Rabu, 2 Mei 2018

Rebiu | SEPTEMBER CLASH – Live & Raw Demo (Street Rock & Roll)


SEPTEMBER CLASH – Live & Raw Demo (Street Rock & Roll)
Kabin Usang Production
Terus-terang, saya sendiri ketinggalan begitu banyak perkara dan perkembangan September Clash, band Street Rock & Roll yang berpengkalan di Pulau Pinang. Saya hanya mula mengenali mereka menerusi Promo CD 3-lagu “Live Demo” dan agak mengejutkan juga band yang ditubuhkan pada September 2014 ini telah berada di fasa rilisan ke-empat dalam kronologi diskografi mereka; “Live & Raw Demo (Street Rock & Roll)” CD 2017. Ianya adalah album full-length pertama dari September Clash, mengandungi 10 buah lagu termasuklah dua lagu saduran. Mendengar dan menghayati album berdurasi keseluruhan 32:33 minit ini benar-benar menyalurkan kepuasan yang maksima. Lagu-lagunya diolah, digarap dan dimainkan dari hati dan sepenuh jiwa. September Clash bermain dengan kerancakan bertali arus, riff-riff rock ‘n’ roll yang yang cukup sifat perisanya, solo-solo ligat yang menggigit, bass dan dram yang kedengaran jelas begitu menguasai nuansa rock & roll band ini. Vokal juga cukup mantap dan kena dengan muziknya. Biarpun dikatakan “live” dan “raw”, saya tidak temui sebarang masalah dengan kualiti bunyi dalam rilisan ini. Di rakam di Soundmaker Studio (di bawah kendalian Mr. Chong), sound production yang ditampilkan masih begitu baik tahapnya. Dalam album ini, September Clash menyelitkan lagu-lagu cover We Are Not Gonna Take It (lagu asal Twisted Sister) dan Highway To Hell (lagu asal AC/DC) di mana ini cukup memberi gambaran tentang halatuju dan pengaruh dalam muzik bikinan September Clash selain inspirasi dari Velvet Revolver, Guns n Roses, Def Leppard, Ramones, The Clash dan seumpamanya. Ya, mereka turut menyuntik unsur “punk” tidak hanya pada muzik tetapi lebih nyata dalam lirik-lirik lagu mereka yang rebel dan melawan arus. September Clash sebuah band dengan muzik yang menarik untuk anda nikmati!
facebook.com/septemberclash
instagram.com/septemberclashofficia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan