Khamis, 15 Mac 2018

Rebiu | TERRYROTTEN – Sperm From The Past


TERRYROTTEN – Sperm From The Past
Sukma Records / Raung Records
Rilisan EP “Sperm From The Past” seakan perlambangan kebangkitan semula sebuah band yang kini dijenamakan semula sebagai Terryrotten, selepas lebih 10 tahun ‘dibekukan’ dari nama terdahulu, No System (ditubuhkan pada 2003 di Taiping, Perak). Kepulangan Tok Moyang Gobek (bass/vokal) dan The Ghost (gitar), disertai ahli baru The Beast (dram) tampak begitu optimis dan bersemangat menerusi pertaruhan 9 buah lagu yang dimuatkan dalam EP tersebut. Difahamkan sebahagiannya gubahan semula lagu-lagu lama semasa era No System dan selebihnya adalah ciptaan-ciptaan terbaharu di bawah gabungan Terryrotten. Terma “Sick Humor Crust Punk” telah digunapakai secara meluas dalam mendefinasi muzik galasan Terryrotten. Saya melihat ‘sick’ dan ‘humor’ itu merujuk kepada tema atau konsep ruang-lingkup penulisan lirik-lirik lagu Terryrotten yang begitu kuat dengan herdikan dan sindiran terhadap kepincangan politik, korupsi serta isu-isu sosial dan kemanusiaan. Saya suka mendengar lontaran-lontaran vokalnya yang bervariasi dan bermain dengan emosi; garang, marah, memberontak dan ada masanya seakan mengeluh. Muzik Terryrotten yang dikatakan Crust Punk terbina dari kocokan-kocokan power chord yang pada asasnya mudah (simple) akan tetapi dipacu pantas, keras, kental dan agresif. Tidak sekadar bermain dengan kelajuan, struktur muzik mereka turut diwarnai petikan-petikan gitar catchy dan kreatif. Senimuzik ciptaan Terryrotten sebenarnya mengandungi kepelbagaian jika mengikut pendengaran dan pengamatan saya. Ianya hardcore punk yang turut disulami dan dikacuk bersama elemen-elemen Grind, Rock & Roll dan Thrash!. Yang menariknya juga, kesemua lagu dalam EP ini masing-masing didahului dengan intro; samada petikan klip, keratan filem dan sebagainya. Mungkin Terryrotten mahu mengujudkan identiti tersendiri menerusi pendekatan sedemikian. Dalam aspek produksi bunyi, hasil daripada proses rakaman di Decklab Studio (Taiping) di bawah kejuruteraan Jack Cheong dilihat telah membuahkan kualiti yang agak baik tanpa mengetepikan perisa “raw” yang diperlukan oleh sebuah band Crust Punk. “Sperm From The Past” adalah langkah kanan Terryrotten dalam scene HC Punk tempatan dan saya kira EP ini cetusan serta bekalan terbaik untuk band ini terus mara ke hadapan dalam berkarya.

1 ulasan: