CHOOSING PATH – Isu #1
68ms / A5 / Bahasa Melayu
Choosing Path #2 telah saya rebiu ada lama dahulu, dalam Bangkit! #2. Justeru teruja dan jatuh cinta dengan konsep dan pendekatan zine ini, saya terus menagih kiranya masih ada baki stok tersembunyi isu yang pertama. Maklumlah, mengikut hitungan telah lebih 4 tahun ia dikeluarkan. Setelah acapkali bertanya, Benny Pangazou akhirnya mengalah dan mengirim senaskah Choosing Path #1. Barangkali, ini salinan simpanan peribadinya sendiri, haha! Terima kasih kawan. Choosing Path #1 mengikut catatan diterbitkan pada Mei 2013. Sebagaimana biasa kelaziman sebuah fanzine, Choosing Path dalam isu ini menampilkan lima buah wawancara, melibatkan Fectus (grindcore dari Bekasi, Indonesia), Marvis Dirty Project (punk rock asal Kuching, Sarawak), Massgrind (grindcore dari Tawau, Sabah), Rotten Disease (grindcore berpengkalan di Penampang, Sabah) serta Deathmutt Records (sebuah record label underground yang dah lama bertapak di Sabah). Berdasarkan himpunan temubual ini, genera Grindcore mendapat tumpuan istimewa penulisnya. Tambahan pula, mini poster “Grindcore is Love!” bersaiz A4 disertakan percuma bersama Choosing Path #1 ini. Kita tinggalkan orientasi muzik dalam zine ini kerana saya melihat kepentingan menyeluruh Choosing Path dari sisi yang lain. Ada yang jauh lebih menarik tentang Choosing Path; pengisian-pengisian yang saya anggap paling unggul bahkan seakan menjadi highlight atau identiti “originality” zine ini adalah paparan bahan-bahan bacaan yang berkait-rapat dengan etnik dan budaya masyarakat Sabah. Cerita Rakyat adalah tentang negeri Sabah itu sendiri, diceriterakan dalam format intitusi kekeluargaan; perkahwinan, suami-isteri dan perpisahan. Sebuah kisah yang memberi kefahaman telus mengenai siapa Sabah sebenarnya. Dalam artikel berhubung Pemakaian Tradisional Kadazan Dusun, editor menghuraikan sebab-musabab ianya berwarna hitam bersalut kuning keemasan. Banyak foto-foto menarik diselitkan memudahkan lagi pemahaman (selain cuci mata asyiknya kejelitaan gadis-gadis Sabah, hehe!). Music Tunes (Sabahan Musical Instruments) memperkenalkan 7 jenis alat muzik tradisional termasuklah antaranya Sompoton, Tonkungan, Gabang dan Kulintangan – instrumen yang boleh dikatakan jarang didengari di kalangan orang Semenanjung seperti saya. Perayaan Pesta Keamatan antara penulisan yang paling menarik. Informasi lengkap pesta menuai yang bukan diambil dari mana-mana sumber bertulis. Ianya berasaskan penceritaan sebenar dari datuk penulis sendiri – merangkumi sejarah, tujuan hinggalah ke acara-acara keraiannya. Cukup jelas, Choosing Path membina kelainan yang mana tidak sekadar khusus untuk kelompok muzik underground sahaja tetapi juga boleh dibaca golongan umum. Lihat juga pada senilukis yang menghiasi muka hadapan (malah di belakang juga) yang menonjolkan ciri-ciri negeri Sabah. Ianya gambaran langsung kepada keunikan keseluruhan zine Choosing Path ini. Rencana-rencana lain yang turut dimuatkan termasuklah Wanita dan Rahim, Tip Membuat Api, Sedar Atau... (sumbangan editor lastkisszine), Ayat-ayat Kelakar Sepanjang Zaman oleh Sammy Vellu (yang ini lawak dan mencuit hati) dan juga penulisan berjudul Suratan atau Kebetulan? di mana dalam cerita panjang tulisan Benny Pangazou ini baharulah saya tahu bahawa beliau pernah keluarkan Your Win Zine dan newsletter bernama Masih Ada Yang Sayang – difahamkan keduanya terbit dan beredar untuk scene u/g Inanam sahaja, sekitar tahun 2003/2004. Tidak ketinggalan bahagian Review Section membabitkan 4 halaman mukasurat, ulasan ke atas produk-produk CD, 7" EP dan LP yang hampir kesmuanya saya sendiri tak pernah dengar, menarik! Saya ingin beritahu kepada Ben bahawa zine ini tidak samasekali “bodoh” sepertimana disebut di awal teks editorial. Ianya tepat dengan tujuan memupuk punkers yang berilmu. Choosing Path berkuasa, kaya dengan pengetahuan. Kekalkan trademark yang telah ada sambil kami menaruh harapan agar terbit nanti Choosing Path #3. Izinkan saya tamatkan kupasan ini dengan petikan kata Benny Pangazou sendiri di akhir editorialnya: Layang-layang tidak akan terbang mengikut arah angin. Layang-layang hanya terbang tinggi jika melawan angin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan