Khamis, 5 April 2018

Rebiu | MANUSIASI – Isu #5


MANUSIASI – Isu #5
84ms / A5 / Dwi Bahasa
Sebenarnya 90% penulisannya adalah dalam bahasa kebangsaan dan cuma sedikit sahaja yang berbahasa Inggeris. Isu kelima Manusiasi Zine ini dilancarkan penerbitannya sewaktu berlangsungnya Selangor Indie Comic, Zine Fest & Distro Day Out bertarikh 7 Oktober 2017. Naskah yang agak tebal ini saya melihatnya sebagai “media rasmi” Kolektif Sarata kerana editor dan para penulisnya adalah individu-individu dari kalangan kolektif tersebut. Menurut catatan dalam ruangan Introduksi, isu ini boleh dianggap comeback mereka di mana terbitan terdahulu (isu #4) adalah pada November 2012. Kandungan Manusiasi #5 dipecahkan kepada enam bahagian; Puisi, Interview, Interview Santai, Cerpen, Diskusi Bebas, dan Artwork. Terdapat 19 buah sajak yang mengisi ruangan Puisi, sajak-sajak kontemporari yang mendalam pengertiannya, kritis dan sangat bebas. Himpunan puisi anak-anak muda ini pembuka selera untuk pembacaan seterusnya. Section Interview menampilkan Cukong Press (untuk makluman, ini temubual kendalian / sumbangan saya untuk zine ini), Pneumanarch dan Spooky Wet Dreams. Slot Interview Santai kelolaan Diffansina Rabu yang mana mengetengahkan band Emerged dan Rumpelskin merupakan bahagian yang paling saya suka dalam zine ini. Ini adalah kerana pendekatan interview itu dibuat yang sememangnya agak “santai” akan tetapi pengisiannya agak berat dan padat dengan ilmiah. Memang menarik bila band-band punk bersembang mengenai kes pemerkosaan, penderaan seksual kanak-kanak bawah umur dan cyberbully. Satu lagi bahagian yang saya gemar adalah Diskusi Bebas; menghimpunkan kira-kira 7 buah penulisan bercorak personal writings, ekspresi minda dan point of views. Secara keseluruhannya, Manusiasi ini zine yang amat bagus pengisiannya dan sarat dengan mesej. Layout yang mudah, kemas dan teratur serta saiz font yang enak untuk pembacaan menjadikan zine ini satu pilihan yang baik untuk dimiliki dan ditelaah. Tahniah kepada Amy dan Dfan selaku editor, para penulisnya Kesi, Ieda, Paan dan Emma serta kesemua contributors yang menjayakan Manusiasi #5. Menulis bukan Kriminal!
facebook.com/ManusiasiZine
twitter.com/ManusiasiZine

Tiada ulasan:

Catat Ulasan