Isnin, 12 Mac 2018

Rebiu | THY REGIMENT – Iron Heart


THY REGIMENT – Iron Heart
Terr-Records
Material terbaharu unit KLHC Thy Regiment ini tersedia dalam dua format; CD oleh Terr-Records dan kaset keluaran Glord Records. Saya memiliki kedua-dua format namun untuk kerja ulasan ini saya merujuk kepada format CD. Sejujurnya, ini adalah pengalaman pertama saya mendengar muzik dan rakaman dari band yang dianggotai oleh Alwee (vokal), Kaza (gitar), Azam (gitar), Kenix (bass) dan Minn (dram) ini. CD “Iron Heart” yang berdurasi keseluruhan 20:32 minit menyajikan 5 buah lagu baru; Uprising, Stomper, Never Look Back, Get Away From Me dan Iron Heart, serta tambahan 2 lagu dipetik dari “Mindbleed” EP 2008 iaitu Chaotic dan Blind Conspiracy, dan diakhiri Nothing Fear, sebuah lagi lagu ekstra yang diambil dari kompilasi Give & Take (2012). Di sudut muzikal, Thy Regiment secara menyeluruhnya adalah (new-school) Hardcore kental yang begitu memukau, diperkasai oleh riff-riff lebat dan berat, permainan kencang, keras dan menghentam tanpa belas ehsan, dan saya sendiri mahu melihatnya jenisan Hardcore yang dekat melekat dengan elemen Thrash, seumpama Sepultura, Soulfly, Machine Head serta Slayer selain pengaruh-pengaruh besar Hatebreed, Snapcase, Madball, Sick Of It All dan pelbagai lagi. Kualiti bunyi hasil rakaman di MC 16 Studio di bawah kendalian Senndart (Daarchlea) telah memberi impak yang cukup menakjubkan untuk penghasilan rilisan ini; di mana ianya kedengaran begitu kuat, padat dan sangat bertenaga. “Iron Heart” ini sebuah rilisan yang perlu anda miliki jika inginkan muzik dan irama yang boleh melonjakkan semangat! Untuk makluman, versi kaset (keluaran Glord Records) menampilkan sedikit perbezaan di mana lagu Chaotic dan Blind Conspiracy diganti dengan Crifter dan Jihad. Saya cadangkan kalian dapatkan kedua-dua format ini untuk kepuasan maksima!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan