Jumaat, 19 Mei 2017

Rebiu | THRASHIT – Kaiser of Evil


THRASHIT – Kaiser of Evil
Witches Brew
Kredibiliti Thrashit sebagai sebuah penjana senimuzik Thrash Metal yang berkualiti dari negara kita memang tidak dapat dinafikan. Mereka telah mendapat perhatian luar, bermain di beberapa metalfest berprestij di Eropah dan ditawarkan merilis album debut “Kaiser of Evil” di bawah label dari Jerman. Rilis pada 26 Februari 2016, CD full-length pertama Thrashit ini cukup hebat! Ianya menyenaraikan 8 buah lagu; Pressure, Fallen War, Neckbanger, Son Of Bastard, Thrashing and Slaughter, 666 Days in Hell, Kaiser of Evil dan Thrashit. Saya kira unsur-unsur Teutonic Thrash 80’an yang pekat melekat dalam muzik Thrashit telah menarik minat Witches Brew untuk mengeluarkan album ini (malah baru-baru ini pula dalam format 10" Pic Disc LP). “Kaiser of Evil” memuatkan rakaman semula 4 buah lagu dari EP 2014 di mana lagu-lagu tersebut diberi nafas baru serta penambahbaikan. 4 lagu baru adalah ciptaan-ciptaan yang segar, berkarisma dan semakin menampakkan identiti Thrashshit. Kemasukan Beno (gitar) menyertai Jorn (vokal/gitar), Erulz (bass) dan Logan (dram) dilihat memberi impak besar kepada muzik Thrashit yang mana kedengaran jauh lebih agresif, semakin heavy, disuntik variasi riff-riff teknikal serta susunan muzik yang kian matang dan pelbagai. Beno sebagaimana yang kita ketahui sebelum ini bersama Reaper turut memuntahkan solo-solo gitar yang berbisa. Vokal Jorn pula bertambah keras, garang dan penuh dengan amarah. Tidak sekadar thrashing yang kompleks dan meluru, komposisi lagu-lagu Thrashit turut diseimbangkan dengan elemen straight-forward serta sedikit dos gelombang awal Black Metal dan idea Punk / Crust mewarnai lagi integriti Thrash Metal bikinan band ini. Kerja-kerja rakaman (termasuk mixing dan mastering oleh Daryl Ang) di Icon Music Studio, Puchong pada September – November 2015 menghasilkan produksi bunyi yang amat membanggakan. Saya sarankan anda segera dapatkan CD berdurasi 24:04 minit ini. Salinan saya: 626/700.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan