Jumaat, 7 Ogos 2020

Artikel | Pendapat Tentang Zine


Apa pendapat anda tentang zine? Dari dulu hingga sekarang dan 10 tahun akan datang? Adakah ianya masih relevan ataupun orang sudah melupakannya?Soalan oleh: Yoi Marius facebook.com/wf.distro / Jawaban dimuatkan dalam: SYNDROME ZINE #9

Aktiviti pembikinan zine pada kebelakangan ini sebenarnya semakin berkembang dan lebih meriah. Hal ini dapat dilihat dengan adanya acara-acara tahunan seperti zine fest dan buku jalanan. Berbeza dengan era 90an dahulu yang mana zine agak cenderung kepada konsep music-oriented fanzine, hari ini begitu ramai yang mengeluarkan zine-zine berintipatikan kompilasi/dokumentasi artwork, literature, personal writings, travelog, sub-cultures malahan juga ada yang berkisarkan tentang isu-isu sosio-politik. Sekarang, penulisan zine dilihat semakin bebas dan meluas skop pengisiannya. Dahulu kita hanya melihat lambakan zine yang menjurus kepada scene muzik underground; metal dan hardcore punk.

Saya secara peribadi gembira melihat perkembangan scene penerbitan zine masakini cuma agak terkilan dan semakin bimbang dengan kemerosotan penerbitan fanzine-fanzine yang menyokong gerakan muzik underground. Semacam dah tak ramai yang berminat untuk menulis dan mengeluarkan zine-zine metal, punk ataupun muzik indie. Tidak sepertimana ghairahnya scene 90an / awal 2000an. Saya tetap percaya dan sentiasa mahu menegaskan bahawa zine adalah satu tool penting dalam scene. Zine ini satu alat/medium yang bukan sahaja menjadi perantara di antara pemuzik dan pendengar/penggemar muzik, ia adalah penyebar dan pendokumentasian informasi yang tidak hanya relevan pada hari ianya dibaca tetapi juga relevan pada masa hadapan; 10 atau 20 tahun akan datang.

Memang benar informasi lebih pantas boleh diperolehi pada zaman internet dan media sosial sekarang ini tetapi ianya mudah hilang, lenyap dan tidak dapat diarkibkan. Zine bercetak, tak kiralah samada salinan fotokopi ataupun pro-printed memiliki satu nilai yang tersendiri. Ianya dokumentasi teks & imej yang bukan sahaja menyeronokkan untuk dibelek dan ditelaah, tetapi boleh disimpan dengan baik, diulang baca dan menjadi khazanah berharga pada masa hadapan. Zine samada kita sedari atau tidak, mencatatkan sejarah gerakan scene untuk dirujuk semula pada 10 atau 20 tahun akan datang. 

Dahulu saya adalah editor zine metal NATHIAS dimana 9 isu telah berjaya diterbitkan. Isu pertama terbit sekitar Mac 1993. Kalau dihitung, sudah 26 tahun usia isu pertama tersebut. Saya menyimpan satu salinan dan adakalanya saya buka semula isu tersebut. Ada band yang ditemubual telah menjadi nama besar dalam scene muzik metal antarabangsa. Ada juga yang telah dibubarkan tetapi muzik / rakaman mereka yang saya ulas ketika itu telah menjadi inspirasi & pengaruh kepada banyak band-band baru hari ini. Itulah yang saya maksudkan cacatan sejarah dalam sesebuah zine selepas lebih 25 tahun ianya diterbitkan. 

Fungsi dan objektif zine dalam scene amat penting dan tetap kekal relevan dari dulu, kini dan selamanya lebih-lebih lagi selagi wujudnya scene muzik underground dan sub-culture yang tidak mendapat perhatian di arus perdana. Scene dan zine ini tidak akan pernah mati. Mungkin ramai yang "terlupa" tentangnya kerana lemas dalam budaya hujung jari yang mempersona tetapi percayalah masih ada dan tetap akan ada sebahagian dari kita yang menghargai dan menyedari nilai tinggi di sebalik penulisan, pembikinan, penerbitan dan pengedaran fanzine-fanzine bercetak. 

Pyan Nathias (Bangkit! Fanzine) / 12 Disember 2019

Tiada ulasan:

Catat Ulasan