Selasa, 29 Mei 2018

Profil | CLASSMATES : 07.02.2018


Classmates adalah band beraliran Pop Punk / Modern Rock asal Kota Tinggi, Johor yang ditubuhkan sekitar tahun 2007. Di awal pembentukannya, Classmates dianggotai oleh Syukri (vokal), Topek (bass), Elham (dram), Osman (gitar) dan Azim (gitar). “Kumpulan ini membuat persembahan buat pertama kalinya pada Hari Guru, emcee memperkenalkan mereka sebagai Classmates. Band ini terlebih dahulu dikenali sebagai Neighbourhood, tetapi mereka kemudiannya memutuskan untuk mengekalkan nama Classmates yang mana sedikit-sebanyak memperingati kemunculan sulung mereka di khalayak ramai dan itu juga persembahan yang menyalakan semangat mereka mengejar impian dalam industri muzik”, ujar Yohanna Tashi selaku Pengurus Perhubungan Awam (PR Manager) Classmates.

Karier Classmates bermula dengan pengeluaran Demo CD “The Initiation” pada tahun 2009. Ia habis dijual dalam masa 6 bulan akan tetapi mereka menghadapi sedikit tamparan bilamana gitaris Wan dan penyanyinya Syukri melangkah keluar dari band. Classmates kemudiannya dalam tahun 2010 telah merekrut Ucop sebagai pemain gitar kedua tetapi berhadapan satu lagi masalah line-up apabila Azim (gitar) pula menarik diri sekitar tahun 2011. 

Pada 2012, Classmates merakam dan meriliskan EP debut mereka berjudul “Good News Come Soon” yang turut memuatkan lagu Primadunia, sebuah lagu yang disenangi ramai dan meningkatkan nama Classmates di persada muzik indie tempatan. EP dalam format CD ini telah dikeluarkan oleh syarikat mereka sendiri iaitu High Castle Production and Entertainment dan dilaporkan telah terjual lebih daripada 500 salinan. “Lagu-lagu dari EP ini terutamanya Primadunia telah ke udara di kebanyakan stesen radio dan media sosial, antara yang terawal dimainkan di Suria fm, Hot fm, Xfm dan kemudiannya ERA fm. EP pertama Classmates ni telah dilancarkan di Urban Village Bangsar, atas kerjasama pihak Drugs Free Youth Association yang dikendalikan oleh Ein (Second Combat)”, kata Yohanna bagi pihak Classmates.

Sekitar tahun 2013, Topek tidak dapat meneruskan komitmennya sebagai pemain bass dan posisinya telah diganti oleh anggota baru bernama Din. Pertukaran ahli tidak menghalang Classmates untuk mula merekod beberapa lagu baru untuk projek rilisan seterusnya dan fan-base mereka juga dilihat semakin membesar. Di tahun ini juga Classmates hadir dengan sebuah lagi lagu yang mengukuhkan reputasi mereka iaitu Luaskan Kuasamu (Dari Selatan), sebuah tribute untuk Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Lagu ini telah dipertandingkan dalam Anugerah Lagu Johor 2014 dan Classmates memenangi kategori “Penulisan Lagu Terbaik”. Classmates semakin mendapat perhatian dan kerap diundang membuat persembahan di sekitar negeri Johor. Hasil kemenangan tersebut juga telah digunakan sepenuhnya dalam penerbitan EP kedua mereka, “Classmates”.

Di tahun 2015, Classmates berpeluang mengadakan siri jelajah di Singapura dan kesempatan itu diambil untuk mempromosikan EP self-titled yang telah mereka keluarkan, juga menerusi High Castle Production and Entertainment. “Setulus Kasih Tour” ini dilakukan bersama Imran Ajmain, seorang penyanyi pop yang cukup terkenal di negara jiran tetangga berkenaan. Elham mengambil alih tugasan sebagai penyanyi utama manakala juruteknik dram mereka iaitu Kim mengisi tanggungjawab sebagai pemain dram.

Dengan adanya keanggotaan yang cukup mantap dibarisi Elham Syah Abd Majid a.k.a Elham (vokal), Mohd Huzairie a.k.a Ucop (gitar), Hairudin Asmuni a.k.a Din (bass) dan Mohd Norhakim a.k.a Kim (dram), Classmates dilihat mahu terus berkarya dan tidak lagi perlu menoleh ke belakang. “Kami telah bermain di TV3 Jom Heboh, NegaRAKU fest, Northern Music Festival, Iskarnival, IP Kool, Rock The World, dan beberapa lagi event terkemuka. Jika mendapat ruang untuk memperdengarkan muzik kami di corong-corong radio atau beraksi di pelbagai acara gig dan konsert yang dianjurkan, maka itu semua adalah seumpama mimpi yang menjadi kenyataan bagi diri kami sebagai sebuah kumpulan muzik”, kata Classmates yang diwakili saudari Yohanna Tashi. 

Semenjak 2007, band ini telah merakam dan merilis beberapa material secara independen (di bawah produksi label milik Classmates sendiri). Mereka setakat ini telah mengeluarkan sebuah Demo, 2 rilisan EP, video muzik untuk lagu Primadunia dan Luaskan Kuasamu 2.0 (Dari Selatan), dan sebuah lagu kolaborasi bersama Datuk Dr Fazley Yaacob [lagu Pesan Raya dalam album “Ku Mohon Maaf Sayang” (2015) penyanyi tersebut]. Kedua-dua EP; “Good News Come Soon” (2012) dan “Classmates” (self-titled) EP 2015 boleh diperolehi secara pembelian online di iTunes dan Spotify.


Terbaharu pada Disember 2017 yang lalu, Classmate telah menyiapkan dan mula memperdengarkan sebuah single terkini mereka berjudul Giliranku. Lagu gubahan Ucop dan lirik oleh Elham ini dirakam di High Castle Studio, Shah Alam dan ianya adalah pengenalan kepada rilisan album penuh mereka yang akan datang. Untuk perkembangan selanjutnya, Classmates boleh dihubungi menerusi Yohanna Tashi (PR Manager) di talian: +60197266996 atau emel: classmateshxc@gmail.com. 


Nota: Teks suntingan Pyan Nathias. Terima kasih diucapkan kepada Yohanna Tashi dan Classmates secara keseluruhannya di atas penyediaan informasi dan foto-foto berkaitan. Artikel profil ini akan disiarkan dalam keluaran khas “Rock Bebas” yang bakal diterbitkan.

1 ulasan:

  1. Terima kasih banyak2 Bangkit! Teruskan berkarya. Commendable effort in supporting the indie music scene.

    BalasPadam