Rabu, 2 Mei 2018

Rebiu | GERODOK / KERNA DIA – Split


GERODOK / KERNA DIA – Split
Nervhous Records / Green Peace Distro
Sejarah yang dikembalikan! Split di antara Gerodok / Kerna Dia asalnya rilis dalam bentuk cd-r sekitar tahun 2014 keluaran bersama Avail Records dan GustixKatilxDistro. Mungkin atas dasar klasik dan nostalgik sifatnya, ia dikeluarkan semula pada Jun 2017 dalam format pro-tape usahasama dua label ternama, Nervhous Records dan Green Peace Distro. Saya sukakan layout sampul kaset yang agak old-school dan sederhana tetapi masih tetap menarik, ditambah pula tarikan yang ada pada ilustrasi kulit oleh Maminkfesto menggantikan artwork asal (tengkorak & tulang-temulang) cd-r terdahulu. Gerodok dan Kerna Dia kedua-duanya lahir di daerah yang sama iaitu Lahad Datu serta memainkan genre Punk Rock yang hampir serupa; street-punk bermelodik berasaskan 3-kord, meskipun gubahan yang dianggap mudah tetapi masih tetap kedengaran enak, segar dan senang dihadam. Kerna Dia menampilkan 5 lagu pada Side A. Band yang dianggotai oleh Nat (vokal), Mamat (gitar), Udin (gitar kedua), Ah Seng (bass) dan Joy (dram) agak banyak mengingatkan saya kepada lagenda Oi! tempatan iaitu ACAB. Tidaklah terlalu bermelodik sebagaimana Gerodok, Kerna Dia sedikit keras dan straight-forward kalau mengikut pengamatan saya. Salah-satu lagu sumbangan Kerna Dia adalah versi saduran Freedom, lagu asal kumpulan Desecrate. Gerodok yang mengisi Side B sebenarnya satu nama yang memiliki prestij tersendiri dalam scene muzik underground di Sabah. 4-piece terdiri daripada P.E (vokal), Mat (gitar), Pyan (bass) dan Tiyam (dram) ini sering diangkat sebagai band punk pertama dari belah-belah sana. Tujuh buah lagu dipersembahkan Gerodok dalam split ini termasuklah Bulan 8 Di Sandakan, satu lagu yang sangat dikenali ramai, menjadi siulan dan besar pengaruhnya. Gerodok agak skanky stail street-punk bawaan mereka. Melodi dan harmoni yang menghiburkan, cuma sound Gerodok agak raw kalau nak dibandingkan dengan Kerna Dia. Split Tape ini telah memberi peluang kepada ramai pendengar baru (termasuk saya sendiri). Saya percaya ini antara rilisan split terbaik yang pernah keluar dan beredar sekitar pertengahan 2000-an, menyebar luas mesej-mesej berupa kritikan politik dan sosial, isu-isu penindasan dan peperangan, kapitalisma dan sebagainya. Ah, perlu rasanya saya beritahu bahawa Bulan 8 Di Sandakan itu sebuah lagu bertemakan cinta, dimanipulasi banyak pihak tetapi yang betul-betul asli adalah yang ini, versi tulen ciptaan Gerodok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan