Jumaat, 7 Ogos 2020

Rebiu | HETEROGEN – Isu #1


HETEROGEN – Isu #1
56ms / A5 / Bahasa Melayu
Saya terlebih dahulu mengenali Jazli Safwan menerusi perzine Catatan Pinggiran (tahun 2016). Lama juga tempoh ‘rehat’ beliau untuk kembali menyunting dan menerbit zine. Pemastautin Langkawi, Kedah ini hadir dengan sebuah zine baru diberi nama Heterogen. Zine yang dilihat mempunyai konsep atau skop pengisian yang agak luas dan terbuka; muzik, travelog, wawancara, literatur (sajak & cerpen), artworks (ilustrasi & komik), artikel dan sebagainya. Sepertimana diterangkan dalam ‘Nota Editor’, Heterogen itu dimaknakan sebagai “terdiri daripada berbagai-bagai jenis”. Bermaksud, zine ini tiada tema khusus tetapi menghimpunkan tulisan dan rencana seputar seni, muzik, sastera, kesukarelawan, aktivisme dan apa-apa sahaja yang hendak dituliskan. Jazli Safwan tidak berseorangan dalam membikin Heterogen. Sahabat lamanya semenjak zaman sekolah rendah iaitu saudara Izzat Isa turut sama membantu dan berganding bahu. Heterogen #1 dilancarkan sewaktu berlangsung Perlis Zine Fest 2018. Kulit hadapan yang memaparkan foto grayscale anak kecil dipadankan dengan logo berwarna biru laut nampak begitu cantik dan menarik pandangan mata. Rencana ‘Cetakan Saring dan Semangat DIY’ sangat-sangat bermanfaat untuk anda yang mahu mengetahui serta mempelajari tentang silkscreen printing. Inisiatif Jazli menemubual Izzat satu idea yang rare dan unik manakala “Catatan Pendek Kembara ke Tokyo” oleh Izzat Isa yang sebenarnya melibatkan 13 mukasurat bolehlah saya anggap sebagai highlight dalam isu debut ini. Zine yang juga sarat dengan tulisan-tulisan monolog, anekdot, sajak-sajak, komik serta beberapa artikel lain ini diolah dengan cukup baik; bersih dan sangat kemas kerja-kerja rekaletak dan susunaturnya. Heterogen merupakan terbitan & edaran Hangtera Productions dengan kolaborasi Kenari Karel. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan