Selasa, 16 Mei 2017

Rebiu | MILITANT ATTACK – Attack, Kill & Thrash!


MILITANT ATTACK – Attack, Kill & Thrash!
Independen
Serangan-serangan Thrash yang begitu membunuh! Saya mengulang dengar tak terhitung entah berapa kali untuk terus menikmati kepuasan yang dihidangkan Militant Attack menerusi EP “Attack, Kill & Thrash!” ini. Percayalah, ini produk Thrash Metal tempatan yang sangat berkualiti dan cukup berbaloi untuk dimiliki seandainya kalian antara yang terlepas pandang mengenai rilisan ini sebelum ini. “Attack, Kill & Thrash!” dikeluarkan sekitar Oktober 2015, memuatkan 7 buah lagu kesemuanya, berdurasi 28:34 minit secara keseluruhan. 4 lagu pertama adalah lagu-lagu ciptaan baru (The Beginning, Thrash ‘till Death, Attack The System dan Design To Kill) direkod di Tsitra Studio sekitar Januari hingga September 2015 dengan bantuan Bernie Joel Geres untuk proses mixing dan mastering. 3 lagu seterusnya dianggap bonus kepada EP ini, lagu-lagu lama Militant Attack (Systematic Slaughter, Stupid Syndrome dan Violent Riot) yang terpilih dari rilisan-rilisan mereka terdahulu dirakam semula secara live di Bingitzone Studio (adunan oleh Joe). EP dimulai dengan intro The Beginning, sebuah instrumental 1:16 minit yang indah dan tenang, Militant Attack kemudiannya tanpa berlengah meletuskan huru-hara pada lagu-lagu seterusnya melalui riff-riff Thrash yang pantas dan keras, permainan-permainan yang buas pada masa yang sama dikendali kemas, kedengaran teknikal di beberapa tempat disulami bahagian-bahagian straight-forward yang tepat-ke-muka, petikan-petikan solo gitar yang tajam, bassline yang menonjol serta hentakan-hentakan padu dan meribut dari bahagian dram. Banyak lagi perkara-perkara menarik yang dilaksanakan oleh Militant Attack dalam EP ini terutama pada lagu-lagu bonus juga. Anda akan hanya tahu sekiranya rilisan berformat pro-CD ini ada di tangan anda. Militant Attack yang dioperasikan oleh Worm (vokal utama & gitar ritma), Junk (vokal latar & gitar utama), Kayvil (bass) dan Kevin (dram) perlu diawasi pergerakan mereka. Apa tidaknya, mereka telah membunuh saya berkali-kali menerusi kehebatan senjata Thrash Metal mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan