Jumaat, 7 Ogos 2020

Rebiu | MOSH – Isu #19


MOSH – Isu #19
72ms / A5 / Bahasa Melayu
Ini zine otai dalam scene underground tempatan. Zine yang sudah dua dekad berkhidmat; beroperasi dan berfungsi menyokong serta mendokong scene yang kita cintai ini. MOSH tidaklah sekadar mengenai muzik punk, hardcore dan indie tetapi juga tentang realiti kehidupan sebenar, hal-hal nyata yang berlaku di sekeliling kita. Pengisian MOSH tidak perlu dipersoalkan lagi. Ahmad Nizamuddin Abdullah a.k.a Nizang selaku editor telah begitu lama menulis dan menyunting zine ini, telah melalui pelbagai fasa dan perubahan era – maka ‘kematangan’ adalah taraf selayaknya MOSH pada hari ini. Saya sendiri tanpa ragu mengiktiraf MOSH itu satu jenama dalam scene DIY Malaysia, satu influencer yang dekat dan melekat di hati setiap daripada kita. Isu #19 ini diterbitkan pada November 2018, memuatkan banyak penulisan-penulisan personal termasuk sumbangan beberapa kontributor. Antara yang menarik perhatian berdasarkan penelitian saya adalah seperti Sepetang Bersama Pesakit nukilan Sang Harima, Ke Dalam Perut Mak oleh Sue Emoqwin, Pengalaman Dibedah Secara Batin ditulis Nizang sendiri, Pemikiran Pejabat karya Zax Shayna dan yang paling ‘syok’ artikel Kumpulan Wings dan Lagu Hisap Dadah oleh Matyie Abahaydar. Slot temuramah kali ini dibuat bersama Milo Dinosaur, Uncure, The Fatalis, Jaggfuzzbeats, Keledexx, Duckhead, dan Nostalgia. Seterusnya, ruangan “butthurt” menghimpunkan begitu banyak ulasan-ulasan terhadap buku, zine, kaset dan cakera padat. Meskipun tidak menampilkan kulit keras cetakan full-coloured sebagaimana isu #18 ataupun perfect-binding seperti isu #17, MOSH #19 terbitan Karya Raya Recources dan edaran KIDAL ini tetap lumayan, berbaloi serta menghadirkan kepuasan! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan