Sabtu, 25 Mac 2017

Rebiu | KASRAKASS – Self Destruction


KASRAKASS – Self Destruction
Tempang Records
Komposisi irama Grindcore yang benar-benar padat dan melekat dihasilkan Kasrakass. Nuansanya bersifatkan pantas, keras dan ganas!. Berpengkalan di Pantai Dalam (Kuala Lumpur), Kasrakass dibarisi oleh Jack (gitar), Ray (dram), Syafix (vokal) dan Majid (bass). Walaupun dianggap pendatang baru dalam arena muzik bebas tanahair, mereka telah bermula dengan baik dan menunjukkan potensinya menerusi demo-cd berjudul “Self Destruction”. Saya kagum dengan bakat dan kebolehan yang ada pada anak-anak muda ini. “Self Destruction” menghidangkan sejumlah 8 buah lagu berdurasi keseluruhan hanya 6:45 minit. Dengarkan dan nikmati kekuatan tenaga dan kerakusan old-school grindcore yang mereka persembahkan, ianya pasti membuatkan anda seakan hilang pertimbangan, mahu sahaja terus melompat dan berlari-lari liar. Kasrakass seperti ada di dalamnya semangat grind klasik; sepertimana Napalm Death, Terrorizer, Repulsion, malah logo band ini menghampiri Warsore. Material demo ini telah dirakamkan di studio Brutal Lab, termasuklah proses mixing dan mastering di bawah seliaan saudara Auks (Sicksociety, Bunuhdiri). Kualiti bunyi memang Gred A; padu dan berat memenuhi kehendak format muzik Kasrakass, serta kedengaran begitu kemas meskipun difahamkan pendekatan live recording yang diambil. Kaedah packaging turut pada tahap profesional; 3-panel gatefold cover & pro-pressed cd-r keluaran Tempang Records. Senilukis oleh Uze Osbourne membuahkan tarikan tambahan. Demo “Self Destruction” oleh Kasrakass ini sangat saya sarankan untuk kalian yang gemar muzik bising, laju dan grind-to-the-core!. Dapatkan salinan anda dari pihak Noise Hipster Distro (harapnya stok versi CD demo ini masih tersedia). Baru-baru ini Tempang Records dengan kerjasama Raung Records telah mengeluarkan “Self Destruction” dalam bentuk pro-cassette tape. Jangan ketinggalan!.
facebook.com/kolumpoberdarah
facebook.com/TempangRecords
facebook.com/noisehipster.distro

1 ulasan: