Rabu, 2 Mei 2018

Rebiu | WEOT SKAM / RUPTURE – Split


WEOT SKAM / RUPTURE – Split
Fvkof Records / Kandar Mosh Distro
Kali terakhir Weot Skam merilis adalah CD album “Six-Pack Tsunami Attack!!!” (2013). Kini selepas beberapa tahun, band berasal Pulau Pinang ini kembali dengan lagu-lagu Hardcore yang begitu kencang, garang dan lantang. Lagu-lagu Hardcore yang penuh maki-hamun seakan meludah tepat ke muka para politikus dan kapitalis, tanpa kompromi. Weot Skam dalam rilisan split-tape bersama Rupture yang dikeluarkan sekitar September 2017 ini memperdengarkan empat lagu baru berdurasi keseluruhan hampir 5 minit; Laksamana Hang Cibai, Apa Lancau, Mimpi Ngeri Kolonel Astronaut, dan Kan Lemma Puki Chow Cibai. Kualiti sound yang mantap dan energetik kali ini dari Weot Skam, hasil daripada airtangan Tom Bollocks di mana kerja-kerja rakaman dan adunan telah dibuat di Green House Music Kuala Lumpur sekitar Februari 2017. Weot Skam yang dibarisi Leon (bass), Edd (gitar), Dzul (vokal) dan Samm Ah Keat (dram) pada saya sangat menggila menerusi 4 lagu dalam split ini berbanding apa yang telah saya dengar dalam “Six-Pack Tsunami Attack!!!” tempohari. Riff-riff thrashing yang pantas dan menyengat, komposisi yang singkat dan padat, penyampaian vokal juga sangat-sangat deras, semuanya kedengaran begitu membelasah dengan kuat sepenuh kudrat. Terbaik Weot Skam! Rupture adalah satu nama yang kini telahpun menjadi lagenda dalam scene Australia. Band hardcore punk dari Perth ini telah ditubuhkan pada tahun 1989 dan aktif sehingga hujung 2001, tahun di mana vokalis mereka Andrew ‘Gus Chamber’ Sheen meninggal dunia. Rupture sepanjang kariernya telah mengeluarkan begitu banyak album full-length, rilisan split dan vinyl, dan band yang turut dianggotai Stumblefuck (gitar), Zombo (bass) serta AK47 (dram) ini telah mempengaruhi dan menjadi inspirasi kepada begitu banyak band hardcore/punk. Lima lagu dalam split ini adalah live tracks dirakam sewaktu persembahan Rupture di White Sands Hotel, Scarborough, 30 Jun 1994. Rakaman ini asalnya untuk rilisan split 7" EP bersama Disorder oleh sebuah label di Eropah namun tidak menjadi kenyataan. Lagu-lagu live tersebut akhirnya boleh didengari hanya melalui split bersama Weot Skam ini. Memang tidak dapat dinafikan Rupture sebuah band yang cukup gah dalam identiti dan kelas muziknya yang tersendiri. Ayuh segera dapatkan split-tape Weot Skam / Rupture ini yang cuma 200 unit dikeluarkan. Salinan saya #074.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan