Sabtu, 11 Ogos 2018

Rebiu | SPLIT TONGUE – Smash The Wall


SPLIT TONGUE – Smash The Wall
Secret Records
Ini rilisan yang tersangatlah memberikan kepuasan! Hampir 13 minit setengah kerangupan old-school Hardcore/Punk yang dikacuk bersama irama Oi! dan UK82. Demo CD-R (2015) mereka telah saya rebiu dalam Bangkit! isu #1 tempohari. Mereka terus mengorak langkah dan semenjak itu, potensi band bergelar Split Tongue ini dilihat begitu berkembang pesat menerusi rilisan kaset EP berjudul “Small The Wall” ini. Terkandung di dalamnya 8 buah lagu yang cukup rancak, lasak dan ‘menendang punggung’. Kalian pendengar pasti terpesona dengan riff-riff pantas dan kencang, permainan beat yang laju tanpa mengetepikan elemen catchy serta ekspresi vokal yang mantap menyuarakan kritikan mereka terhadap isu-isu politikal dan sosial. Kualiti EP ini jauh lebih baik berbanding demo terdahulu di mana produksi bunyinya mantap dan mengesankan, hasil rakaman dan kerja adunan di studio berwibawa Iseek Music. Band-band luar seperti 86 Mentality, Negative Approach, Violent Reaction dan semestinya The Combat Zone adalah gambaran paling hampir kepada aliran muzik mainan Split Tongue, band berpengkalan di Shah Alam yang beranggotakan Pdoih (vokal), Gaga (gitar), At (bass) dan Lem (dram). Puas hati dan memang padu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan