Selasa, 29 Mei 2018

Rebiu | THE JETHROÉS – Jesselton Stereoroid


THE JETHROÉS – Jesselton Stereoroid
Thunder Records / Sonic Vibes
Kita mungkin tidak pernah sangka dan menjangkakan bahawa nun jauh di negeri Sabah sana wujud sebuah band Stoner Rock yang cukup berkaliber. Saya tidak berpeluang mendengar dan mendapatkan album pertama mereka “Hellish Dogma” yang diedarkan sekitar tahun 2015, akan tetapi menerusi CD Single “Jesselton Stereoroid” (2018) ini saya dapati band bernama The Jethroés ini sepatutnya perlu diberi perhatian sejak hari pertama mereka bermula dan diikuti rapat perkembangannya dari masa ke semasa. Ini adalah kerana The Jethroés ini sememangnya sebuah band yang benar-benar padu dan mantap; berkualiti tinggi di segenap aspek merangkumi komposisi lagu, produksi bunyi, kemahiran, kekemasan dan segalanya! CD Single “Jesselton Stereoroid” yang berdurasi keseluruhan 10 minit 18 saat menampilkan 2 lagu; 1. Jesselton Stereoroid (3:42) dan 2. Doomsday Blues (6:36). Dalam aspek muzik, The Jethroés memiliki sentuhan groove yang tersendiri, elemen psychedelic yang kuat melekat, unik dan kreatif dalam gubahan, dan mereka kelihatan begitu pakar menghasilkan karya-karya Stoner Rock yang bergetar! Lagu pertama, Jesselton Stereoroid, sebuah lagu yang rancak dan rock ‘n’ roll. Dari garapan distorsi yang keras mereka beralih kepada permainan yang berat dan lembap dalam lagu kedua, Doomsday Blues, lagu yang cukup kuat elemen psychedelic dan doom rock. Penyampaian vokal dalam kedua-dua lagu ini juga begitu baik, penuh perasaan dan menusuk kalbu. Kualiti rakaman serta ketelitian dalam produksi bunyi turut memberi impak menyeluruh kepada kekuatan CD Single “Jesselton Stereoroid”. Tanpa sebarang keraguan, sekali lagi saya sarankan agar diberi pemerhatian khusus kepada potensi The Jethroés ini kerana kemampuan yang ada dalam band ini sudah pasti akan diteruskan dalam album kedua mereka akan datang, “B.A.T.H.E.M” (Bloom As The Moon) yang dijadualkan rilis tahun hadapan. Ini band yang menyakinkan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan