Khamis, 30 Jun 2016

Rebiu | THE BOLLOCKS – Society Collapse


THE BOLLOCKS – Society Collapse
Tandang Records / Basement Records
Gila! Memang gila! Aku tidak maksudkan mereka ini orang gila, haha, tetapi The Bollocks itu bersama muziknya memang betul-betul menggila!!. Apa tidaknya, aku fikir kembalinya The Bollocks menerusi album baru “Society Collapse” pasti akan sedikit mengendur dan mendatar berbanding “Revival” (2008) yang aku anggap cukup keras dan pedas ketika itu [dalam rebiu aku terdahulu]. Mungkinlah kan.. dengan peningkatan usia setelah lebihkurang 8 tahun. Rupanya sangkaan aku meleset. Terjahan dan tujahan The Bollocks dalam “Society Collapse” semakin-makin jahat!; padu, laju, berat, padat, metal-influenced bersatu dalam estetika Hardcore Punk yang cukup jitu dan tinggi nilainya. Inilah penangan orang lama yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bermuzik dan membudayakan diri dengan filosofi punk. Tidak setakat senilagu dan muziknya, lirik-lirik dan suara The Bollocks turut kian lantang membidas mengelibas segala isu dan permasalahan domestik dan global. Ini himpunan 10 buah lagu (lebih 30 minit keseluruhannya) yang perlu ada dalam senarai harta milik anda, khususnya penyokong scene underground tempatan; tanpa mengira anda metal, grind, apatah lagi penggemar muzik punk. “Society Collapse” adalah manifestasi penyatuan karisma Punk Rock old-school dalam persekitaran modenisasi muzik independen hari ini. Aku dengan ini mengisytiharkan The Bollocks kini telah meletakkan satu tanda aras baru muzik Hardcore Punk di Malaysia.
facebook.com/The-Bollocks-110977015614434
basementrecordz.bandcamp.com
tandangrecords.bandcamp.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan