Rabu, 2 Mei 2018

Rebiu | KVLTS – Seven Seas


KVLTS – Seven Seas
Payola Records
Tak banyak band yang ada usaha untuk menghadirkan warna yang berbeza dalam scene muzik underground. Salah satunya yang cuba memberikan kelainan adalah KVLTS. Usah keliru dengan nama dan logo mereka kerana band ini bukannya dari kelompok Black Metal jikalau itu yang terlintas di fikiran anda. KVLTS mengeluarkan EP pertamanya berjudul “Seven Seas” pada 30 Julai 2017 mengandungi empat lagu serta tambahan dua versi akustik, berdurasi keseluruhan 28:04 minit. Senarai lagu: 1. Seven Seas / 2. Death Spells Omega / 3. Vagina Dentata / 4. Judas (instrumental) / 5. Seven Seas (acoustic live at Suria FM) / 6. Vagina Dentata (acoustic live at Suria FM). Pada saya, band asal Kuala Lumpur yang terdiri daripada Zaid Fadhil (dram/vokal), Fariz Fahami (vokal) dan Adam Zackry (gitar/vokal) ini adalah golongan pemuzik yang berani, berkemahiran tinggi, kreatif dan berbakat besar dalam menggubah dan menyusun muzik. Mereka memiliki kebijaksanaan untuk mempelbagaikan idea dan inspirasi membolehkan setiap lagu mereka kedengaran unik, memiliki karisma serta nilai estetika masing-masing. Muzik KVLTS secara umum mungkin boleh dikategorikan “rock” sahaja, tapi bukan jenisan rock yang biasa-biasa. Variasi pengaruh dalam lagu-lagu band ini begitu luas; dari post-punk hingga post-hardcore sehinggalah ke post-metal. KVLTS juga turut menyuntik sentuhan elektronika dan ambien yang menambah lagi perisa muzik garapan mereka. Tona suara dan lenggok nyanyian vokalis juga begitu baik. Ditambah dengan kualiti yang ada dalam aspek rakaman dan produksi bunyi, KVLTS kedengaran sangat profesional dan tidak salah rasanya andaikata saya anggap band ini telah berada di tahap piawaian internasional. EP “Seven Seas” ini adalah CD yang setiap kali saya mainkan saya akan biar ia berputar berulang kali, mahu terus menikmati keindahan muzik ciptaan mereka. Enak dan menyelerakan! Ok, para peminat muzik Deftones, Glassjaw dan Junius mungkin kena cuba-cuba dengar KVLTS, manalah tahu ia bakal memenuhi citarasa anda juga. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan