Khamis, 22 Februari 2018

Rebiu | SECRET AGENDA – Resurrection Day


SECRET AGENDA – Resurrection Day
Independen
Ini sebuah album yang sebenarnya cukup-cukup berkualiti dalam pelbagai aspek yang mana saya kira terhasil dari sekumpulan pemuzik yang berkemahiran tinggi. Ya, Secret Agenda itu sendiri dianggotai individu-individu yang berpengalaman luas dan paling penting mereka memiliki pengetahuan untuk penghasilan yang terbaik, dari segi input mahupun output. Album sulung berjudul “Resurrection Day” telah direalisasikan sekitar Jun 2017 oleh band yang dibarisi oleh Caown (gitar), Amand (bass), Fathi (vokal), Drez (dram) dan Aretan (gitar) mengandungi sebanyak 11 buah lagu, berdurasi keseluruhan 44:37 minit. Profesionalisme dalam pengendalian instrumen, permainan yang mantap dan kemas, produksi bunyi yang berat dan tepat, gubahan serta susunan riff yang dinamik, kaya dengan idea-idea segar, progresif dan inovatif, sentuhan melodik serta kerja gitar yang melekat dan menangkap adalah antara kata-kata kunci kepada kualiti menyeluruh album “Resurrection Day” ini. Secara muzikal, Secret Agenda mempertaruhkan Modern Thrash Metal, mempertemukan inspirasi American Thrash era 90-an sebagaimana mainan Exodus, Megadeth, Pantera, Overkill, Testament dan seumpamanya serta elemen citarasa terkini yang didatangkan dari band-band seperti Trivium dan Lamb of God contohnya. Inilah yang dilihat membentuk tetapan bunyi serta susunan muzik Secret Agenda dan dilengkapi lagi dengan lontaran vokalnya yang begitu mengena. Tanpa sebarang keraguan, produk berkualiti tinggi seperti ini amat saya syorkan untuk kalian miliki dan nikmati. Secret Agenda sebuah band yang perlu diberi perhatian dan sokongan meskipun nama ini boleh dikatakan baru bagi sesetengah pihak. Markah penuh saya berikan untuk rilisan padu ini. Sangat berkuasa!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan