KITA KAWAN
52ms / A5 / Bahasa Melayu
Kita Kawan satu lagi buahtangan solo Aku Napie, atau nama sebenarnya Hanafi Shafie (Bangkit! Fanzine ada menemubual kartunis indie ini untuk kalian kenali beliau lebih lanjut). Kalau google, search di laman facebook, sudah beberapa kali juga zine komik Kita Kawan ini diulang-cetak. Setiap versi berlainan kulit luarnya. Salinan yang saya ada ini Cetakan Ketiga Terhad, tahun 2016. Tagline-nya: 50 Karenah Kawan-Kawan Kau Dan Aku. Versi asal tak silap saya hanya 30, maknanya ada revision atau penambahan yang dibuat ke atas cetakan terbaru. Konsep Kita Kawan ini mudah, tetapi pengisiannya berat dan perkara realiti. Ia isu-isu yang berlaku hampir setiap hari, sepanjang kehidupan ini. Tentang perangai dan tabiat kita semua sesama kita (kau, aku, kita semua!) digambarkan dalam situasi “sebelum” dan “selepas”. Saya suka topik-topiknya, cerita dan dialog-dialognya. Saya percaya, ada yang tepat ke batang hidung kamu sendiri, pembaca zine ini. Stroke kartun dalam komik Kita Kawan berbeza dengan Bujang Kartun. Stroke untuk ini hampir iras komik Aku & Dia! (seperti yang ditampilkan dalam dua volume awal komik Aku, Dia dan Bujang). Seperkara yang saya tahu, berbanding versi ini, format versi terdahulu setiap topik/situasi disusuli deskripsi/keterangan lanjut berkaitannya. Tetapi tiada dalam versi cetakan ketiga ini, ia diketepikan / dikeluarkan. Dan lagi, kalau dihitung-hitung semula bukannya 50 karenah, yang ada cuma 44. Tak apalah, yang penting mesej komik zine ini sampai menerusi sindiran-sindiran sinis dan pedasnya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan