Sabtu, 28 April 2018

Rebiu | EMERGED – Astray


EMERGED – Astray
Emerged Records
Sungguh, saya hilang kata-kata untuk sebuah produk yang sebegini hebat! Ya, saya berkata benar bahawa yang ini sememangnya sangat-sangat hebat! Saya hanyut dan tenggelam di dalam arus alunan muzik bikinan Emerged, di dalam 7" EP berjudul “Astray” ini. Biar saya kongsikan sedikit cerita. Sebahagian besar hidup saya dewasa bersama muzik metal. Irama metal yang gelap dan suram seringkali menjadi pilihan dan kegemaran saya adalah Black Metal yang berpaksikan depresif serta melankolik. Semua elemen kesukaan saya ini ada dalam muzik mainan Emerged. Lagu-lagu Emerged adalah himpunan melodik memukau, mencengkam dan meresapi jiwa! Track Mukadimah, sebuah introduksi dalam format instrumental sepanjang 2:54 minit bagaikan petanda kalian pendengar harus bersedia bersiap-siaga untuk dibawa masuk ke dunia yang kelam dan penuh dendam. Saya pernah mengatakan bahawa band ini perlu diberi pemerhatian khusus berdasarkan kualiti yang mereka ada sewaktu mengulas Demo 2017 (dan juga menemubual mereka) dalam Bangkit! isu #5. Emerged terbukti kembali dengan langkah yang jauh lebih kehadapan dalam karya mereka. Kemarahan dan atmosferik menyatu membentuk nuansa Kifarah [4:10], track yang menyusul di Side A sebaik berakhirnya Mukadimah. Riff-riff gitar dan hentakan d-beat yang mengheret saya ke lembah persoalan; Apakah kemanusiaan telah mati? Apakah kewarasan sudah tiada lagi? Lagu yang di penghujung simfoni-nya menyeru kita bangkit!, melawan tanpa gentar dan berjuang untuk hak-hak yang kita ada. Beralih ke Side B, satu lagi epical/doomy crustcore disalurkan dalam track bertajuk Astray berdurasi 6:24 minit. Lagu yang mengisahkan tentang azabnya tekanan dan penindasan namun jangan dibiarkan diri “sesat” dalam penderitaan dan kemurungan berpanjangan. Ia kemudiannya mengajak anda untuk segera sedar dan bangkitkan amarah, bangun menentang segala ketidakwajaran yang ada di sekeliling kita. Tahniah Emerged yang terdiri daripada Solihin (gitar/vokal), Rohayizal (gitar), Zamruliman (bass) dan Arif (dram) dalam rakaman ini. Kalian telah cukup berjaya menghasilkan karya-karya yang begitu menakjubkan, karya-karya yang meremangkan bulu-bulu roma saya tatkala menghayatinya. Saya fikir rilisan ini bukan hanya untuk pendengar Blackened Hardcore / Crustcore / Stenchcore, tetapi saya suka nak syorkan untuk semua termasuklah peminat Depressive Black / Dark Doom Metal terutamanya. Vinyl berharga RM35 ini terdapat dalam dua pilihan; samada black atau clear vinyl. Saya memiliki yang clear, dan yang seronoknya saya turut memiliki versi kaset [salinan #30] keluaran Broken Noise Records (Limited Tour Tape 100pcs). Koleksi lengkap untuk sesuatu yang hebat!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan