Khamis, 19 Oktober 2017

Rebiu | ACAH-ACAH – Isu #0.5


ACAH-ACAH – Isu #0.5
24ms / A5 / Bahasa Melayu
Isu pra-perdana Acah-Acah #0.5 agak “amateurish” sifatnya, akan tetapi di masa yang sama memiliki nilai Do-It-Yourself yang sangat tinggi. Kepujian perlu diberi kepada Jerry atau nama sebenarnya Rozairi Yahya yang berusaha mendapatkan kekuatan dan keyakinan dalam diri sendiri untuk berani keluar dari kepompong bakat terpendam, keluar mencari laluan dan landasan yang tepat untuk mengetengahkan kebolehan serta karya-karya dihasilkannya. Pepatah ada mengatakan “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Tahniah Jerry, anda telah memulakan langkah untuk ke hadapan. Isu ini, namanya pun edisi pengenalan. Sudah tentu bukan kesempurnaan yang boleh kita jangkakan. Sedikit-sebanyak pasti terkandung kekurangan dan kelemahan. Kecacatan yang hakikatnya bukan disengajakan pun. Ianya perkara lazim pada kita semua yang hendak memulakan sesuatu yang baru. Bahkan, hingga akhirnya nanti kita manusia biasa tak akan pernah mencapai kesempurnaan pun. Yang ada cuma kematangan dan pengalaman mengurangi kesilapan. Acah-Acah komik zine telah mula memperlihatkan potensi. Potensi untuk berkembang dan berdiri atas identiti tersendiri. Meskipun masih perlu diberi lebih perhatian dalam memperbaiki aspek “stroke” dan “plotting” (malahan perlu lari dari belenggu tipikal sekiranya boleh), zine komik ini sudahpun membina karakter-karakter tulen seperti Awe Metal dan Pojie Black sebagai pengisian utamanya. Elemen humor sangat penting dalam memenuhi pengertian sesebuah komik. Perkara ini ditekan dan diterap dengan baik dalam Acah-Acah #0.5. Untuk mengajak orang ketawa terbahak bukannya satu kerja mudah. Untuk mencuit hati pembaca, tergelak kecil dan tersenyum simpul sudah cukup mencapai objektif untuk zine komik karya Jerry ini. Dialog-dialog dilontarkan kelakar; kekadang sinis dan sadis pada tempatnya. Tidak sekadar lukisan-lukisan kartun, Jerry turut menghasilkan karya-karya bertulis; teks-teks satira menerusi kolum Berita Acahan dan paling menarik ruangan Galeri & Nostalgia Kaset. Bagusnya Jerry, beliau tidak mengetepikan kepentingan sesebuah komik. Pendidikan moral disuntik di segenap ruang Acah-Acah. Pasti ramai pembaca yang terkesan dengan komik semukasurat “Emak” dan puisi “Merdekakah Kita?”. Ini baru sebuah permulaan. Edisi “Woi! Cepatlah sikit!!” sempena Kota Bharu Zine Fest tempohari. Jerry yang saya kenali mempunyai semangat luar biasa, sifat juang yang menjulang serta disiplin dalam setiap perkara yang dilakukannya. Isu pra-perdana ini mungkin sedikit “tergesa-gesa” ekoran sifatnya yang “mahu cepat siap”. Pun demikian, matlamat kartunis muda kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini untuk memperkenalkan diri dan Acah-Acah komik zine telahpun tercapai. Pasti langkah-langkah susulan sedang disusun untuk melihat Acah-Acah mendewasa, menempuhi pelbagai fasa evolusi dan suka-duka dalam berkarya. Tiada jalan singkat Jerry, kejayaan adalah satu perjalanan yang panjang. Cintai apa yang anda buat dan lakukannya bukan kerana nama. Satu masa nanti, anda pasti sama sebaris memartabatkan scene komik indie tempatan, sepertimana antaranya Ahm Ahmad (Birat!), Aku Napie, Aneurysm, Amin Landak (Yak Bok Te) dan ramai lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan