Rabu, 21 Februari 2018

Rebiu | AYAM HITAM – No Mix No Master (Against All Authority)


AYAM HITAM – No Mix No Master (Against All Authority)
Independen
Susulan kepada tiga Demo-EP sepanjang tahun 2016; “Bunyi Jujur”, “Koboi, Babi, Pinokio & Kanak2” dan “Last Attack”, band Ayam Hitam kembali dengan karya terbaharu yang diriliskan pada 7 Jun 2017 iaitu “No Mix No Master (Against All Authority)” Demo 2017. Band yang pernah saya labelkan sebagai punk sasau dalam sebuah interbiu satu ketika dahulu (dalam Bangkit! #2.5) kini dilihat lebih baik dalam aspek komposisi lagu, kualiti bunyi rakaman malah pakej demo cd-r ini agak menarik di mana booklet/zine lirik 16-mukasurat turut disertakan. Demo 2017 berdurasi keseluruhan 36:14 minit ini mempertaruhkan sejumlah 13 buah lagu, antaranya Selamatkah Kita?, Fasis Yang Mulia, Anti Perang, Jagatraya dan Nuklear di samping turut memuatkan 2 lagu ‘remake’ iaitu Lawan dan Protes Rakyat yang mana gubahan asal pernah ditampilkan dalam rilisan-rilisan terdahulu. Genre mainan Ayam Hitam sebenarnya sukar untuk dikonklusikan. Mereka setia dengan pendekatan raw dan minimalist dalam gubahan serta rakaman lagu-lagu mereka. Kalian boleh sahaja meletakkan mereka di bawah jalur anarcho / political punk merujuk kepada konsep dan motif band ini. Terdapat juga lagu di mana mereka menyuntik elemen hip-hop (rapping) dalam demo ini. Ayam Hitam terus-menerus serius dalam dalam menyampaikan mesej-mesej radikal dan anarki mereka. Zine Lirik yang disediakan memperjelaskan lagi objektif punk band ini. Ayam Hitam dalam rakaman demo ini ditunjangi oleh Ocha (vokal/gitar), Kolo (vokal kedua), Mat Ghandi (gitar), Redo Gemok (bass) dan Mat Manan (dram). Untuk menutup ulasan ini, saya tuliskan kembali satu perenggan yang tercatat di bahagian “Akhir Kata!” dalam zine lirik: Perjuangan kita takkan sia-sia dalam melawan kezaliman kapitalisme, sampai bila? Sampai bila-bila pun kita akan lawan sesiapa sahaja yang cuba menghalang hak rakyat untuk hidup dengan lebih baik! Hidup Anarkis! Hidup Rakyat! Hidup kesamarataan!
facebook.com/bandayamhitam
ayam-hitam.bandcamp.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan