Selasa, 9 Ogos 2016

Rebiu | THE BOLLOCKS – Demo 1994 (reissue)


THE BOLLOCKS – Demo 1994 (reissue)
Green Peace Distro
Saya melihat kepentingan rilisan semula Demo 1994 karya The Bollocks ini dari sudut nilai sejarahnya. Saya percaya ramai antara kita hanya mengetahui permulaan karier band punk asal Kuala Pilah ini menerusi keluaran piringhitam 7 inci “My Friend” (Tian An Men 89 Records, 1996) tanpa menyedari ujudnya demotape mereka yang terlebih dahulu diriliskan sekitar tahun 1994. Hakikatnya, Demo 1994 itulah yang mendorong kepada tawaran dan pengeluaran 7" EP tersebut. Kesemua lagu dari demo dimuatkan dalam 7" dengan tambahan lagu Obat. Terima kasih kepada The Bollocks dan label pengeluar Green Peace Distro yang membawa kembali rilisan bersejarah ini ke pasaran hari ini dan seterusnya memberi peluang kepada generasi masakini terutamanya mengenali detik-detik terawal kehuru-haraan punk rock ciptaan The Bollocks dan bagaimana puncanya fenomena Chaos KP. Antara perkara-perkara yang paling menarik tentang reissue demo ini ialah mengekalkan konsep cover asal demo tersebut (dengan penambahan gambar-gambar lama band pada inlay), material audio diberikan proses remastered oleh pihak The Bollocks sendiri (oleh Tom) bagi menyerlahkan kembali kualiti bunyinya agar kedengaran segar sepertimana asal ia dikeluarkan dan paling tidak diduga ianya diedarkan pada harga hanya RM5, satu kadar harga yang seakan tidak masuk akal berbanding peningkatan berlipat ganda kos hidup hari ini. Rilisan ini sesuatu yang tidak patut dilepaskan oleh semua penyokong muzik underground tempatan kerana saya percaya ia tidak akan lagi berulang dan ini (mungkin) satu-satunya peluang terakhir anda untuk memperolehi rilisan yang menoleh kembali keujudan The Bollocks kira-kira 22 tahun yang lalu.
facebook.com/The-Bollocks-110977015614434
facebook.com/Green-Peace-Distro-828902057131372

Tiada ulasan:

Catat Ulasan