WHACKO JACKO – Isu #7
48ms / A5 / Bahasa Melayu
Cetakan asal Whacko Jacko #7 dikeluarkan sekitar Mei 2014. Salinan yang saya perolehi ini adalah cetakan semula, diedarkan oleh Noise Horror Distro dan setiap naskah menerima pelekat percuma Tempang Records. Inilah pertama kali saya membaca zine ini setelah 7 isu diterbitkan. Whacko Jacko dikendalikan 3 orang editor kelahiran Terengganu; Man Dugong, Amin dan Joe. Setelah meneliti keseluruhan, zine ini berkonsepkan pelbagai dan ada kelainan dalam pendekatan dan penyampaiannya. Dalam isu ini terdapat 5 buah temubual di mana menariknya setiap responden berbeza bidang; Lot Buku (berkaitan penerbitan / edaran bahan-bahan bacaan alternatif), Dum Dum Tak (band punk), Ganutalgia (aktivis sejarah), Kuning Pening (berkenaan art-performing) dan Ganukulele (komuniti alat muzik Ukulele di Terengganu). Ukulele tu macam gitar tapi bersaiz kecil bertali empat, senang cerita gitar hawaii la, haha. Jika dilihat kepada kulit hadapan, tercatat “Tajuk: Tekanan Jiwa / Depresi”. Ianya mungkin merujuk kepada tema isu ketujuh ini. Beberapa penulisan memang cenderung kepada topik berkenaan, antaranya Catatan Seorang Aku Yang Depresi #2 (oleh Man Dugong), Depresi Dalam Komplot Obsesi (oleh Pelacur Perasaan) dan Sakit Jiwa (oleh Ku Bad). Terdapat banyak juga pengisian-pengisian lain seperti puisi-puisi (sajak) yang agak emosional dan marah-marah sifatnya, ilustrasi serta beberapa buah artikel bebas yang ditulis dengan baik.
facebook.com/dakyohcakakbanyok
Tiada ulasan:
Catat Ulasan