Rabu, 25 Oktober 2017

Rebiu | GARISANDAKAN


GARISANDAKAN
36ms / A5 / Bahasa Melayu
Norlaila Baizura Simeran tidak hanya pandai menulis, tetapi juga pandai melukis. Gadis Sabah yang lebih mesra dengan panggilan Laii ini sebagaimana dikenali sebelumnya adalah penyunting zine Bolos yang telah menghasilkan 3 isu setakat ini. Pada pertengahan Februari 2017 yang lalu, Laii mengumumkan penerbitan zine bergelar Garisandakan – sebuah karya yang menggabungkan senitulis (naratif/anekdot) dan senilukis (sketchwalk). Antara beberapa perkara menarik tentang zine yang mungkin bersifat “one-off” penghasilannya ini adalah yang pertama ianya 100% hasilkerja tangan merangkumi tulisan dan lukisan-lukisan lakaran. Kedua, ia fokus kepada Sandakan di mana ditampilkan lakaran-lakaran bangunan, mercu tanda serta persekitaran bandar Sandakan malahan sesetengah penceritaan ditulis dalam bahasa pasar warga Sandakan (jangan risau kerana glosari turut disediakan). Dan yang ketiga, zine ini dihasilkan atas tujuan amal di mana hasil jualannya disumbangkan ke tabung free read, membantu meringankan beban komuniti gelandangan sekitar Sandakan. Secara keseluruhan, Garisandakan menghidangkan lakaran-lakaran yang tidak kurang menariknya, “bersahaja” cakarannya diiringi penceritaan atau kata lainnya travelog ringkas objek yang dilukis / dilawati Laii itu. Banyak perkara yang boleh dipelajari dari zine ini. Sedikit sebanyak menyalurkan gambaran tentang Sandakan kepada orang-orang seperti saya yang tidak pernah sampai ke sana. Ini zine yang rasanya sangat berharga kepada diri Laii itu sendiri – himpunan nostalgia dan curahan kecintaan Laii terhadap tempat kelahirannya sendiri. Sebuah perkongsian yang diterjemahkan dalam cara dan gaya yang “attractive”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan