Sabtu, 28 April 2018

Rebiu | THE BOLLOCKS – Viva La Punk


THE BOLLOCKS – Viva La Punk
GLord Records
Vinyl 7" ini satu rilisan yang eksklusif dari The Bollocks. “Viva La Punk” mengandungi 4 rakaman studio yang tidak pernah dikeluarkan serta 2 petikan live sekitar 1995/1996. EP ini dilancarkan pengeluarannya buat kali pertama pada 18 September 2017. Ianya habis dijual dalam masa hanya beberapa hari sahaja. Saya bertuah memiliki edisi terhad Gold Vinyl 100 unit sahaja yang mula diedarkan oleh Glord Records pada 3 Oktober 2017. Sepertimana kita ketahui, The Bollocks yang ditubuhkan dalam tahun 1994 adalah antara band yang begitu besar pengaruhnya dalam scene muzik punk tempatan maka itu rilisan istimewa berdurasi keseluruhan 13:47 minit ini sudah tentu cukup penting untuk berada dalam rak koleksi kita. Side A dimulai oleh Viva La Punk, salah satu lagu paling menonjol dalam EP “Revolution” (1997) dirakam semula selepas 10 tahun, iaitu pada 29 April 2007. Diberikan nafas baru terutamanya penambahbaikan pada drum beat berbanding lagu asal. Track kedua, Keeper Of The Reins merupakan lagu yang tidak pernah diperdengarkan. Ia rakaman sekitar tahun 2007 untuk sebuah kompilasi yang gagal diterbitkan sehingga kini. Sebuah lagu yang jelas menampakkan bermulanya pendewasaan karya The Bollocks berbanding “My Friend” (Demo 1994 / EP 7" 1996) dan Cass.EP “Revolution”. Ini lagu yang keras, pantas dan membelasah, di mana mereka mula menggunakan drop tune dan ke arah Crust Punk dari segi sound. Seterusnya, Politicians (Live) dipetik dari persembahan pentas The Bollocks dalam gig “A Charity Show” di Piccadilly Discotheque pada 21 Julai 1996. Terima kasih kerana mengabadikan kenangan berusia lebih 20 tahun ini. Side B didahului oleh System Of Hate, sebuah lagu yang ada kisah tersendiri di sebalik rakamannya. Dirakam pada tahun 2014, tempoh perantaraan “Revival” (2007) dan “Society Collapse” (2016). Fasa di mana The Bollocks kehilangan vokalis Farid yang menarik diri dan tugasan diambilalih oleh Adik yang selama ini hanya bermain bass. Lagu ini unreleased, mood yang hampir serupa Keeper Of The Reins, ianya thrashing dan metal-charged gitu! Menyusul kemudiannya lagu berjudul Bitch II yang mengembalikan pendengar kepada asal-usul The Bollocks yang awalnya berpegang pada irama Street Punk. Bitch II yang dirakam pada 1995/96 di Dreamwalk Studio, KL mempunyai kaitan dengan The Bitch yang pernah dimuatkan dalam Demo 1994 (kemudiannya dirilis dalam format vinyl “My Friend” 1996). Chaos KP (Live) menutup “Viva La Punk” 7" EP. Lagu yang sudah tentu paling nostalgik dari band yang sememangnya bermula di Kuala Pilah. Memori itu dipahat pula dalam format live version, direkod semasa gig pertama The Bollocks di acara “Submerge Your Mind” di Piccadilly Discotheque, sebuah venue gig yang sangat sinonim dengan pergerakan awal scene muzik underground tempatan sekitar 90-an. Untuk makluman, kesemua enam lagu yang dimuatkan dalam rilisan ini telah remastered oleh Tom (gitaris The Bollocks sendiri) di Green House Studio, Kuala Lumpur. Kalian tidak perlu ragu tentang kualiti bunyi meskipun sumber audio datang dari pelbagai sesi rakaman (tempat dan masa) yang berbeza-beza. Selain poster bersaiz A3, pelekat percuma dan sebagainya, booklet 12-mukasurat mengandungi penceritaan yang lebih terperinci untuk setiap lagu, lirik untuk lagu-lagu yang previously unreleased, dilengkapi pula dengan banyaknya foto-foto rare dari The Bollocks. Oh ya, koleksi “Viva La Punk” saya bertambah sempurna dengan adanya versi Cassette Tape [Euro Pressing] rilisan ini yang turut berada dalam milikan saya, hehe! Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada GLord Records untuk penyediaan pakej yang sangat-sangat menarik ini, sesuai dengan reputasi The Bollocks itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan