Jumaat, 7 Ogos 2020

Interbiu | V : 09.01.2019

Nota: Kontribusi untuk Eternal Zine #4 (Sarawak)


Hikayat kepahlawanan serta perjuangan lima bersaudara di bumi Melaka menjadi tonggak pengisian “Sumpah Pendekar”, album perdana kumpulan V yang dibarisi Mohd Ridzuan a.k.a RedOne (vokal), Muhamad Johari a.k.a Joe (gitar), Muhamad Zaki a.k.a Zakie (gitar), Mohd Firdaus a.k.a Dauz (bass) dan Abu Hurairah a.k.a Earth (dram). CD “Sumpah Pendekar” yang mula diedarkan sekitar akhir Oktober / awal November 2018 turut mengandungi mesej-mesej ketuhanan dan keamanan sejagat. Album rilisan Karisma Production bermuatan 10 lagu berdurasi keseluruhan hampir 50 minit ini dilancarkan secara rasmi dalam sebuah showcase di Ultimate Blast Studio, Seri Kembangan pada 9 Disember 2018 yang lalu. Dalam usaha mendalami kisah-kisah di sebalik pembikinan “Sumpah Pendekar”, haluan serta pengaruh-pengaruh dalam muzik V dan pelbagai ceritera lain yang berkaitan dengan kugiran asal bandaraya bersejarah ini, kita bersama vokalisnya RedOne. – Temubual oleh Pyan Nathias [9 Januari 2019]

Assalamualaikum Wan. Kau apa khabar bro? Tahniah, akhirnya rilis juga debut full-length V setelah sekian lama menanti. Personally kau rasa puas dan berbaloi?
Waalaikumsalam Pyan. Alhamdulillah sehat. Terima Kasih atas ucapan Tahniah tu. Personally memang aku rasa puas hati dan berbaloi sebab album nie atas usaha dan penat lelah aku, Joe, Zakie, Dauz dan Abu selama kini.

Setelah begitu banyak tahun masa diambil dalam usaha merealisasikan “Sumpah Pendekar”, bagaimana kauorang melihat dan mentafsir pengertian menyeluruh album tersebut kepada perjalanan serta perjuangan V selama ini?
Usaha dan Jangan Putus Asa. Selagi ada daya, selagi kita berusaha insyaAllah ada jalan untuk kita merealisasikan impian. Album “Sumpah Pendekar” nie banyak mengajar kami apa itu susah senang dalam mengejar apa yang kami impikan. Walaupun banyak dugaan yang kami hadapi, kami tak pernah putus harapan dalam mencuba dan mencari jalan penyelesaian untuk riliskan album nie.

Kauorang lakukan proses rakaman di beberapa tempat berbeza; Andy Studio, Stallin Studio dan Sahabat Studio. Mungkin kauorang ingin dapatkan vibe yang berbeza di tempat-tempat yang berlainan, atau mungkin juga V berhadapan kesukaran menyelesaikan keseluruhan rakaman hanya di satu studio yang sama. Komen bro?
Sebenarnya kami lalui proses rakaman sebanyak 4 studio iaitu Titanium Records, Andy Studio, Stallin Studio dan Sahabat Records. Cuma dalam inlay CD kami tak masukkan Titanium Records sebab hasil recording di Masai Johor tu tak menjadi.

Bermula pada Oktober 2009, V mula masuk recording di studio Titanium Records Masai Johor. Masa nie kami sign kontrak dengan Titanium Records. Label nie pernah riliskan album Hidden Silence “Black Hearted Spiritual”. Kami berulang alik dari Melaka ke Johor setiap Sabtu dan Ahad untuk siapkan proses rakaman sehingga Jun 2010. Lepas setel rakaman, so kami pun tunggu proses mixing dan mastering. Hampir setahun jugak lah tunggu tapi bila aku dapat jawapan dari producer pada Jun 2011, file recording ada problem dan rilisan di Johor tak dapat kami riliskan. Masa nie memang aku rasa macam nak marah pun ada, nak give up pun ada.. kau bayangkanlah ulang alik JB dengan tol, minyak dan masa, tiba-tiba hasil recording ada masalah. Aku bincang dengan semua line-up, kita cari studio lain dan rilis under label aku jer iaitu Karisma Production.

Lama juga aku cari studio yang sesuai sebab kami nie boleh masuk studio Sabtu dan Ahad jer. Setelah berbincang dengan semua line-up V, kami memilih Studio Sham Stallin di Ampang. Masalah studio Sham Stallin nie tak boleh record drum. Sesi rakaman awal kami mulakan dengan drum pada May 2012 di Andy Studio yang pada masa tu bertempat di Cheng Melaka. Setelah selesai rakaman drum di Melaka, kami mula ulang alik dari Melaka ke Ampang untuk rakaman gitar dan vokal di Studio Sham Stallin sehingga Januari 2013. Selepas tu kami menunggu proses mixing dan mastering sehingga Disember 2014. Memang agak lama nak menunggu proses mixing dan mastering siap, sebab kebetulan masa tu Sham Stallin jatuh sakit. Semasa sesi pra-dengar lagu-lagu yang telah siap, kami dapati ianya tak mencapai dengan apa yang kami mahukan dan kami buat keputusan untuk tidak mengeluarkan material yang telah siap pada waktu tu.

Pada 2016 aku jumpa Sham Stallin untuk ambil semua file-file recording dan bawa balik ke Melaka. Masa nie kami rehat sekejap sebab tengah buntu mana nak cari lagi studio untuk kami setelkan masalah kami nie. Pada Mac 2017 kami mula masuk Studio Sahabat Records untuk menyelesaikan masalah file-file recording kami sebelum nie. Kami ada juga cuba mixing dan mastering di Studio Sahabat Records namun ianya juga tidak memuaskan hati kami.

Nak dijadikan cerita, pada satu malam tu Rahmad Kamikaze datang singgah Studio Sahabat Records. Tujuan dia ke situ untuk selesaikan Single Rex Kamikaze. Tanpa membuang masa aku terus ceritakan masalah yang kami hadapi selama kini. Jadi dengan persetujuan semua line-up V, pada Januari 2018 kami buat keputusan menggunakan khidmat Rahmad Kamikaze dalam proses mixing dan proses mastering dihantar ke US. Alhamdulillah, apa yang kami mahukan selama kini tercapai juga akhirnya. Lagu-lagu V siap sepenuhnya pada Ogos 2018.

Aku cukup kagum dengan kualiti bunyi dalam “Sumpah Pendekar”. Superb sound quality gitu. Air tangan Rahmad Kamikaze untuk kerja mixing serta proses mastering di USA rasanya sangat-sangat membantu. Adakah ini semua benar-benar sepertimana yang dirancang untuk album ini, dan kauorang dapat mencapai tahap yang dimahukan?
Sebenarnya kami tak rancang pun nak bekerjasama dengan Rahmad Kamikaze. Kami jumpa Rahmad pun secara kebetulan di Studio Sahabat Records. Dia datang sebab nak setelkan Single Rex Kamikaze. Waktu tu kami dah buntu sebab hasil mixing dari Sahabat Records tak capai apa yang kami mahukan. Alang-alang dah jumpa dia, kami ceritakan masalah kami nie, jawapan dia simple jer “Ada duit semua boleh setel!”. Setelah berbincang, kami serahkan hal mixing dan mastering pada Rahmad. Terpaksa la kami buat kerja lebih masa... maksud aku, terpaksalah di antara kami nie buat kerja part-time sebab bukan murah nak bayar Rahmad nie..! Hahahahaha...

Pada kami tahap pencapaian kualiti bunyi untuk album nie adalah 80/100. Ianya hampir dengan kualiti yang kami mahu. Buat masa sekarang, ini sahaja terbaik yang dapat kami hasilkan. InsyaAllah, untuk rilisan akan datang kami akan menggunakan khidmat Rahmad Kamikaze sepenuhnya.

Bagi aku, ini album yang perfect serba-serbi; komposisi muzik, kualiti rakaman, produksi album... segalanya kelihatan matang! Di mana kauorang nak letakkan kedudukan V? Di persada Hard Rock arus perdana (mainstream)? Masih berlegar dalam scene muzik ekstrim / underground tempatan? Atau bercita-cita juga untuk melangkah lebih jauh ke peringkat antarabangsa?
Kalau diberi peluang kami memang berhasrat untuk pergi lebih jauh lagi ke peringkat antarabangsa. Untuk arus perdana mainstream, terpulang pada stesen TV atau radio nak putarkan lagi kami atau tak. Nak panggil kami perform atas stage diaorang pun tak menjadi masalah. Bab mainstream nie kami tak mengharapkan sangat, kalau ada peluang kami pergi kalau takda kami teruskan di dalam scene underground.

Adanya saduran ‘Painkiller’ lagu asal Judas Priest sedikit-sebanyak memberi gambaran tentang haluan muzik V, selain pengaruh kuat band-band seperti Helloween, Gammaray, Iron Maiden, Manowar dan seumpamanya. Berdasarkan perspektif pihak V sendiri, bagaimana kauorang mahu memperincikan muzik bawaan kauorang lebih dari sekadar definasi umum Heavy/Power Metal?
Pergh! Soalan kau memang maut aku nak jawab nie...! Hahahaha..

Apa yang kau dan orang luar di sana dengar lagu-lagu kami, ITULAH MUZIK V. Lain dari yang lain. Kau boleh kata Heavy Metal, kau boleh kata Power Metal, kau boleh kata Speed Metal dan ada sedikit elemen Thrash Metal. Pendek kata kami gabungkan elemen-elemen tersebut dalam album nie.

“Sumpah Pendekar” juga agak mengimbau memori aku kepada lagu-lagu berirama keras/berat dari kegemilangan Rock Kapak tanahair, band-band seperti Crossfire, Rusty Blade, Lefhanded menerusi ‘Semangat Lamina’ contohnya, malahan Putra yang juga lahir di Melaka (aku teringatkan cover artwork kaset album mereka). Adakah era Rock 80an hingga awal 90an tempatan, zaman-zaman Battle Of The Bands serta Juara-Juara Rock turut memberi inspirasi kepada V?
Terus terang aku katakan,V tak terpengaruh dengan era Rock 80-90’an. V nie lebih cenderung dengan band-band barat seperti Helloween, Gammaray, Manowar, Judas Priest, Iron Maiden dan Riot.

Senilukis hebat karya Vebry Zanadha kelihatan begitu menarik menghiasi kulit luar sampul CD “Sumpah Pendekar”. Ianya cukup berkesan dalam memperjelaskan konsep muzik V, dalam aspek lirikal terutamanya. Apa rumusan kauorang tentang artwork serta senikata-senikata lagu dalam album tersebut?
Lukisan Vebry Zanadha memang amat aku kagumi. Aku cuma beri idea dalam bentuk lakaran dan hasil lukisan dia betul-betul buat aku teruja. Seperti mana yang kau sedia maklum, Melaka cukup terkenal dengan 5 Pahlawan Melayu Melaka, jadi kami menggunakan lakaran 5 Pahlawan Melaka di samping tajuk lagu “Sumpah Pendekar” di hadapan cover album nie. Untuk senikata-senikata lagu di dalam album, seratus peratus datangnya dari aku sendiri dan aku bertanggungjawab sepenuhnya. Aku cuba menyuntik kembali semangat perjuangan bangsa dan di samping itu juga aku menyelitkan lirik berunsur KeTuhanan dan Keamanan. Cuma satu lagu yang bertajuk “Pemergian” aku cipta khas untuk Arwah Bonda aku.

Wan, apa rahsia kau bro dalam mendapatkan tona vokal yang nyaring, lantang, bernada tinggi? Masuk air betul dengan muzik mainan V ni, mantap!
Ini semua anugerah Tuhan bro, serius aku dulu pun loser dan selalu lari pitching, tapi lepas masuk kelas vokal, Alhamdulillah sedikit sebanyak dapat membantu. Yang penting kena selalu buat latihan, jangan minum air batu dan jangan isap Batu! Hahahahaha..

Sekarang ni apa yang kauorang sedang dan akan lakukan untuk memperkasakan lagi jualan/edaran CD album berkenaan? Gig dan tour? Radio airplay? Muzik Video? Digital release?
Kesemua persoalan yang kau tanya nie dah jalan serentak. Untuk Gig dan Tour selepas nie kami akan ke Johor dan Dungun. Tempat-tempat lain masih dalam perbincangan. Untuk Radio Airplay pula kami dah serahkan pada dj-dj Radio, terpulang pada mereka kalau diaorg nak mainkan lagu V. Muzik Video setakat nie kami dah ada 3 iaitu Sumpah Pendekar, Rintihan Kota Jihad dan Painkiller cuma satu Muzik Video Makam Mulia belum siap lagi. InsyaAllah dalam bulan Februari nie siap la kot. Digital release pun kami dah keluarkan pada 1 November 2018. Boleh tengok senarai digital release di www.Vofficial.org.

Sedikit imbasan untuk pengetahuan pembaca, bagaimana tertubuhnya V? Latarbelakang anggota band secara ringkas? Apa yang dimaksudkan dengan V; Victory (Kemenangan), atau simbol Peace (Keamanan), atau apa sebenarnya?
Kalau kau tanya pasal tertubuhnya V nie, aku akan ceritakan satu kejadian yang tak pernah aku keluarkan pada mana-mana interview sebelum nie. Sebelum nama V nie muncul, ada satu cadangan yang memang kami gelak sampai barai. Nama cadangan sebelum V nie muncul diaorang nak letak nama “THE COLI” hahahahahahahhahaa!!! Tapi disebabkan semua tak setuju, kami pilih V disebabkan kitaorang menggunakan gitar V.

V nie juga bermaksud 5 dalam huruf Roman. Itu sebab dalam Front Cover album, kami letak gambar 5 orang pendekar. V tertubuh pada 2006 dan menjadi lumrah pada setiap band dengan pertukaran line-up yang tak dapat memberikan komitmen sepenuhnya. Eng Seng antara yang awal keluar pada awal 2007 dan disusuli dengan Din dan Fikhrie pada tahun 2009. Posisi Din digantikan oleh Dauz dan posisi Fikhrie digantikan oleh Abu (Earth) iaitu drummer Hidden Silence. Aku, Joe dan Zakie masih terus kekal hingga kini. Anggota paling berumur (nanti kang aku cakap tua dia tak nak mengaku, hahahaha) adalah Joe, kemudian aku, Abu, Zakie dan paling muda Dauz. Cuma Joe sahaja bukan anak jati Melaka sebab dia dilahirkan di Kuala Lumpur. Dia pun dah menetap di Melaka hampir 20 tahun dan dah sebati dengan Asam Pedas! Hahahaha.. Aku pulak dilahirkan di Kg. Morten Melaka, Abu di Bukit Baru, Zaki di Batu Berendam dan Dauz di Tanjung Kling. Masing-masing ada kerja tetap cuma Dauz sahaja Full Time Musician dan banyak bermain di kelab-kelab malam di KL.

Maaf kalaulah wawancara ini mengambil begitu banyak masa berharga kau Wan. Hidup ini bukannya mudah bahkan terlalu singkat, huhu! Sepatah dua kata sebagai penutup?
Sebelum aku mengakhiri interbiu nie, aku nak ucapkan terima kasih pada kau Pyan dan Eternal Zine sebab sudi interbiu V. Kepada yang belum mendapatkan album kami, korang boleh sambar album kami di wakil-wakil pengedar album V “Sumpah Pendekar” di seluruh negeri. Senarai wakil-wakil pengedar ada di Facebook V dan dapatkannya sekarang sementara stok masih ada. Korang boleh ke website kami di www.Vofficial.org untuk info-info terkini. Teruskan menyokong kami, Terima Kasih!!!.

Ikuti V di pautan:
Official Website: http://www.Vofficial.org

Tiada ulasan:

Catat Ulasan