Ahad, 14 Mei 2017

Interbiu | VAULT : 28.04.2017


Dalam proses penyediaan “special Thrash issue” ini, aku ada menghubungi Fizan yang merupakan vokalis band VAULT menerusi aplikasi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS). Tujuan asalnya hendak mendapatkan sedikit maklumat mengenai status dan perkembangan terkini band tersebut untuk ditulis dalam ruangan buletin, akan tetapi perbualan kami menjadi sedikit panjang dan mengandungi pelbagai info menarik. Jadi, tidak salah rasanya aku kongsikan "sembang" di antara kami di sini, untuk korang ketahui sedikit sebanyak tentang VAULT…

Assalamualaikum Fizan. Minta maaf banyak. Hampir terlupa nak contact semula. Demam pun dah ok sikit ni. Fizan… sebenarnya aku contact ni nak dapatkan latest info / news band Vault untuk tulis di news section zine yang sedang aku bikin sekarang ni, hehe!
Waalaikumsalam brader.. haha, takpa. Alhamdulillah dah sihat brader.. boleh je nak dapatkan info pasal Vault. Tak ada masalah.. untuk zine Bangkit! kan?

Yup… Fizan mesti tau sebab baru ni interview Antacid, huhu! 
Yup. Thanks di atas interview tu brader. Aku amat hargainya and thanks for the support.. untuk pengetahuan brader, Vault dalam proses untuk merakamkan album penuh. Jika tiada masalah, insyaAllah kami akan riliskan dalam tahun ni.

Tu debut album kan? Yang sebelum ni “War Fucking War” (2013) kompilasi demo kan?
Yup, first full-length album. “War Fucking War” is actually bukan kompilasi bro.. itu 2 track lagu yang tak pernah rilis dan diriliskan + bonus dari 2 demo.

Oh ya betul.... ada 2 lagu unreleased yang tak silap untuk 7" tak jadi.. aku pernah tulis tentang “War Fucking War” dalam blog Ekstrim.
Lagu tu kami record untuk split tapi tak lepas untuk masuk dalam 7" EP coz terlebih minit.

Fizan… cerita lanjut lagi tentang full album Vault tu.
InsyaAllah kami akan mempertaruhkan 10 buah lagu untuk full-length Vault. Muzik Vault tetap seperti dahulu. Heavy Speed Metal dengan pengaruh muzik Punk 80’an. Ini adalah acuan muzik Vault dari dahulu. Lirik banyak mengisahkan tentang war, death dan destruction. Untuk album ini agak special kerana line-up Vault zaman “Raging Force” demo telah kembali. So, nantikan!

Wow! Ini macam bagus lah! 
Hehe! ini macam bro.. muzik Vault memang kuat dengan pengaruh punk dan speed metal.

Best… aku ada beberapa tape Vault… “War Fucking War” tu… “Raging Force” demo (2007) pun ada rasanya, kena cari balik.
“Raging Force” agak kuat pengaruh punk 80’an ditambah sedikit acuan dan kelajuan muzik thrash dan speed metal.. d-beat forever!

Fizan… bukan “Raging Force” yang aku ada… tapi tape “Fuck Off and Die!!!”. Hehe!
Hahaha! “Raging Force” dan “Fuck Off and Die!!!” demo tu agak special bagi aku bro.. “Raging Force” demo diriliskan oleh label dari Netherlands (Final Punishment Records) dan “Fuck Off and Die!!!” demo oleh label Germany (Dying Victims Productions).

Untuk demo “Fuck Off and Die!!!” (2009) tu muzik / pengaruh dia camne lak?
Actually lagu kat “Fuck Off and Die!!!” tu dah lama buat masa dengan line-up lama. Cuma masa recording tu guna khidmat line-up Reaper. Masa tu line-up lama agak busy dengan Antacid. Tu sebab ada kelainan sikit pada muzik dan cara permainan dram. Muzik masih kekal dengan acuan dulu cuma agak thrashing sikit dengan pengaruh muzik dari band Whiplash dan Tankard.

Tak sabar nak tunggu full-length Vault tu.. insyaAllah satu hari nanti nak interview eksklusif Vault lak. Hehe!
Hehehe! InsyaAllah bro.. lagu dah ready semua cuma pergerakan untuk recording agak terbatas sikit. Masing-masing agak busy dengan kerjaya harian.

Takpe.. pelahan-pelahan... yang penting release padu!
Yup, betul tu.. to be honest Vault dari dulu masih mengekalkan undergroud metal spirit hehe.. keep the spirit of undergroud metal music alive!

Fizan VAULT – kini juga vokalis Antacid

Jumaat, 12 Mei 2017

Rebiu | PUAKERYSM – Deprived of Tranquillity


PUAKERYSM – Deprived of Tranquillity
D’Anger Records / Rawk One Army
Unit Thrash bergelar Puakerysm yang berpengkalan di Rawang, Selangor ini kembali dengan rilisan EP kedua, menyusul lebih kurang 4 tahun selepas “Conspiracy of Madness” EP 2013. EP dalam format Pro-CDR berjudul “Deprived of Tranquillity” ini dilancarkan keluaran dan edarannya semasa acara Hammer ov Thrash bertarikh 29 April 2017. “Deprived of Tranquillity” mempertaruhkan 5 buah lagu ciptaan terkini Puakerysm serta tambahan sebuah lagu dari EP 2013 yang telah melalui proses remastered. Semua lagu-lagu baru dirakam serta diadun di D’Anger Studio dan Sound Avenue Studio sekitar Disember 2015 hingga Mac 2016. Secara muzikal, Puakerysm mengadunkan pelbagai subgenre Thrash bagi membentuk muzik mereka. Maksudnya, mereka tidak terikat dengan mana-mana aliran. Semuanya ada di situ samada American Thrash, Teutonic, Brazilian, Crossover malah NWOBHM digarap dengan baik dalam komposisi lagu-lagu band ini. Apa yang jelas, Puakerysm didapati semakin Thrash menerusi "Deprived of Tranquillity". EP kali ini kaya dengan variasi riff dan melodi lagu serta jauh lebih baik susunan muziknya. Kedengaran sangat kental sifat thrashnya. Kalau EP pertama dulu mungkin Puakerysm masih tercari dan agak bereksperimentasi, untuk yang kedua ini mereka kian menghampiri identiti Thrash yang mereka mahukan... Thrash Metal cara Puakerysm. Meskipun saya secara peribadi lebih selesa dengan lenggok vokal dalam EP 2013, Zan dilihat mencuba tona dan pendekatan suara yang berbeza kali ini, kekadang kedengaran sedikit meleret namun yang bagusnya dari satu perspektif ianya menerbitkan sifat unik dalam keseluruhan lagu-lagu Puakerysm, tidak hanya tertakluk kepada gaya vokal tipikal untuk muzik Thrash. Saya menyimpulkan EP ini sebuah rilisan yang kian menampakkan progresi Puakerysm dalam pengkaryaan mereka. Semua lagu boleh tahan menarik dan sedap dilayan. Track pilihan saya: Unavoidable dan Deprived of Tranquillity. Ayuh segera dapatkan CD berdurasi keseluruhan 21:47 minit ini dan rasai hangatnya bahang Thrash Metal dari komuniti Rawk One Army! Thrash Till Die!!!
facebook.com/puakerysm.army

Rabu, 10 Mei 2017

Rebiu | KREACION – Dying World


KREACION – Dying World
Independen
Ketika kebanyakan band-band Thrash tempatan mahu kembali kepada nuansa “old-school” dalam olahan muzik dan sound mereka, band Kreacion yang baru sahaja mengeluarkan rilisan pertama mereka “Dying World” EP 2017 mengambil langkah berani menerapkan nilai-nilai “modern” dalam muzik Thrash Metal binaan mereka. Malah band ini lebih selesa menggelar muzik mereka sebagai New Wave of Thrash Metal. Kreacion mungkin agak asing pada kebanyakan di kalangan kita. Saya sendiri sekadar mendengar nama mereka sahaja sekitar setahun dua ini di mana nama / logo Kreacion kerap tertera pada flyer-flyer gig tempatan. Biarpun boleh dikatakan masih baru, Kreacion bukan calang-calang keujudannya. Bakat mereka umpama pisau yang diasah semakin tajam dan EP “Dying World” itu sendiri begitu bagus produksinya. Ia permulaan yang baik dari Kreacion. EP ini kandungannya 4 buah lagu (berdurasi keseluruhan lebih 16 minit) yang begitu memberangsangkan, cukup garang dan mengalir kencang. Lagu pertama, The Path adalah sebuah intro yang mengasyikkan. Lagu seterusnya Our Awakening dan Dying World tanpa belas meledakkan irama Thrash Metal yang begitu padu, berat, lasak, disuntik pelbagai citarasa yang ke hadapan; rembatan-rembatan riff gitar penuh teknikal, groove-groove progresif, solo-solo memukau, hentakan-hentakan bass dan dram yang cukup jelas menghentam. Band-band American Thrash seperti Megadeth, Death Angel dan juga Havok sebagai contoh agak mempengaruhi struktur asas muzik Kreacion. Lagu terakhir, War of Dissidense masih sebuah lagu yang hebat cuma kedengaran sedikit berlainan, seakan ada elemen Trivium di dalamnya. Difahamkan ini lagu lama (lagu ciptaan pertama) semasa menggunakan nama Godslave yang kemudiannya digubah semula untuk disesuaikan dengan identiti Kreacion. Selain daripada permainan yang kemas dan ketat, satu lagi kelebihan yang ada dalam EP ini adalah pada produksi bunyinya yang sungguh menakjubkan. Bunyi yang terhasil cukup jelas, bersih dan padat. Untuk makluman, EP ini telah dirakam dan melalui proses mastering di Sound X Studio, Kajang. Ternyata dan telah terbukti bahawa kehadiran Kreacion memberi nafas baru kepada industri kecil Thrash Metal tempatan, mungkin satu-satunya pilihan untuk kita menghirup udara segar irama Thrash (dalam konteks scene tempatan) buat masa ini. Saya sarankan anda segera dapatkan CD “Dying World” EP ini kerana ianya sebuah rilisan yang memang terbaik kualitinya dari sebuah band muda yang berpotensi cukup besar. Hail Angkatan Besi Bersekutu.
facebook.com/kreacionband

Selasa, 9 Mei 2017

Rebiu | VERMINATOR – Fatal Devastation


VERMINATOR – Fatal Devastation
Independen
Akhirnya, saya temui jawaban terbaik dari Malaysia untuk Sodom / Kreator. Verminator telah mentakrifkan Teutonic Thrash Metal dengan cara yang betul. “Fatal Devastation” adalah karya sulung dari Verminator, band asal Kuala Terengganu yang diterajui Yoe Firestorm (gitar/vokal), Jim Reinigen (bass/vokal) dan Neoroth (dram). Datangnya CD berdurasi keseluruhan 36:38 minit ini seperti tanpa amaran. Verminator tiada demo atau keluaran EP sebagai pengenalan diri. Mereka terus kepada rilisan album dicetak profesional di mana ini menunjukkan Verminator percaya dengan kemampuan mereka, serius dengan apa yang mereka lakukan dan berada pada tahap konfidensi yang tinggi. “Fatal Devastation” menyenaraikan sejumlah 8 buah lagu, termasuk sebuah intro dan instrumental. Kalian pendengar mungkin tidak disajikan dengan ketulenan muzik di sini akan tetapi jika inginkan garapan terbaik dan benar-benar menepati kriteria thrash teutonik sepertimana Sodom dan Kreator, malah Destruction juga maka kualiti itu dipersembahkan dengan jayanya dan sangat berkesan oleh Verminator.  Komposisi lagu olahan band ini cukup memberangsangkan dan terus-menerus meransang pendengar untuk headbanging tanpa henti seiring agresi lagu-lagu ciptaan mereka. Kejituan produksi album ini ditambah pula dengan kualiti bunyi yang amat membanggakan. Aura ‘old-school’ begitu menguasai suasana dalam “Fatal Devastation”. Ianya seperti menikmati sebuah album Thrash dari Jerman yang dikeluarkan pada era 80an / awal 90an. Tabik hormat buat seluruh anggota Verminator dan tenaga kerja di sebalik tabir pembikinan album ini yang membangkitkan semangat lama Thrash Metal dengan begitu hebat sekali. Seperkara lagi, samada anda mahu percaya atau tidak, seorang pemain dram (untuk band seperti Dysgusted, Suffer Remain dan Nosferiel) dengan berani dan penuh yakin beranjak ke hadapan menggalas gitar dan melontarkan suara. Tahniah Yoe Firestorm, anda melakukannya dengan baik dan efektif. Thrash and Burn!
facebook.com/VerminatorThrash

Rebiu | SARJAN HASSAN - Demo 2005 (Reissue 2015)


SARJAN HASSAN - Demo 2005 (Reissue 2015)
Basement Records
Demo 2005 dari Sarjan Hassan ini versi asalnya keluaran 321…Go! Distro dan End Up Records manakala yang saya miliki untuk diulas ini adalah rilisan semula oleh Basement Records pada sekitar 2015. Saya percaya demo ini cukup penting dan besar maknanya kepada Sarjan Hassan. Ini material rasmi pertama dari band yang didokongi Man Beranak (vokal), Mr.Chaos (gitar), Waqs (bass) dan Manusia Mesin (dram), mukadimah keujudan mereka dalam scene Crossover / Thrashcore tempatan. Demo ini mengandungi 8 buah lagu keseluruhan durasinya dalam lingkungan 9 minit 30 saat. Beberapa lagu diiringi intro dan outro berupa sampel dialog dipetik dari filem patriotik “Sarjan Hassan” (arahan / lakonan lagenda P.Ramlee) namun ia tidak membawa maksud Sarjan Hassan itu sendiri sebuah band nasionalis. Secara muzikal, Sarjan Hassan dalam demo ini menyajikan jenis muzik yang cukup pantas mainannya, berdesup lajunya, begitu juga penyampaian vokal yang berkelajuan tinggi. Mereka menyalurkan irama Fast Hardcore Thrash yang begitu energetik, pada masa yang sama inovatif dalam aspek struktur riff dan susunan muzik. Segar dan kuat dos-dos Thrashcore di dalamnya. Vokal menjerit dan meneriak lantang menyampaikan lirik-lirik yang mesejnya cukup “punk”, merangkumi kritikan politikal dan sindiran sosial. Sarjan Hassan pasti akan menarik anda untuk mosh bersama lagu-lagu mereka. We Will Thrash You!!
facebook.com/sarjan-hassan-357049958740
facebook.com/basementrekordz

Rebiu | TORMENTOR – Blasting Torment


TORMENTOR – Blasting Torment
Hellförced Records
Tormentor kembali berkarya dan buahtangan terbaharu mereka adalah sebuah rilisan EP dalam format pro-tape berjudul “Blasting Torment”. Saya tanpa ragu-ragu mempertimbangkan rilisan EP bermuatan 4 buah lagu ini satu susulan terbaik dari Tomentor terhadap demo terdahulu, “Thrash Assault” (2013). Tormentor yang kini bergerak secara 3-piece [hanya dibarisi oleh JayJay (bass/vokal), Unyil (gitar) dan Alen (dram)] tampak lebih dewasa menerusi EP 2017 “Blasting Torment” dan kian menghampiri halatuju serta identiti muzik Thrash Metal yang mereka kehendaki. Rakaman untuk EP 2017 ini berlangsung pada dua tarikh berbeza; Kelibat Bangsat (track no.1) dan Human Moron (track no.4) pada 9 Mac 2015 manakala Blasting Torment (track no.2) dan Hybrid Children (track no.3) pada 6 Februari 2016. Semua rakaman dan mastering dilakukan di BMT Studio, Penampang. Memang ada sedikit kelainan dari segi produksi bunyi dalam lagu-lagu yang dirakam pada fasa yang berasingan namun itu tidaklah memberi impak yang besar kepada kualiti menyeluruh EP ini. Secara rangkuman, 4 buah lagu ciptaan terbaharu Tormentor dalam “Blasting Torment” dimainkan begitu rancak, mengalir kencang dan penuh dengan keghairahan. Sesetengah bahagian diselitkan sedikit elemen melodik bagi mencetuskan variasi dalam komposisi lagu-lagu mereka. Anak-anak muda dari Tenom, Sabah ini amat berkuasa, bertenaga dan cukup merbahaya!. Lagu Hybrid Children paling menang, yang paling gila dan paling ribut. Saya anggap ia killer song dalam EP ini. Percubaan menggunakan bahasa ibunda dalam Kelibat Bangsat masih boleh dipuji namun saya kira vokal JayJay lebih cocok, lebih “jahat” dalam lagu-lagu berbahasa Inggeris. Kesimpulan saya untuk keseluruhan “Blasting Torment” berdurasi 18:01 minit ini, ianya adalah Thrash Metal sekolah-lama, diolah dengan niat untuk mendera menyeksa tengkuk leher anda.. tanpa henti, tanpa simpati!! Ini amat disyorkan!

Isnin, 8 Mei 2017

Rebiu | EXOTHERMIX – Extreme Disaster


EXOTHERMIX – Extreme Disaster
Independen
Petaling Jaya menawarkan sebuah lagi penjana Thrash Metal berpotensi. Di situ lahirnya kumpulan Exothermix hasil gabungan tenaga 3 anak muda berbakat besar; Yazzif Black (gitar/vokal), Wai (bass) dan Angah Nukehammer (dram) [Nota: line-up sewaktu rakaman Demo 2014 ini]. Kedatangan mereka bertiga dengan taruhan demo pertama “Extreme Disaster” bukan sekadar ingin memeriahkan suasana yang sediada, tetapi bersama misi memperkasakan irama Thrash Metal tulen juga visi mengangkat scene Thrash Metal Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi dan dihormati. Demo pertama berjudul “Extreme Disaster” telah dikeluarkan secara rasmi dilancarkan pada 17 Mei 2014 sempena penglibatan Exothermix dalam gig Budak Jahat II di Pennylane Studio, Sunway Mentari. Demo bermuatan 5 buah lagu ini dirakam di D’Chorus Studio, Shah Alam pada 6 Mei 2014 di bawah kendalian jurutera bunyi Sunny Razak. Kesemua lagu adalah ciptaan bersama ahli-ahli Exothermix sendiri manakala lirik pula ditulis oleh Yazzif Black. Angah Nukehammer juga menyalurkan kreativitinya menghasilkan kulit demo dengan grafik dan susunatur yang nampak menarik. Berikut adalah senarai lagu yang terkandung dalam Demo 1.0: 1. Extreme Disaster / 2. Total Death / 3. Thrash Mentality / 4. Infinite Brutality / 5. Kemusnahan (bonus track). Durasi keseluruhan 23:26 minit. Hasil pendengaran kesemua 5 buah lagu dari demo ini, saya berpendapat inilah rupa sebenar Thrash Metal sejati, tanpa putar-belit, tanpa teknikal keterlaluan. Agresi yang terus ke muka, menerobos telinga dan menghentam dada. Kualiti underground tidak memerlukan tingginya profesionalisma dalam kemahiran mengendali instrumen mahupun komposisi lagu, tetapi kejujuran yang menjadi roh sebenar sesebuah produk underground, semangat dan kesungguhan yang dijiwai serta cinta kepada apa yang dilakukan. Lirik kesemua lagu dalam demo ini turut dicetak di kulit dalam dengan harapan agar pendengar memahami lebih jelas akan mesej-mesej yang mahu disampaikan Exothermix. Smashing and Slashing!!! Thrashing and Banging!!! [Nota: rebiu ini suntingan dari ulasan / artikel yang asalnya saya tulis dalam blog EKSTRIM]
facebook.com/exothermixthrash

Rebiu | HEREAFTER – Insignia


HEREAFTER – Insignia
Witchhunter Productions / Evil Dead Production / Bullwhip Records
Hereafter kembali dengan mahakarya terbaharu, album penuh keempat yang dihasilkan lebihkurang 5 tahun selepas full-length terdahulu “Endcient” (2012). Album CD berjudul “Insignia” ini memuatkan 8 buah lagu, termasuk sebuah saduran iaitu Future World (lagu asal Helloween) di mana durasi keseluruhan menjangkau 31:44 minit. “Insignia” bermula dengan sebuah intro 2:04 minit – Time Continuum, sebuah track instrumental yang pantas, diwarnai solo-solo gitar menyengat dan membunuh. Entah mengapa fikiran saya melayang kepada guitar shredder Marty Friedman. Lagu-lagu seterusnya iaitu Command Centre, Trilateral Insignia, No Return From A Life, Cosmic Confusion dan The Signs Of The End adalah bukti bahawa Hereafter bukan sembarangan, mereka cukup luarbiasa dalam aspek penggubahan lagu, olahan dan susunan muzik. Kerja-kerja gitar oleh Nor Redza Rosli memang terbaik, matang dan berkemahiran tinggi. Riff-riff gitar begitu kreatif dan penuh variasi idea serta cukup teknikal dan kompleks binaannya. Intensiti lagu-lagu menjadi lebih likat dan padat dengan sokongan bassline yang menyerlah mainan Nur Haidir Nawawi dan padunya hentaman dram yang dipalu Tajul Iskandar. Dalam album ini, Hereafter juga menawarkan kelainan pada lagu Shit To The Max yang mana berbau Punk Rock dan ianya cukup bagus dalam mencetuskan kepelbagaian dalam “Insignia” malah lagu terakhir Future World pasti mengejutkan ramai pendengar dengan kemampuan pemain bass (Haidir) melontarkan vokal nyaring. Semenjak awal lagi Hereafter setia dengan konsep lirik bertemakan futuristik dan sci-fi. Ianya telah menjadi trademark Hereafter dan meletakkan mereka pada kelasnya yang tersendiri dalam scene Thrash Metal tempatan. Saya secara peribadi dari dahulu lagi menganggap Hereafter adalah jawaban Malaysia kepada Megadeth. Tanggapan saya ini tidak tersasar rasanya kerana band milik Dave Mustaine itu sememangnya salah-satu pengaruh utama dalam pembikinan muzik Hereafter selain nama-nama seperti Annihilator, Sodom, Death Angel, Sodom dan sebagainya. Keseluruhannya, “Insignia” sebuah album yang benar-benar berkualiti dari semua sudut dan amat-amat disarankan untuk dimiliki.
facebook.com/hereaftermetal
facebook.com/witchhunterthailand
facebook.com/evildeadproductions
bullwhiprecs.blogspot.com

Rebiu | ANTACID – Force of Thunder


ANTACID – Force of Thunder
Virus Rekordz
We are back to spread some fuckin' thrash! – sebaris kata yang tercatat pada inlay CD ini cukup jelas menyampaikan maksud Antacid telah kembali setelah lama berehat. Rilisan terakhir band asal Kajang, Selangor ini berupa split CD “Metal Chaos Across the World” (bersama Hatred dari Colombia) sekitar 2009. EP bermuatan 4 lagu ini telah membawa Antacid jauh ke Osaka, Jepun dan baru-baru ini di negara tetangga, Thailand. “Force of Thunder” yang keseluruhannya berdurasi 24:45 minit menghidangkan 3 lagu ciptaan baru dan 1 lagu (bonus) lama Living in Disorder (dari demo pertama, 2003) yang di-mastering semula. Antacid cukup jelas jauh lebih matang dalam EP ini, sejajar dengan kian dewasanya ilmu dan pengalaman mereka dalam membikin dan mempersembahkan muzik Thrash Metal. Kaliber Antacid dalam Thrash telah lama terbukti. Karya-karya mutakhir dalam EP ini kedengaran lebih berat, guitarwork dan solo-solo begitu menyengat, hentakan-hentakan padu ditambah pula nuansa bunyi yang cukup terasa aura old-school Thrash dulu-dulu. Menarik juga, vokal dalam bonus Living in Disorder dibawa oleh Rex Killer, gitaris utama Antacid. Ia mengimbau kembali sejarah di mana mereka bermula. Vokal dalam tiga lagu pertama; Nuclear Inversion, No Turning Back dan Force of Thunder digalas oleh Fizan (Vault) yang menggantikan penyanyi asal, Sen a.k.a Nightcrawler. Sekiranya kalian pentaksub irama Thrash Metal klasik, karya-karya terbaharu yang mengimbau semula kegemilangan Thrash 80an.. inilah “Force of Thunder”… habuan dan makanan untuk anda!

BANGKIT! #4.5 dalam pembikinan!!


Apa khabar kawan-kawan? Untuk makluman korang, buat masa ni Bangkit! Fanzine dalam persiapan isu #4.5. Ini sebuah lagi Keluaran Khas – THRASH METAL BUATAN MALAYSIA atau dipanggil EDISI THRASH.MY. Isu ni takde kena-mengena dengan kedatangan Megadeth baru-baru ni atau apa-apa gig atau perayaan, haha.. benda ni tak plan, tapi aku terasa nak buat memandangkan ada beberapa band thrash tempatan yang rilis cd dan tape baru kebelakangan ni. Bangkit! Fanzine bukanlah tidak pernah atau mengasingkan muzik thrash dari skop pengisiannya. Sebelum ni, isu ke-3 menampilkan eksklusif band Atomicdeath. Thrash Metal itu sendiri bagi aku berkait rapat dan ada susur galur pertaliannya dengan Hardcore/Punk yang menjadi teras pengisian zine ini. Ok, mengenai Bangkit! #4.5 nanti akan ditampilkan ANTACID, HEREAFTER, VERMINATOR, TORMENTOR, SARJAN HASSAN, EXOTHERMIX, MILITANT ATTACK, MIE FTG (hok ni best wa cakap lu), VAULT, CENTRAL DISPOSAL, KREACION dan macam-macam lagi lah. Malas cakap banyak, aku pun tak hebahkan pasal pembikinan isu “keluaran khas” ni. Konon nak surprise lah, haha! Korang tunggu jer, target rilis pertengahan / hujung Mei 2017. Tengah kerja keras ni. Kbai.

Nota: Imej frontcover yang didedahkan di atas hanyalah sekadar draf dan tertakluk kepada sebarang perubahan.