Rabu, 2 Mei 2018

Rebiu | C4D – Construction! Destruction!


C4D – Construction! Destruction!
Rumble Records
C4D bermaksud Construction For Destruction. Band berpusat di Johor Bahru ini telah melancarkan pengeluaran album sulung “Construction! Destruction!” di bawah label mereka sendiri, Rumble Records pada 31 Januari 2017. Saya sesungguhnya melihat C4D ini sebuah band yang lahir bersama kualiti. Mereka memiliki kemahiran dalam bermain muzik, kelebihan dalam menulis lagu, mutu rakaman yang cukup bagus dan pembuatan digipak DIY disertakan booklet 24-halaman berwarna penuh menunjukkan betapa seriusnya empat anak muda ini yang terdiri daripada Kemal (gitar/vokal), Eryberg (dram), Johnson & Johnson’s (gitar/vokal) dan Mat (bass/vokal). “Construction! Destruction!” mempertaruhkan 13 buah lagu berdurasi keseluruhan kira-kira 42 minit. Secara peribadi, saya gemar dengan variasi genre yang ada dalam “Construction! Destruction!”. C4D tidak meletakkan diri mereka terikat dan terkongkong dengan satu konsep dan mereka bebas berkarya! Mungkin ada antara kita yang keliru dan mempersoalkan identiti sebenar mereka dek kerana kepelbagaian genre dalam sebuah album, dari melodic/pop punk hingga ke thrash/skate punk. Saya tiada masalah dengannya kerana ia masih berasaskan irama punk malahan bagi saya tidak timbul isu bosan atau jemu pada sebuah album yang termuat didalamnya jumlah track yang banyak. C4D berani menyuntik kelainan umpamanya sentuhan post-punk dalam Float Like A Butterfly Sting Like A Bee dan bereksperimentasi dengan irama tradisional dalam Oud De’ Zapunk. Saya simpulkan ini sebuah album yang hebat, menyeronokkan, menghiburkan dan sepertimana kenyataan awal saya tadi – sebuah rilisan yang dilengkapi kualiti di segala segi. Terbaik!
facebook.com/c4dmagnum
instagram.com/c4dmagnum

Tiada ulasan:

Catat Ulasan