Jumaat, 17 Mac 2017

Rebiu | M.C.B – Promo 2016


M.C.B – Promo 2016
Independen
Apabila Crust Punk dan Grindcore dikahwinkan, maka lahirlah darinya satu hibrid yang dinamakan Crustgrind – inilah nuansa muzikal galasan M.C.B atau nama penuhnya Mindless Corruptor Bastards. Promo 2016 dari band berpengkalan di Kuching, Sarawak ini mempertaruhkan enam lagu temasuklah sebuah intro. Ketika pertama kali saya menerima dan mendengar rilisan ini, hati saya terus berkata, “wah!! ini sungguh hebat!”. M.C.B dalam promo cd-r ini hanyalah dibarisi oleh Mad (gitar), Chie (dram) dan Ben (vokal) akan tetapi hasil kerja mereka, sound presentation mereka, binaan muzik mereka cukup besar. Crustgrind bikinan M.C.B berdentum kuat, bagaikan ribut dan kilat, bergerak pantas! Mainannya kemas dan ketat, jitu dan mantap! Terus-terang, saya sukar membuat pilihan untuk trek kegemaran kerana kesemuanya memukau halwa pendengaran. Sepanjang 10:18 minit durasi menyeluruh CD ini, mereka hidangkan pelbagai variasi olahan dan susunan riff-riff gitar yang agresif dan berat atmosferanya, diiringi blastbeat-blastbeat padu dan meletup-letup dari pukulan dram, mengiringi pula serangan-serangan vokal menggeram dalam amarah berapi. Selain daripada Napalm Death (era– “From Enslavement To Obliteration” dan “Scum”) serta Extreme Noise Terror, saya percaya sekiranya kalian meminati band lama seperti Carcass Grinder (Jepun) dan Filthy Christians (Sweden), anda pasti akan menggemari M.C.B. Band ini perlu diberi perhatian khusus dan amat disarankan untuk didekati, didengari dan diikuti perkembangan mereka dari masa ke semasa.
facebook.com/mcbcrust

Tiada ulasan:

Catat Ulasan