Rabu, 14 Disember 2016

Rebiu | LIBERAL LIBERALIS – self-titled


LIBERAL LIBERALIS – self-titled
Nervhous Records / Green Peace Distro
Kocokan-kocokan ritma melodik serta petikan-petikan solo gitar menggigit begitu mendominasi keseluruhan nuansa heavy hardcore / metalpunk bikinan Liberal Liberalis, band yang berpengkalan di bandaraya Kuching, Sarawak. Ianya (elemen melodik) kedengaran cukup jelas dan menonjol menerusi 6 buah lagu yang dimuatkan dalam “s/t” tape keluaran bersama label berpengaruh Nervhous Records dan Green Peace Distro. Muzik band ini terbina dari barisan pemuzik yang berkemahiran tinggi terutamanya pemain-pemain gitar mereka. Liberal Liberalis sedikit sebanyak mengingatkan saya kepada kumpulan Armados dari Lahad Datu, Sabah di mana saya berpendapat kedua-dua band ini memiliki konsep muzikal yang boleh dikatakan serupa; iaitu mementingkan struktur melodik dalam irama hardcore/punk bawaan mereka. Lirik-lirik yang dinyanyikan Liberal Liberalis begitu menjurus kepada tema politikal semasa dalam negara; mengenai kepimpinan Najib, penyalahgunaan kuasa, korupsi, penindasan serta laungan suara mereka yang mahukan kebebasan dan keadilan. Untuk makluman, Liberal Liberalis telah ditubuhkan sekitar tahun 2011 dan dianggotai oleh Colt (bass/vokal), Hassan (gitar utama), Bolton Zymeth (gitar kedua) dan Ddek (dram). Tape ini dilancarkan pengeluaran dan pengedarannya pada 8 Oktober 2016, sewaktu berlangsungnya Kuala Lumpur: Zine Festival x Indie Comics x Distro Day Out. Tape ini menyeronokkan dan menghiburkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan