Jumaat, 7 Ogos 2020

Rebiu | STAND POINT OF MIND – Isu #16


STAND POINT OF MIND – Isu #16
60ms / A5 / Bahasa Melayu
Zine xSTANDPOINTOFMINDx #16 ini diterbitkan pada Disember 2017, ditulis oleh Timmy Fahmi, bekas anggota band Young And Dangerous dan sekarang ini pengusaha pakaian berjenama TIMS. Sejujurnya saya tidak pernah mengambil tahu tentang SPOM, apatah lagi memiliki isu-isunya yang terdahulu. Daripada apa yang difahamkan, keluaran-keluaran lepas bertemakan straightedge dan muzik hardcore/punk. Saya dapati ramai juga editor-editor lama yang remajanya penuh dengan passion dan attitude, sedikit demi sedikit beralih ke arah penulisan tentang realiti kehidupan, kekeluargaan dan persekitaran nyata setelah berkahwin dan beranak-pinak. Saya tidaklah maksudkan mereka ini telah meninggalkan kesemua keghairahan zaman silamnya itu. Spirit dan rebel tetap ada, cuma penulis-penulis ini sebenarnya telah menjadi lebih dewasa dan lebih matang, mahu melihat dunia dalam skop yang lebih luas dan terbuka. Atas sebab itulah saya kira SPOM yang terbaharu ini lebih menjurus kepada konsep zine personal. Selain daripada himpunan cerita peribadi, hal-hal keluarga dan kisah-kisah hidup dalam ruang-lingkup Timmy Fahmi sendiri, beliau turut mengadakan slot-slot temubual bersama beberapa individu; antaranya melibatkan Addy Zaidy, Kerk Zulkurnain, Khasreena Afiqa, Mohd Adzale Ainudin (Ad Skull) dan yang paling panjang lebar bersama Azaruddin Paiman (Din Akar / Roots Zine). Sebahagian besar diskusi-diskusi ini berkisarkan tentang kehidupan, hidup setelah berumahtangga dan berkeluarga, kerjaya, pengalaman, impian dan sebagainya. Kalau tidakpun banyak, anda yang membaca boleh mendapat sedikit motivasi mahupun terinspirasi dari perkongsian-perkongsian yang terkandung dalam zine sebegini. Secara fizikal, SPOM #16 ini pro-printed. Kulit luar kertas keras dan tebal, berwarna penuh. Halaman dalamannya juga glossy paper. Cukup-cukup kemas susunatur serta rekaletaknya. Sebuah zine yang padat dan terhasil dari sikap ‘komited’ (untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik dan berbaloi).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan