradisi fanzine bersambung di generasi-generasi ke hadapan. Ayuh berikan sokongan kepada usahanya. Semarakkan semangatnya, biar membara dan terus bergelora!
facebook.com/alip.arghhh
instagram.com/alipisdead

Tiada ulasan:

Catat Ulasan