Isnin, 11 Jun 2018

Rebiu | CANTILEVER – The Fall The Rise


CANTILEVER – The Fall The Rise
Independen
Rilisan ini terdapat juga dalam format pro-tape (dengan tambahan satu lagu bonus) keluaran bersama Utarid Tapes dan Isu Records tetapi yang saya ulas ini adalah versi CD-R yang lebih awal dirilis sendiri oleh pihak band sekitar Ogos 2017. Demo ini berdurasi 19:08 minit bermuatan lima lagu; The Fall The Rise, Runaway, Enigmas, Death Of Steve, dan Fallen Empire. Setiap pakej CD turut disertai lampiran bersaiz A4 mengandungi lirik serta info-info lain termasuklah beberapa foto band. Cantilever berpusat di Kuantan, Pahang; digerakkan oleh Apisjay (vokal/synth), Mirul (dram/vokal), Mune (gitar/vokal) dan Ramzy (bass/vokal). Muzik Cantilever tergolong dalam genre Post-Hardcore, sealiran band-band seperti At The Drive-In, Drive Like Jehu dan Sparta. Lagu pembukaan, The Fall The Rise adalah track pendek 1:32 minit yang mana lebih cenderung kepada bentuk instrumental, cuma diselit vokal yang meneriakkan “the fall.. the rise..” beberapa kali ulang di hampir penghujung lagu. Empat lagu seterusnya adalah pengolahan serta garapan kocokan-kocokan gitar catchy, berkepelbagaian riff teknikal yang disusun dengan baik, kekadang keras dan rancak, adakalanya penuh beremosi; samada dalam resah keluhan mahupun garang amarah. Muzik dan vokal berjalan seiring, sebati menterjemahkan segala perasaan. Cantilever ini bukan sahaja memiliki kreativiti dalam menyediakan lagu-lagu yang berkualiti, tetapi mereka dilihat cukup berkemahiran dalam memanipulasikan instrumen masing-masing. “The Fall The Rise” telah dirakam secara live di Penvia Studio, Petaling Jaya. Meskipun pendekatan rakaman secara “langsung” yang digunapakai untuk penghasilan demo ini, kualiti produksi bunyinya masih boleh dibanggakan. Pengeluaran CD ini terhad 200 unit sahaja, salinan saya #151. Ini demo yang menarik dan pastinya dinanti produk-produk mereka yang seterusnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan