Rabu, 7 Disember 2016

Rebiu | ATOMICDEATH / BLOODSTONE – Hellish Nuclear Destruction


ATOMICDEATH / BLOODSTONE – Hellish Nuclear Destruction
Blood Of War Records
Dua tahun selepas cassette EP “Missile Massacre”, Atomicdeath kembali dengan lagu-lagu ciptaan baru dalam rilisan format split CD bersama band Singapura, Bloodstone. Split berjudul “Hellish Nuclear Destruction” tersebut dikeluarkan sekitar Mei 2011 oleh label tempatan, Blood Of War Records [BOW004]. Atomicdeath yang berpengkalan di Shah Alam mempertaruhkan 5 buah lagu yang dilihat kian membuktikan kemahuan dan kemampuan mereka untuk tampil dengan muzik segar percampuran Thrash Metal dan Crust Punk, malah mereka lakukannya jauh lebih baik dari apa yang telah mereka salurkan dalam EP terdahulu. Teriakan vokal berjemaah pada beberapa lagu, hentakan padu pada dram, kocokan-kocokan gitar yang benar-benar thrashing serta bahagian solo gitar yang tidaklah keterlaluan cukup nikmat didengari dan sudah pasti mengajak kepala turut sama berhenjut mengikut tempo irama mereka. 5 lagu yang cukup baik dari Atomicdeath, ditambah pula kualiti bunyi yang cemerlang; padat dan bertenaga. Bayangkan pertembungan Sacrilege (UK) dan Slayer (US) maka di situ anda temui Atomicdeath. Lima buah lagu berikutnya adalah dari Bloodstone, sebuah band lama yang dibentuk sekitar 2004. Muzik Thrash buatan band dari Kota Singa ini kedengaran lebih teknikal pada masa yang sama mengekalkan aura Thrash Metal klasik / tradisional. Mereka memiliki kelajuan, agresif dalam riffing-riffing serta shredding gitar serta olahan / susunan lagu yang mencabar. Band seperti Nuclear Assault dan Exodus mungkin boleh beri sedikit gambaran tentang apa yang dimainkan oleh Bloodstone namun saya kira mereka turut menyuntik elemen sedikit kelam dan kotor, seperti (era awal) Celtic Frost. Secara keseluruhan, saya simpulkan split CD berdurasi keseluruhan 35:55 minit ini satu produk yang perlu ada dalam koleksi Thrash/Punk anda! Hebat!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan