Selasa, 15 Januari 2019

Liputan Gig | WEEK WITHOUT VIOLENCE #13


Acara: Week Without Violence #13
Tarikh: 28 September 2018
Tempat: Rumah Api, Kuala Lumpur
Band: Sweetass, Xyresic (Singapura), SS/Block, Gassed, Split Tongue, Generacion Suicida (USA)

SWEETASS
Band asal dari kotaraya Kuala Lumpur ini membuat persembahan pada ketika acara sebenar Week Without Violence #13 belum dimulakan secara rasmi. Kalau diikutkan jadual yang tercatat pada flyer, gig sepatutnya bermula pada jam 8:00 malam. Sebaliknya mungkin untuk menunggu kedatangan lebih ramai audien, pihak penganjur menangguhkan sedikit masa memulakannya. Di waktu yang sama kemungkinan juga Sweetass menghadapi halangan untuk menunggu lebih lama, lantaran itu mendorong mereka membuat persembahan lebih awal, sekitar jam 9:00 malam. Tak ramai yang menyaksikan Sweetass beraksi namun mereka tetap memberikan yang terbaik. Dibarisi Alang Sekitar (gitar/vokal), Zaki Ibrahim (gitar), Azlan Ariff (bass) dan James Rivers (dram), muzik Sweetass bolehlah dianggap hasil percampuran Grunge, Noise Rock dan juga Hardcore Punk. Mereka menamatkan persembahan dengan lagu Wa Caya Lu, salah-satu lagu yang mengangkat nama Sweetass dalam scene.

XYRESIC
Ini dikatakan “debut show” dari mereka. Tidak pasti samada maksudnya permainan live pertama band ini semenjak ditubuhkan, atau kemunculan julung kali mereka di bumi Malaysia untuk sebuah band yang berasal dari Singapura ini. Xyresic membuka acara sebenar Week Without Violence #13 sekitar jam 10:00 malam. Band ini dianggotai empat ahli pemuzik, termasuk pemain bass wanita. Dibarisi oleh S (vokal), I (gitar), A (bass) dan Y (dram), Xyresic mengenakan topeng serkup (balaclava) di sepanjang persembahan mereka. Muzik raw hard-core / spanish punk yang agak padat serta ekspresi dari vokalis juga begitu menarik. Xyresic juga baru sahaja mengeluarkan Demo 2018 mengandungi 4 lagu; Privilegios, Muerte, Abuso Racial, dan Nada.

SS/BLOCK
Pentas Rumah Api seterusnya diambilalih 4-piece bergelar SS/Block, sebuah band beraliran UK82 / Pogo Punk dari Mentakab, Pahang. Dianggotai oleh Azman (vokal), Dean (bass), Yoi (gitar) dan Pixs (dram), sebahagian dari ahli band SS/Block ini adalah tulangbelakang kepada Secret Records, label yang menganjurkan gig Week Without Violence #13 ini serta pihak yang bertanggungjawab mengendalikan jelajah Generacion Suicida di Malaysia. Pada ketika ini jumlah kehadiran penonton dilihat semakin ramai dan penonton mula berada di depan pentas untuk menyaksikan persembahan band lebih dekat. Satu persembahan yang mantap dari SS/Block dan mereka melancarkan rilisan baru “Raw Promo Tape” mengandungi dua lagu; Anti-77 Fascist Society dan Mob Violence, dirakam di studio I Seek Music pada 16 Ogos 2018, dikeluarkan oleh Secret Records.

GASSED
Band anak-anak muda ini memangnya tidak menghampakan, malahan aksi mereka begitu bertenaga. Tak silap mereka ini dari Shah Alam dan ada di antara anggotanya turut bermain bersama band Final Peace. Gassed membawakan raw hardcore / punk yang bingit dan padu, pekat dan penuh dengan amarah! Dianggotai individu-individu bernama Khairi, Haziq, Adnin dan Najeeb, Gassed memenuhkan ruang dengan nuansa bunyi yang cukup padat. Band ini turut melancarkan rilisan Demo 2018, dimuatkan 5 lagu; 1. Abused [1:14] / 2. May 13th (Bloodbath) [1:09] / 3. MO1 (Corruption) [1:25] / 4. New Government, Same Shit [1:01] / 5. Punk Police [1:24].

SPLIT TONGUE
Gamat! Aksi-aksi lasak dan lincah Pdoih serta rakan-rakannya dalam Split Tongue adalah sesuatu yang rugi kalau dilepaskan. Liar, kencang dan garang! Selain Pdoih selaku vokalis, Split Tongue dari Shah Alam ini dianggotai Gaga (gitar), At (bass) dan Lem (dram). Muzik band ini berpaksikan hardcore punk yang disuntik elemen oi!. Dalam kerancakan irama mainan mereka, para penonton turut memberikan aksi balas, saling tolak-menolak dan berhibur dengan setiap lagu yang dimainkan. Split Tongue juga turut mengambil kesempatan mengeluarkan rilisan EP 2018, memuatkan 5 lagu; 1. Killed / 2. Interest Of The Rich / 3. Fight For Your Cause / 4. Backstab / 5. Stupid World, terhad 200 salinan kaset sahaja!

GENERACION SUICIDA
Band melodic KBD-style punk dari Los Angeles ini merupakan headline dalam Week Without Violence #13, band yang diraikan sempena siri jelajah S.E.A Tour ‘18 mereka di mana Rumah Api, Kuala Lumpur adalah salah-satu daripada destinasi jelajah mereka. Persembahan Generacion Suicida yang dibarisi Tony (gitar/vokal), Kiwi (dram/vokal), Mario (gitar) dan Elias (bass) sememangnya dinantikan ramai pada malam tersebut. Bangkit! Fanzine turut menerbitkan edisi eksklusif Bangkit!: Generacion Suicida in Malaysia sempena kedatangan mereka ke sini. Muzik mereka rancak, sempoi dan menghiburkan. Ramai yang terpegun dengan cara permainan dan kejelitaan gadis pemain dram band ini, hahaha! Menurut perkiraan, sejumlah 22 buah lagu telah dipersembahkan oleh Generacion Suicida, dan apabila penonton mula menjeritkan “we want more.. we want more!”, mereka memenuhi permintaan dengan dua buah lagu lagi bagi mengakhiri persembahan Generacion Suicida di Rumah Api, Kuala Lumpur. Secret Records turut mengeluarkan cassette-tape “Reflejos” dari band berkenaan, mengandungi 11 buah lagu punk yang sedap-sedap belaka!

Laporan oleh: Pyan Nathias – 3 Oktober 2018
Nota: sepertimana tersiar dalam BANGKIT #10

Tiada ulasan:

Catat Ulasan