SAJAK-SAJAK YANG BERTEDUH DI BAWAH SURAM
72ms / A5 / Bahasa Melayu
Sajak-Sajak Yang Berteduh Di Bawah Suram mungkin boleh dianggap sebuah buku, tetapi saya meletakkannya di bawah kategori litzine, malah pendekatan terbitannya juga mengikut kaedah zine DIY. Ini adalah himpunan puisi (sajak) karya Adi Herman, anak jati kelahiran Bintulu, Sarawak yang juga editor zine Bisak Palak serta penulis antologi cerpen Pentagram Di Atas Pusara. Sejumlah 50 buah sajak dimuatkan dalam Sajak-Sajak Yang Berteduh Di Bawah Suram, beberapa daripadanya ditulis dalam format prosa. Sajak-sajak ini dibahagi dua; Bahagian I dengan 25 buah sajak dan baki selebihnya di Bahagian II. Sebenarnya saya turut menyumbangkan penulisan prakata untuk penerbitan ini, di mana antaranya saya menulis: Adi Herman mungkin bukanlah seseorang yang mendapat didikan secara formal dalam bidang kesasteraan. Tapi percayalah, jika menulis dengan jiwa, jika ditulis dengan cinta, maka hasilnya akan jauh lebih bermakna. Inilah namanya bakat semulajadi, Anugerah Tuhan pada Adi Herman. Puisi-puisi, sajak-sajak, kata-kata puitis karya Adi Herman cukup bijak penghasilannya; halus, mendalam, pelbagai emosi bahkan unik menurut pandangan saya apatah lagi disulam dan dianyam dengan penguasaan bahasa yang baik. Penulisan-penulisan itu seakan “bernyawa” kerana itulah himpunan kata-kata yang datang dengan ikhlas dari lubuk hati yang paling dalam. Sebagai kesimpulan, saya sarankan semua penggemar puisi / pengumpul buku puisi segera dapatkan naskah indah ini yang telah terbit dan mula diedarkan secara rasmi pada 24 Februari 2017 lalu. Kraf dan cetakannya dibantu oleh La Lectrice Borneo, diperkemaskan dengan teknik Japanese Stab Binding. Izinkan saya akhiri ulasan ini dengan menulis kembali catatan pada kulit belakang buku/zine Sajak-Sajak Yang Berteduh Di Bawah Suram: “...cinta adalah jelaga api yang sukar dijinakkan”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan