Khamis, 30 Mac 2017

Rebiu | DISCARNAGE – Isu #3


DISCARNAGE – Isu #3
96ms / A5 / Bahasa Inggeris
Jika melakukan sesuatu perkara berlandaskan pengetahuan, pengalaman dan minat yang betul-betul mendalam di dalam perkara tersebut, maka hasilnya pasti sangat menakjubkan. Inilah yang ada pada Mika Røtten, editor Discarnage Fanzine. Ia sebuah zine yang bagi saya cukup sempurna, memenuhi kehendak dan keperluan konsep, pengisian dan penampilan genre yang dijunjunginya – oldschool Death Metal. Padat dan cukup sarat dengan teks, foto, artwork dan sebagainya seperti datang dari zaman 80an/90an. Mika Røtten seorang penggemar “taksub” muzik oldschool Death Metal (malah ada band sendiri bermuzikkan sedemikian, Reputdeath) dan beliau juga enthusiast hal-hal berkaitan horror, zombie dan gore samada filem, senilukis, ilustrasi dan lain-lain. Kelebihan juga pada editor ini kerana bakatnya tidak hanya pada penulisan yang tepat dan mantap tentang genre yang ditulisnya, malah berkebolehan untuk melukis artwork-artwork berdarah, ngeri dan menakutkan. Discarnage Fanzine #3 yang rilis sekitar September / Oktober 2016 lalu menampilkan temubual bersama Galvanizer, Insinner, Morbus Grave, Wormridden, Dismember, Carnal Tomb, Putrid Yell, Buried To Rot, The Casket, Cryptic Brood dan D-Sagawa serta satu hasil temubual secara live bersama Usus. Kandungan lain termasuklah pelbagai artikel antaranya “The Best Death Metal Demo Of 2014” dan “The Best Of Two : Death Metal Ep / Album of 2015” serta ratusan (ya! ianya ratusan) ulasan dan kupasan ke atas produk cd, tape dan zine. Turut diselitkan sebuah rebiu eksklusif filem seram “Fright Night”. Seperkara lagi yang mengagumkan saya ialah kebijaksanaan Mika Røtten menggabungkan teknik cut-and-paste dan penggunaan komputer (perisian adobe kalau tidak silap) menjadikan ketrampilan Discarnage #3 begitu unik, kreatif dan terserlah ke-oldschool-annya. Cukuplah, saya tidak mahu berkata apa-apa lagi. Ini sebuah zine yang amat-amat saya cadangkan kepada anda untuk dimiliki. Saya menyimpulkannya sebagai cukup berkuasa dan penuh dengan tenaga. Tanpa ragu, Discarnage adalah fanzine Death Metal terbaik di negara kita Malaysia. Penghasilan yang cemerlang! Hubungi: dis_carnage@yahoo.com. Death Mental Illness!

Rebiu | HERMYTH – Isu #7


HERMYTH – Isu #7
44ms / A5 / Bahasa Inggeris
Interbiu bersama Militant Attack (Sarawak), Dire Crown (Sarawak), Nympholepsy (Singapura), Existence Denied Fanzine (Singapura) dan Blazt Promotion (Selangor). Diperakui memang terbaik hasilkerja M.Azman (editor) kali ini. Bikinannya jauh lebih bagus berbanding isu-isu terdahulu. Pengisian slot-slot interbiu tampak lebih ketat & padat. Kesemua pihak yang ditemubual dilihat memberi respon yang baik menghadirkan jawaban-jawaban yang panjang-lebar dan terperinci kecuali Blazt Promotion (label aku la tu) yang agak selekeh dan malas (haha!). Rebiu kali ini pun agak menarik dengan penambahan kuantiti produk pelbagai format yang diulas. Ruangan tetap “Hermyth Forum” turut lebih meriah dengan hujah-hujah dan pendapat (dari puluhan individu yang dihubungi) berkisarkan topik penganjuran gig, rilisan die-hard / collector items, unity dan sebagainya. Paling ketara, perubahan fizikal kepada saiz A5 (terdahulu Hermyth diterbitkan bersaiz A4) bukan sahaja merubah kepada wajah lebih segar penampilan zine ini tetapi juga menampakkan konsep cut & paste itu lebih kena-pada-tempatnya. Tahniah Azman, you did very well on this Hermyth #7. Hubungi: 017-2796369. Rating: 4/5 – Pyan Nathias (12/08/2016)

Nota: Rebiu ini telah disiar dalam BANGKIT! #2.5 keluaran khas: Kuala Lumpur Zine Fest 2016

Rabu, 29 Mac 2017

Sampel Halaman BANGKIT! #4


Dah tak lama dah ni. Harinya semakin dekat. Foto kat atas tu aku tunjuk test print / proof reading copy, hehe! manakala imej-imej berikutnya di bawah ni aku prebiu beberapa halaman daripada keseluruhan 60 mukasurat BANGKIT! #4.






Harap korang enjoy tengok foto dan imej-imej yang aku update ni. Semua dah siap susun, siap atur. Digital mastercopy pun dah dihantar untuk kerja-kerja printing. Tunggu sokongan korang jer, huhu! Target release? April Fool :)

Pyan Nathias, 29 Mac 2017

Isnin, 27 Mac 2017

Rebiu | THE AKSARA COMMUNE – Isu #1


THE AKSARA COMMUNE – Isu #1
108ms / A5 / Bahasa Inggeris
Mengikut penelitian saya, asas pembikinan dan penerbitan isu pertama (October Issue) zine The Aksara Commune ini adalah kompilasi bahan-bahan penulisan / bacaan yang terlebih dahulu diletakkan secara online di blog (menggunakan nama yang sama) kendalian Karim Abdullah [fb.com/karim.anderson.79], seorang penuntut di Universiti Malaya jika tidak silap saya. The Aksara Commune terbahagi kepada 4 teras utama; Gig Review, Album Review, Band Interview dan juga Article. Penulisan-penulisan dalam bahasa Inggeris ini digarap dengan begitu baik dan teliti. Saya sukakan slot interbiu yang mana menampilkan 3 band yang agak asing dalam pengetahuan saya iaitu EF’IL (Ambient / Instrumental / Post-Rock dari Ipoh, Perak), Ippie Gomas (Dreamy / Sadcore / Indie Rock, juga dari Ipoh) dan Piri Reis (Emoviolence / Skramz dari Shah Alam, Selangor). Pemilihan dan usaha mengetengahkan band-band seperti ini membuatkan orang-orang seperti saya membuka mata dan meneroka lebih jauh dalam scene muzik bebas tempatan. Penulis turut menyediakan ulasan yang cukup eksklusif untuk album The Afternoon Gentlemen “Complete Pissedography 2008-2012” (Grind / Powerviolence dari Leeds, UK) dan The Electric Ape In Stereo “We Come In Peace” (Shoegaze / Experimental / Post-Rock dari Ipoh). Keseluruhan zine ini mantap cuma mungkin lebih baik jika rekaletak dan susunatur dapat diperkemaskan dan dipadatkan bagi mengurangi ruang kosong dan ketebalan yang tidak perlu. Agak malang juga, selepas The Aksara Commune #1 diterbitkan dalam format fizikal, blog berkenaan tidak lagi dikemaskini dengan bahan-bahan baharu. Saya tidak pasti samada saudara Karim Abdullah masih lagi menulis dan tidak tahu juga kemungkinan adanya isu-isu susulan zine ini. Apapun, harap beliau kembali berkarya.
theaksaracommune.wordpress.com

Rebiu | TRYPOPHOBIA – Isu #2


TRYPOPHOBIA – Isu #2
68ms / A5 / Dwi Bahasa
Trypophobia Zine dikendalikan oleh dua editor; seorang daripadanya tidak mahu dikenali (anonymous) dan yang kedua menggunakan nama pena Ribut Cicak. Isu #2 Trypophobia saya perolehi semasa acara Kuala Lumpur Zine Fest, 8 Oktober 2016 di mana difahamkan zine ini rilis / diedar secara rasmi pada tarikh tersebut. Ianya sebuah zine yang begitu “punk” dalam konteks pengisian dan juga fizikal (maksud saya berkenaan reka bentuk dan susun atur). Satu slot temuramah bersama SESAK!! [sebuah komuniti political street art] dan 3 mukasurat ruangan ulasan muzik & zine kelihatan seperti hanyalah bahan sampingan kepada zine ini yang keseluruhan besarnya memuatkan penulisan-penulisan berbentuk artikel, rencana-rencana yang agak panjang (dengan isi-isi yang baik), beberapa short stories serta personal notes yang kebanyakannya menjurus kepada pemikiran punk dan konsep perlawanan (anti-sistem). Antara artikel yang bagus dan menarik perhatian saya adalah Najib: He’s the Villain that Punks deserves, Anarkisme: Relevan atau tidak.., Dissection on Taqwacore, Peranan Punk Dalam Masyarakat, Zine Punk Dah Mati, To be or not to be punk, dan begitu banyak lagi penulisan / rencana lain yang bersifat penentangan politik, kritikan sosial, bahasan /  kupasan terhadap realiti semasa. Turut diselit laporan penulis untuk KLZF 2015 dan komen pihak zine ini terhadap filem Mat Moto (arahan Pekin Ibrahim). Saya tiada apa lagi yang hendak diperkatakan. Saya sukakan banyak perkara yang ada pada zine ini. Saya harap saya masih ada peluang untuk mendapatkan isu #1 yang terdahulu dan juga mahu editor-editor Trypophobia terus bekerja untuk kembali dengan isu ketiga. Hubungi offisialmy@gmail.com atau oliverdabit666@gmail.com.

Rebiu | PEDAL TO THE METAL – Isu #5


PEDAL TO THE METAL – Isu #5
52ms / A5 / Bahasa Melayu
Meskipun dikatakan dalam kesulitan berpindah lokasi dari Kangar ke Gombak (atas komitmen kerjaya), Raimi tetap berusaha dan berupaya menerbitkan Pedal To The Metal isu yang ke-5, rilis pada Disember 2016. Konsistensi dalam prestasi dan kualiti zine ini kekal terpelihara. Zine ini kembali kepada hiasan kulit luar memaparkan basikal dan pemandangan – menepati konsep travelog yang menjadi intipati utamanya. Kalian boleh baca teks laporan (serta beberapa foto) aktiviti kayuhan basikal Ride To Kota Kuala Kedah yang dilakukan penulis dan rakan Wan Fazrul sejauh 47km pada 4 September 2016. Sambungan artikel (Bahagian II) laporan Menjejaki Pattani Darussalam juga boleh dibaca dalam isu ini. Turut disiarkan laporan zine fest yang berlangsung di Perlis dan Bintulu, Sarawak. Untuk sisi muzik, PTTM #5 membawakan wawancara bersama band death/thrash tempatan berwibawa Malapetaka dari Kuala Lumpur. Uniknya, isu kali ini turut menemubual kumpulan/individu bukan dari golongan muzik lasak iaitu The Impatient Sisters (band 3 gadis adik-beradik dari Kuantan yang menamakan muzik mereka sebagai indie-folk) dan Kim Herrin (gadis pemain dram yang khabarnya kini terlibat bersama Candy). Dalam slot interbiu juga, isu ini cukup eksklusif dengan pengisian bual-bicara bersama Dr. Noorwan Arif (yang juga rakan lama saya di zaman 90an), pembikin Thanatopsis Zine. Sepertimana yang pernah saya tulis dalan rebiu isu-isu terdahulu, Pedal To The Metal adalah penerbitan yang perlu anda ikuti jika mahukan sebuah zine ada semua di dalamnya. Selain travelog dan muzik, zine ini terus mengadakan ruangan-ruangan literatur (puisi dan cerpen), senilukis (ilustrasi dan komik) serta penulisan-penulisan berbentuk rencana/artikel dan rebiu untuk skop yang pelbagai dan tidak terhad. Bukan hanya mementingkan gaya penulisan yang menarik, PTTM turut mengutamakan kualiti pengisian yang mendidik dan bermanfaat. Teruskan berkarya Raimi!
facebook.com/cyclingmetalpunk
cyclingmetalpunk.blogspot.com

Rebiu | KONTRADIKSI – Puduraya


KONTRADIKSI – Puduraya (Catatan Peribadi dan Kawan-Kawan)
20ms / A5 / Bahasa Melayu
Mentelaahi zine ini mengimbau kenangan zaman remaja saya sekitar 1991-1995. Puduraya umpama nadi sebahagian daripada perjalanan hidup pada ketika itu. Di situlah pusatnya beratur panjang berebut-rebut mendapatkan tiket bas ekspres (kekadang terpaksa beli dari ulat tiket) untuk pulang ke kampung sempena hari perayaaan mahupun cuti semester. Di situlah penghubung berulang-alik setiap hujung minggu dari UPM Serdang untuk saya ke Central Market melepak bersama teman-teman scene underground, memulakan langkah kaki ke venue-venue gig ataupun ke Kompleks Campbell / Pertama mencari kaset-kaset terbaru. Di Puduraya juga saya pernah dapatkan beberapa t-shirt metal (imported) dan psssttt... di sana juga saya ada beli buku Permata Yang Hilang (rasanya buku panduan ni masih ada tapi lupa sorok kat mana, hahaha!). Berbalik kepada Kontradiksi, isu pertama zine kendalian Khairul Mohd Zan [fb.com/kairu.rukawa] ini adalah sebuah himpunan memoir Puduraya, segalanya-galanya seputar Hentian Puduraya; perkaitannya dengan persekitaran, pengalaman dan kehidupan si penulis serta rakan-rakannya. Dirilis pada hari berlangsungnya KLZF 2016, isu Puduraya ini menyiarkan 4 buah catatan (selain Khairul turut disumbangkan oleh Zeezam, Sayap Anonymous dan Azizi Smallman), kutipan status dan komen-komen di laman sosial facebook, sedikit petikan fakta dari Arkib Negara, beberapa foto lama dan 4 buah puisi (sajak) bertemakan terminal bas yang cukup-cukup bersejarah tersebut. Pengisiannya mengundang pelbagai emosi di sebalik nostalgia-nostalgia tersebut; senyum tawa, pahit duka, seram sejuk, malah linangan airmata. Hentian Puduraya kini hanya tinggal sejarah, diubahsuai dan dijenamakan semula menjadi Pusat Transformasi Bandar (UTC). Untuk makluman, editornya saudara Khairul bukan asing dalam bidang penulisan bebas dan penerbitan zine. Beliau pernah berkarya menerusi Kebebasan Insan, Boycott Manifesto, Harapan Insan Hina waima Kontradiksi sebelum ini pernah terbit dalam format newsletter untuk 2 keluaran. Hubungi: terminalogik@gmail.com.

Sabtu, 25 Mac 2017

Rebiu | BISAK PALAK – Edisi Kedua


BISAK PALAK – Edisi Kedua
36ms / A5 / Bahasa Melayu
Edisi kedua Bisak Palak telah diterbitkan pada Oktober 2016. Ianya sebuah zine literatur yang dilihat semakin berkembang. Jikalau dahulu di keluaran pertama hanya bertumpu dari anak-anak Bintulu, kali ini karya-karya senitulisnya merayap dari hampir segenap bumi Sarawak; melibatkan Miri, Sarikei dan Kuching. Dalam edisi kedua ini terkandung 11 puisi dan 8 cerpen, antara penulisnya selain Adi Herman selaku pengendali zine ini termasuklah Barangkali Marus Kamaruddin, Lawrance Kijun, Korawk Al Naseer, Frayed Cactus, Rieynna Annieyrza, Pian Mpun Ana, Srikandi Mawar Hitam dan Jika Jackson. Turut dimuatkan sebuah sajak nukilan penulis puisi terkenal iaitu Karl Agan serta satu-satunya teks berbahasa Inggeris berupa cerpen karya Kevin Keegan Jerome. Berdasarkan penelitian saya, ini zine yang menepati maknanya (merujuk kepada maksud nama Bisak Palak), sungguh benar mengoyakkan kepala; memaksa minda keluar merewang terawang di angkasa terbang bersama-sama puisi dan cerpen yang dimuatkan. Maka melayanglah minda sebebasnya mencari maksud dan pengertian di setiap garis baris kata dan bahasa, mudah-mudahan minda temui jalan pulang bersama jawaban untuk jiwa. Bisak Palak #2 turut menyelitkan sedikit karya senilukis (ilustrasi) dan kali ini juga menampilkan artwork berwarna menghiasi kulit hadapan. Segera dapatkan sekiranya anda penggemar sastera Melayu kontemporari.
facebook.com/bisakpalak

Rebiu | WROTEOFF – Bingit Keluh Rakyat


WROTEOFF – Bingit Keluh Rakyat
Independen
Ini merupakan demo pertama (dan berkemungkinan satu-satunya demo setakat ini) dari WroteOff, duo Noise / Powerviolence dari bandaraya Kuching, Sarawak. Berjudul “Bingit Keluh Rakyat”, demo cd-r yang dirilis pada 1 Disember 2015 ini mengandungi kesemuanya 7 buah lagu berdurasi keseluruhan 6:15 minit; D.I.Y, G.S.T, Negara Ini, Panic To Be Alone, P.U.N.X, Rocks**r dan The Man Of Honour. Muzik WroteOff mengikut telinga saya merangkumi petikan bass berdistorsi; kering dan kasar bunyinya, paluan-paluan yang berdesup laju pada set dram serta ekspresi vokal yang boleh dikatakan pelbagai; meneran dan separa garau. Saya sukakan nuansanya yang bising dan meletup-letup, konsepnya seperti Sete Star Sept (noisegrind Jepun) cuma bezanya asas dan orientasi WroteOff cenderung ke arah Hardcore Punk. Untuk makluman, WroteOff ditubuhkan sekitar tahun 2014, dianggotai Colt (vokal / bass) dan Azeg (dram / vokal latar). Mereka seperti tidak aktif setelah kelahiran “Bingit Keluh Rakyat”. Saya berharap mereka berdua kembali berkarya. Band ini not bad-lah!.
facebook.com/wroteoffswk
soundcloud.com/wroteoff

Rebiu | KASRAKASS – Self Destruction


KASRAKASS – Self Destruction
Tempang Records
Komposisi irama Grindcore yang benar-benar padat dan melekat dihasilkan Kasrakass. Nuansanya bersifatkan pantas, keras dan ganas!. Berpengkalan di Pantai Dalam (Kuala Lumpur), Kasrakass dibarisi oleh Jack (gitar), Ray (dram), Syafix (vokal) dan Majid (bass). Walaupun dianggap pendatang baru dalam arena muzik bebas tanahair, mereka telah bermula dengan baik dan menunjukkan potensinya menerusi demo-cd berjudul “Self Destruction”. Saya kagum dengan bakat dan kebolehan yang ada pada anak-anak muda ini. “Self Destruction” menghidangkan sejumlah 8 buah lagu berdurasi keseluruhan hanya 6:45 minit. Dengarkan dan nikmati kekuatan tenaga dan kerakusan old-school grindcore yang mereka persembahkan, ianya pasti membuatkan anda seakan hilang pertimbangan, mahu sahaja terus melompat dan berlari-lari liar. Kasrakass seperti ada di dalamnya semangat grind klasik; sepertimana Napalm Death, Terrorizer, Repulsion, malah logo band ini menghampiri Warsore. Material demo ini telah dirakamkan di studio Brutal Lab, termasuklah proses mixing dan mastering di bawah seliaan saudara Auks (Sicksociety, Bunuhdiri). Kualiti bunyi memang Gred A; padu dan berat memenuhi kehendak format muzik Kasrakass, serta kedengaran begitu kemas meskipun difahamkan pendekatan live recording yang diambil. Kaedah packaging turut pada tahap profesional; 3-panel gatefold cover & pro-pressed cd-r keluaran Tempang Records. Senilukis oleh Uze Osbourne membuahkan tarikan tambahan. Demo “Self Destruction” oleh Kasrakass ini sangat saya sarankan untuk kalian yang gemar muzik bising, laju dan grind-to-the-core!. Dapatkan salinan anda dari pihak Noise Hipster Distro (harapnya stok versi CD demo ini masih tersedia). Baru-baru ini Tempang Records dengan kerjasama Raung Records telah mengeluarkan “Self Destruction” dalam bentuk pro-cassette tape. Jangan ketinggalan!.
facebook.com/kolumpoberdarah
facebook.com/TempangRecords
facebook.com/noisehipster.distro