Sabtu, 28 April 2018

Rebiu | INQUIRY LAST SCENERY / ESRARR – Circle Of Betrayal


INQUIRY LAST SCENERY / ESRARR – Circle Of Betrayal
GLord Records / Dekaden / Deleted Records
Pertembungan dua genera! – itulah yang saya lihat dan dengar dari rilisan split 7" EP ini. Ia menunjukkan tiada diskriminasi dalam music genres. Kepelbagaian jenis muzik boleh sahaja berada di bawah satu bumbung dan sama-sama mempertegakkan kebebasan berkarya! “Circle Of Betrayal” yang menemukan dua band tempatan ini dikeluarkan secara rasmi pada 15 November 2017. Inquiry Last Scenery dari ibukota Kuala Lumpur memperagakan irama deras dan penuh jeritan-jeritan keras Emoviolence / Screamo menerusi 4 buah lagu yang hampir kesemuanya berdurasi singkat (di bawah 1 minit); Circle Of Life [0:36], Epilog [2:13], Lukisan Tanpa Lakaran [0:53] dan You Have To Stop This Now! [0:31]. Kesemua lirik Inquiry Last Scenery ditulis dalam bahasa Melayu biarpun ada antara judulnya berbahasa Inggeris. Terdiri daripada Hanafi (dram), Kimi (gitar), Fahmir (vokal) dan Mukhriz (bass), muzik mereka begitu ribut dan menghentam, namun ada juga diselitkan elemen stoner/sludge pada lagu Epilog, mungkin untuk disesuaikan dengan konsep bawaan Esrrar yang menjadi rakan dalam split ini. Esrarr yang dibarisi oleh Ahmad Khusairi (bass/vokal), Farouq Azaziz (gitar) dan Syahir Shuhaimi (dram) berpengkalan di Jerantut, Pahang. Mereka menjana nuansa berat dan lembab Stoner / Sludge Metal pada dua lagu yang disumbangkan; Betrayal [1:55] dan High On Herbs [4:41]. Riff-riff yang pekat dan cukup layan kepala, lebih nikmat jika di bawah pengaruh herba keramat, hehe! Inspirasi Black Sabbath sudah tentu menguasai komposisi dan sound Esrarr, di samping nama-nama seperti Weedeater, Buzzoven mahupun Bongzilla. Vinyl ini tampil dengan senilukis yang menarik (oleh Rico Leong) serta percuma poster (saiz A3) dan sticker. Pada saya, ini split yang sangat memuaskan hati dan anda perlu segera dapatkannya! Mutakhir: Inquiry Last Scenery / Esrarr “Circle Of Betrayal” split disediakan pula dalam format cassette tape oleh Terr-Records, terhad 100 unit kaset rilis pada 21 April 2018.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan