Jumaat, 7 Ogos 2020

Rebiu | TERSELINDUNG – Selera Besi


TERSELINDUNG – Selera Besi
Zuath Generation Distro
Ini hardcore punk yang thrashy, kencang dan dipenuhi suntikan elemen-elemen kemarahan. “Selera Besi” karya perdana band berjenama Terselindung ini begitu cenderung ke arah nuansa metal yang lasak dan berat, mengundang head-banging berterusan tanpa henti! Pun demikian, di sebalik kerancakan muzik yang pantas dan keras, Terselindung tidak sama-sekali mengetepikan akar umbi punk-rock di dalam lagu-lagu ciptaan mereka. “Selera Besi” mempertaruhkan 10 buah lagu yang mantap, bersepadu dalam kepelbagaian, kaya dengan idea-idea menarik dan menangkap. Bakat serta keupayaan dua ahlinya Mr.Ghoul (vokal/gitar utama) dan Killer Pocket (dram/vokal latar) yang sebelum ini membina pengalaman melalui Tarantulah digilap lebih menyerlah menerusi Terselindung. Saya tidak melihat adanya cacat-cela dalam rakaman do-it-yourself yang diperbuat di home studio. Semuanya (merujuk kepada produksi bunyi) kedengaran baik, malahan jauh lebih baik dari beberapa penghasilan live recordings di studio-studio berbayar yang pernah saya dengar. Tahniah untuk kerja keras dan usaha bersungguh dari Terselindung (juga buat pihak Zuath Generation Distro) yang menjadikan pakej CD ini sesuatu yang sangat-sangat berbaloi untuk diperolehi dan dinikmati. Untuk makluman, kuantiti pengeluaran CD “Selera Besi” sebenarnya agak terhad, dan salinan yang saya miliki bernombor 8 daripada 50 cetakan yang dikeluarkan. Atas segalanya, rilisan ini eksklusif dan impresif – atau ertikata selainnya, menakjubkan!
terselindung.bandcamp.com
facebook.com/zuath-generation-distro-1695016894043773

Tiada ulasan:

Catat Ulasan