Rabu, 21 Februari 2018

Rebiu | PENGUASA ANJING – Bangsat Durjana


PENGUASA ANJING – Bangsat Durjana
Headhunter Records
Syukur, saya mendapat sedikit peluang untuk memiliki salah-satu rilisan Penguasa Anjing, sebuah band yang terlebih dahulu aktif dari Ben Pangazou (gitar/vokal) sebelum beliau bergiat cergas menerusi Con-Damn The Corruptor. “Bangsat Durjana” merupakan EP pertama dari band ini, dikeluarkan sekitar Februari 2013 dalam format 3" mini cd-r. Ianya mengandungi 5 lagu berdurasi keseluruhan 8:09 minit. Terus-terang, saya sukakan kualiti bunyi rakaman ini (dirakam di B.M.T Studio) yang sangat bagus, jelas dan terkawal keseimbangannya meskipun lagu-lagu Penguasa Anjing agak pantas dan keras. Band asal Inanam/Penampang, Sabah ini dilihat mencampur-adukkan kepelbagaian genre (hardcore, grindcore, punk dan metal) maka tidak hairanlah mereka lebih selesa berada di bawah definasi tersendiri iaitu “anjingcore”. Percubaan ini satu usaha yang “menjadi” berdasarkan pendengaran saya, bertenaga dan mengesankan. Kemarahan dan kegarangan yang diletakkan dalam muzik Penguasa Anjing dilengkapi lagi dengan lirik-lirik serta lontaran vokal berpaksikan kritikan (carutan) politik dan sosial yang telus tanpa berselindung. Dengan adanya “Bangsat Durjana” dalam koleksi, saya teringin untuk mencari dan mendapatkan EP kedua mereka “Kisah Si Anjing Kurap”, Live Demo 2012, Promo CD 2013 serta beberapa rilisan split yang pernah mereka riliskan. Pun demikian, Penguasa Anjing ini yang turut dianggotai Arnold/Alan (dram) khabarnya telah ditamatkan riwayatnya dan baru-baru ini dijenamakan semula sebagai Hideous.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan