Rabu, 15 Jun 2016

Rebiu | PEDAL TO THE METAL – Isu #1


PEDAL TO THE METAL – Isu #1
Faithcraft Productions
Ahmad Raimi Azmi atau lebih senang dipanggil Rammy adalah kenalan lama saya dalam scene muzik underground tanahair. Beliau di peringkat awal era 90-an dikenali sebagai editor fanzine metal Kemenyan dan ahli band blackthrash The Ravens. Kreativiti anak kelahiran Perlis Indera Kayangan ini terus berkembang sehingga hari ini menerusi aktiviti dan projek beliau seperti Au Revoir (band avant-garde metal), Wreckär (band metalpunk), Ahmad Ra1m1 (projek solo muzik Ambient) dan pelbagai lagi termasuklah penglibatannya dalam kumpulan lagenda Blackfire. Identifikasi Rammy cukup jelas, seseorang yang multi-talented, innovatif dalam kerja-kerja kreatifnya dan sering mahu menonjolkan kelainan dan sifat-sifat mahakarya dalam setiap penghasilan karya-karya beliau. Cerita tentang penerbitan Pedal To The Metal zine telah saya dengar sekitar Oktober 2015, sebaik sahaja Rammy menghimpunkan koleksi kerja-kerja penulisan lamanya dalam satu buku bernama KEMENYAN: Book of Metal Sorcery. Pedal To The Metal mengikut asal dan asasnya adalah satu aktiviti riadah berbasikal (sambil beramal) yang dijalankan oleh Rammy bersama beberapa rakannya yang kemudiannya dilapor dalam bentuk travelog dan dimuat-naik di blog label beliau – faithcraftmobile.blogspot.com. Pada masa yang sama, sebagai individu yang cukup pelbagai tabiat penulisannya, Rammy turut mengujudkan blog di mana beliau menyentuh bukan sahaja hal-ehwal kesenian muzik dan perfileman tetapi juga perkara-perkara berkaitan kerohanian, kehidupan dan segala macam kerenah manusiawi dan persekitaran. Blog itu diberi nama Khusyuk Kematian – ra1m1.blogspot.com. Inilah dasar dan rangka utama termaktubnya Pedal To The Metal zine; kegiatan berbasikal itu sendiri dan dokumentasi penulisan dari dua blog yang disebutkan tadi. Sesuatu yang lahir dari kesedaran betapa pentingnya ia dicetak dalam format fizikal. Isu perdana Pedal To The Metal zine terbit secara rasmi pada Disember 2015, memuatkan 4 laporan kayuhan basikal. Yang pertama dari Kangar ke studio Soundmaker di Pulau Pinang untuk menghadiri acara JASAD: Brutal in Malaysia Tour 2014 (bertarikh 14 Mei 2014 sejauh 175km). Keduanya, kayuhan Kickin’ And Thrashin’ Fist ke Alor Setar pada 30 Ogos 2014 bagi menziarahi sahabat lamanya CS Wild yang mengendalikan toko muzik berat Hard & Heavy Shop serta label Thrashingfist Productions. Seterusnya dilapor kayuhan berjarak dekat (5km) dari Terminal Bas Larkin ke Stopzone Hall pada 1 November 2014 untuk menyaksikan persembahan An Evening with Frank Blackfire, ikon gitaris thrash metal Jerman yang dikenali umum kelibatnya yang pernah menganggotai band-band gergasi Sodom dan Kreator. Travelog terakhir yang ke-4 adalah Ride & Roll to Singora, kayuhan sejauh 58km dari Padang Besar ke Hatyai, Thailand pada 16 Mei 2015 bertujuan melawat dan menikmati dengan mata sendiri panorama Hatyai-Songkhla serta kegiatan scene underground di persekitarannya. Setiap travelog Rammy bukan sahaja berkisar catatan diari dan tips berbasikal itu sendiri tetapi dilengkapi juga dengan kupasan terperinci setiap destinasi kayuhannya, sebagai contoh rebiu persembahan band-band yang beraksi di pentas acara yang dikunjunginya. Tanpa basikal, insan hebat ini akan bermotorsikal pula. Aktiviti “rempit” kali ini adalah menjejaki Urak Lawoi dan Koh Lipe di Satun, Thailand diabadikan panjang-lebar dalam ruangan Jelajah dan Juadah. Bagi memenuhi tuntutan segmen temubual, Pedal To The Metal #1 menampilkan wawancara terperinci dan mendalam bersama 2 personaliti hebat disiarkan; bersama Anita Yusof – pengembara wanita, penjelajah bermotorsikal dan juga bekas anggota kumpulan rock Sherox, dan seterusnya bersama Nizang – figura muzik punk tanahair, tentang Mosh Zine, band Dum Dum Tak, scene punk rock tempatan dan paling bernilai perkongsiannya mengenai pembedahan pemindahan organ buah-pinggang yang telah Nizang lalui. Pengisian-pengisian lain dalam isu pertama ini adalah rencana mengenai muzik Ambient, ilustrasi sumbangan Abi Suffian, Ulasan Muzik Ghuluw dan beberapa artikel. Analisa ringkas band ABBATH (ditubuhkan oleh Abbath selepas meninggalkan IMMORTAL) menyempurnakan lembaran penutup zine ini. Cukup jelas dan nyata, Rammy seorang yang serius dan bersungguh dalam berkarya. Pedal To The Metal zine ini bukan main-main bikinannya. Ia himpunan penulisan teks yang digarap cukup baik dan teliti dibantu rekabentuk dan susunatur yang kemas dan terancang. Bukan sahaja zahiriah kulit luarnya yang dicetak profesional, kertas keras berkilat dan berwarna penuh, tetapi Rammy yang memang peribadinya pelik-tapi-unik menggunakan kertas berwarna kuning pada semua helaian dalamannya. Penerbitan ini secara fizikalnya 52 mukasurat termasuk kulit luar, bersaiz A5 dan ditulis dalam Bahasa Melayu. Salinan saya #62/200. Tahniah Rammy dan Pedal To The Metal – anda memang benar-benar Metal Punk Berbasikal!.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan